Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi dan Shahril Dzulkiflee
BANGI, 6 Januari 2025 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyaran agar kafeteria dia institusi pendidikan tinggi meneruskan menu rahmah bagi membolehkan pelajar menikmati makanan dengan harga yang berpatutan.
Beliau berkata pihak universiti boleh bekerjasama dengan pengusaha kafe atau restoran di kampus untuk memantau harga serta memastikan bahawa harga makanan dan minuman adalah berpatutan bagi penuntut.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peramian Kuali Cafe@UKM, di banguna Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.
Katanya, beliau berharap agar Kuali Cafe@UKM juga mampu memberikan tawaran harga ataupun menu khas kepada pelajar-pelajar untuk menikmati makanan tertentu dengan harga yang lebih murah dan berkualiti.
“Jika ini dapat dilakukan, sudah pasti kita dapat mengurangkan kebergantungan pelajar terhadap makanan segera yang akhirnya memudaratkan kesihatan dan fokus mereka terhadap pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata sebagai penyedia makanan, mereka perlu memastikan bahawa makanan yang disediakan bukan sahaja sedap dan mengenyangkan, tetapi juga memberi manfaat kepada kesihatan pelanggan.
“Pengusaha restoran harus menitikberatkan penggunaan bahan-bahan yang berkualiti, rendah lemak, dan kaya dengan nutrisi. Ini penting terutamanya bagi pelajar yang memerlukan tenaga dan kecergasan untuk menghadapi rutin akademik yang padat,” katanya.
Selain itu, Dato’ Seri Ahmad Zahid mahukan pengusaha makanan mengambil inisiatif untuk mengurangkan pembaziran makanan dan menyokong amalan kemampanan.
“Ini boleh dilakukan dengan mengurangkan penggunaan beg plastik, menyediakan kemudahan kitar semula, dan memastikan bahan mentah digunakan dengan bijaksana.
“Pengusaha restoran juga boleh bekerjasama dengan pihak universiti untuk menggalakkan pelajar dan staf supaya lebih prihatin terhadap isu-isu alam sekitar,” ujarnya.
Katanya, beliau percaya, tanggungjawab sosial itu bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada pelanggan, tetapi juga dapat membentuk budaya positif yang boleh memberi impak yang besar kepada kehidupan pelajar dan staf di kampus.
Dalam majlis itu juga, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengambil peluang meninjau perkembangan rejuvenasi pusat aktiviti pelajar di Pusat Aneka Kemudahan (Pusanika).
Antara rejuvenasi yang telah diadakan pada Aras 1, PUSANIKA adalah naik taraf ruang tersebut dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti Zus Coffee, Tealive, Sen Tepanyaki, Emart24, 99Speedmart, UKM Arena eSport. Semua kemudahan ini boleh dinikmati oleh warga UKM dan penduduk di luar kampus.
Antara yang hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emmeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.