Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 10 Oktober 2024 – Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama dengan Smart Energ Pte. Ltd. dan TNB Research Sdn. Bhd bagi menjalankan kajian berkenaan kecekapan tenaga.
Pengarah SERI, Prof. Madya Dr. Mohd Adib Ibrahim berkata kerjasama dengan Research Agreement UKM dan Smart Energ Pte. Ltd. adalah untuk menjalankan ujian pelbagai lapisan salutan TiO2 dan menilai ciri dan prestasi panel PV.
“Selain itu, kerjasama ini juga adalah bagi menjalankan prestasi kecekapan pengukuran panel solar sebelum dan selepas lapisan TiO2 bagi ujian persekitaran semula jadi,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Penyelidikan antara UKM dengan Smart Energ Pte. Ltd. dan TNB Research Sdn. Bhd, di sini.
Beliau berkata objektif MoU antara UKM dan TNB Research Sdn. Bhd. pula adalah untuk membangunkan teknologi sel solar perovskite iaitu lapisan laluan elektron (electron transport layer), lapisan aktif, dan lapisan laluan hole (hole transport layer) dan pempasifan selulosa hijau, sel suria tandem, dan pembinaan sel solar perovskite modul mini.
“Melalui kerjasama ini, pelbagai pengetahuan baharu dan idea boleh dikongsi di antara UKM dengan rakan industri,” katanya.
Ujar beliau, bahan salutan TiO2 yang direka oleh SERI akan diguna pakai oleh Smart EnerG Pte. Ltd. di lokasi uji kaji untuk menentukan prestasi dan ketahanan panel solar.
“Salutan ini akan menangkis air, menghalang titisan air daripada terkumpul pada permukaan panel, sekali gus mengekalkan kecekapan dan mengurangkan keperluan penyelenggaraan.
“Salutan yang direka juga dapat mengurangkan impak dedahan alam sekitar dan memberikan perlindungan berpanjangan kepada panel solar,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, TNB Research Sdn. Bhd. sebagai rakan kolaborasi bersama SERI juga akan melaksanakan kajian dalam pembangunan teknologi foto elektrokimia, sel bahan api oksida pepejal, sel bahan api RFC dan sel bahan api regeneratif.
“Teknologi berkaitan hidrogen termasuk elektrolisis, pembawa hidrogen seperti ammonia, metanol. Bahan mampan dan baru muncul seperti bahan 2 Dimensi untuk menjimatkan kos.
“Kedua-dua kerjasama ini juga merupakan peluang terbaik bagi UKM dan rakan industri yang terlibat untuk menyumbang kepada Dasar Alam Sekitar Negara dan Dasar Tenaga Boleh Baharu Kebangsaan dalam usaha penambahbaikan berterusan kualiti alam sekitar serta untuk meningkatkan sumbangan Tenaga Boleh Baharu dalam campuran penjanaan tenaga untuk negara,” katanya.
Melalui usaha ini, Prof. Madya Dr. Mohd Adib berkata UKM dapat menggunakan kedua-dua kepakaran dalam industri dan akademik demi manafat bersama dalam penyelidikan yang dijalankan. Melalui kedua-dua perjanjian ini juga dapat menjadi sumber pencambahan idea bagi ilmu kegunaan bersama.
“Dengan itu, perkongsian ini bukan sahaja memenuhi misi UKM sebagai sebuah universiti yang menyumbang kepada masyarakat dengan menyampaikan pengetahuan saintifik, tetapi juga sebagai anggota komuniti yang peka dan komited untuk menjalankan penyelidikan berterusan dalam bidang-bidang kritikal,” ujar beliau.