Oleh Aina Umairah Muhammad Dhalan dan Nurfaizatul Huda Ahmad
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 26 November 2022 – Pasangan suami isteri graduan doktor falsafah (PhD) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkongsi kegembiraan selepas menamatkan pengajian dalam program sama iaitu Tenaga Keterbaharuan dengan cemerlang.
Mohamad Firdaus Mohamad Noh dan isteri, Nurul Affiqah Arzaee, 33, tidak pernah terbayang bahawa mereka akan bergraduasi dalam sesi yang sama serta dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kami tidak pernah terbayang dapat hadir konvokesyen on-time serta berjaya dapat Anugerah Tesis Cemerlang,” katanya.
Menurut mereka, masalah kewangan menjadi cabaran utama ketika meneruskan pengajian namun setelah tiga tahun bergelar pelajar sepenuh masa di Institut Penyelidikan Tenaga Suria, mereka akhirnya berjaya mencipta kenangan indah bersama pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-50.
Minat yang mendalam untuk terus menuntut ilmu telah mendorong pasangan ini untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi bersama-sama.
Pasangan serasi ini telah mendirikan rumah tangga selama lapan tahun namun mereka telah mengenali antara satu sama lain selama 15 tahun bermula daripada pengajian asasi.
Mereka berhasrat untuk menjadi individu yang sentiasa memberi sumbangan kepada pembangunan teknologi tenaga baharu dan ingin memberi kesadaran kepada orang ramai agar mengawal iklim dunia.
“Kajian kami berdua memfokuskan kepada teknologi tenaga suria yang baharu di mana saya membangunkan sel pemisahan air elektrokimia manakala suami saya pula membangunkan teknologi sel suria Perovskite di mana teknologi ini boleh digabungkan dengan teknologi silikon yang sedia ada untuk meningkatkan kecekapannya,” kata isterinya.
Kedua graduan ini berharap agar teknologi yang mereka bangunkan ini dapat memacu negara kita ke arah penggunaan tenaga keterbaharuan yang lebih bersih.