Siswa Fakulti Perubatan UKM Basmi Denggi bersama Penduduk Bandar Tun Razak

Oleh Dr. Faiz Daud dan Khairatul Nadia Ramli
Foto Fakulti Prubatan

CHERAS, 27 Mei 2024 – Seramai 15 orang pelajar Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalankan gotong royong bersama dengan penduduk Pangsapuri Cendana, Bandar Tun Razak, Cheras bagi membasmi Penyakit Denggi di kawasan tersebut, baru-baru ini.

Gotong royong selama tiga jam tersebut telah berjaya mewujudkan kerjasama antara semua pihak dan menjadikan suasana dan persekitaran penduduk Pangsapuri Cendana lebih bersih dan bebas Denggi.

Pensyarah Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan, Dr. Faiz Daud yang mengetuai gotong royong itu berkata UKM berasa sangat berbangga kerana dapat bekerjasama dalam aktiviti tersebut dan berharap agar pelajar dapat menerapkan budaya untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang tidak hanya  terhad di hospital sahaja, sebaliknya dapat diperluaskan dengan kawasan penempatan lain di sekitar Bandar Tun Razak.

Seorang wakil pelajar, Nurul Athirah Mohamad Zin turut menyatakan bahawa aktiviti itu memberi nilai tambah kepada dirinya dan rakan-rakan agar sentiasa memberi sumbangan kepada masyarakat dalam pelbagai aspek.

Program tersebut turut disertai Doktor Perubatan Kesihatan Awam dari Cheras yang memberi kesedaran kepada penduduk tentang langkah-langkah mencegah denggi dan memastikan penduduk bersama-sama bertanggungjawab terhadap kebersihan kawasan sekitar.

Fakulti Perubatan berharap agar aktiviti ini dapat diteruskan kepada kawasan lain sekitar Bandar Tun Razak pada masa akan datang.

Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan yang menjadi teras UKM, aktiviti ini dapat menyediakan Pendidikan yang berkualiti, memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada masyarakat.

Leave a Reply