Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
KUALA LUMPUR, 14 Ogos 2024 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi hadir bagi merasmikan Program Karisma Pemikir MADANI Pengurusan Tertinggi Universiti Kebangsaan Malaysia “Sederap Mencorak Masa Depan UKM” di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.
Dalam majlis ini, Datuk Seri Dr Zahid telah menyampaikan ucaptama bertajuk Sederap Bersama Pemimpin di hadapan kira-kira 500 orang peserta yang terdiri daripada Pengurusan Utama UKM, Dekan-Dekan Fakulti, Timbalan-Timbalan Dekan, Pengarah-Pengarah Pusat Tanggungjawab (PTj) dan Timbalan-Timbalan Pengarah PTj.
Dalam ucaptamanya itu, beliau mengucapkan tahniah kepada UKM kerana sentiasa berada di barisan hadapan semenjak awal penubuhannya dengan sebuah aspirasi pendidikan berteras negara bangsa yang tidak meminggirkan perimbangan antara pembangunan fizikal dan akademik selain perimbangan antara duniawi dan ukhrawi.
“Hal ini boleh dikaitkan dengan perkembangan UKM itu sendiri. Kita tahu bahawa pada tahun 1965, apabila Kongres Ekonomi Bumiputera pertama telah berlangsung, kita dapat mewujudkan hampir 90 resolusi dan antara resolusi itu adalah mewujudkan sebuah universiti yang beracuan kebangsaan.
“Namun, untuk menterjemahkan dan merealisasikan sebuah universiti ini, tentunya sebagai sebuah negara majmuk, sunatullah (sistem dan peraturan sedia ada) turut menentukan faktor-faktor kepelbagaian kaum harus dikira dalam enrolmen pengambilan pelajar, dan ini termasuk jugalah pelantikan Naib Canselor, tenaga pensyarah, dan juga fakulti serta jabatan-jabatan yang diwujudkan di universiti itu.
“Ia juga mengambil kira perkembangan dan kesaksamaaan sosial dalam usaha menerobos soal kewujudan tenaga profesional dan akademik dalam bidang-bidang yang pada hemat Kongres Ekonomi Bumiputera pada ketika itu, terlalu mencabar,” katanya.
“Bagaimana permbentukan sebuah negara bangsa yang dihadapi oleh sesebuah kerajaan jika ketidakseimbangan ini berlaku? Maka kita harus melakukan perincian yang menyeluruh dalam sistem pendidikan di negara ini. Kita bernasib baik kerana mempunyai Dasar Pendidikan Kebangsaan kerana ini adalah asasnya,” jelasnya.
Beliau juga berkata bahawa UKM boleh diibaratkan sebagai sebuah pohon yang tinggi yang berakar tunjangkan kekuatan ilmu, iman dan ketakwaan, dan mempunyai kebijaksanaan serta tatusila dalam menyampaikan ilmu kepada mahasiswa.
Program Karisma Pemikir MADANI yang diadakan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Ogos 2024 ini adalah program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Jabatan Perdana Menteri dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Program ini diadakan bagi memantapkan hala tuju masa depan UKM selaras dengan agenda Malaysia MADANI serta hala tuju masa depan UKM sebagai Pembina Masa Depan Negara Bangsa. Selain itu, program penuh bermakna ini bertujuan untuk menyebarluaskan kefahaman dan penghayatan falsafah MADANI serta meneguhkan jati diri dan semangat patriotik kepada semua pemimpin tertinggi dalam melakar kanvas masa depan UKM.
Turut hadir ke majlis perasmian ini ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang; Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak dan Naib Canslor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman.