SERI UKM dan SEDA Malaysia Jalin Kerjasama Kukuhkan Penyelidikan

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2024 – Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia mengukuhkan kerjasama dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan beberapa aktiviti berkaitan kelestarian tenaga boleh diperbaharui.

Timbalan Pengarah SERI, Prof Madya Dr Norasikin Ahmad Ludin yang juga merupakan ketua projek bagi kerjasama ini berkata UKM dengan SEDA Malaysia bakal melaksanakan kajian bersama, pembangunan modal insan, khidmat rundingan dan perkongsian kepakaran, penerbitan bersama serta kajian dasar.

“Selain itu, melalui kerjasama ini juga, kita (SERI) bakal merealisasikan pengambilan pelajar melalui saluran APEL.Q untuk program penyelidikan,” katanya semasa ditemu bual selepas Majlis Pertukaran Dokumen MoU antara UKM dan SEDA Malaysia, di sini semalam.

Pertukaran dokumen MoU yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu melibatkan Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, Prof Dato’ Dr Roslee Rajikan, yang mewakili UKM, manakala SEDA Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Dr Hamzah Hussin dan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof.

Prof Madya Dr. Norasikin berkata UKM adalah rakan baharu dan menjadi universiti pertama yang menjalin kerjasama dengan SEDA Malaysia.

“Kerjasama ini lebih kepada projek-projek yang akan kita jalankan pada masa akan datang, bukan sahaja untuk SERI, tetapi seluruh UKM (fakulti/ institut) boleh bekerjasama termasuk untuk projek-projek yang melibatkan tenaga geotermal.

“Selain itu, kita juga akan adakan kursus, latihan dan kerjasama penerbitan dari segi jurnal dan laporan-laporan termasuk kajian dasar,” katanya.

Leave a Reply