Tugasan Akademik Jadi Batu Loncatan, 13 Mahasiswa Harumkan Nama Universiti di Pentas Antarabangsa

BANGI, 23 Disember 2024 – Seramai 13 pelajar tahun pertama program Sarjana Muda Pendidikan Sukan dan Rekreasi, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuktikan bahawa tugasan akademik boleh membuka pintu ke arena profesional apabila mereka berjaya menganjurkan Kejohanan Elite Football Tournament dengan kerjasama Maxim Events Invitational.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan UKM,  Dr. Nurwina Akmal Anuar berkata dalam era yang mencabar ini, 13 orang mahasiswa itu telah membuktikan bahawa kreativiti dan semangat keberanian mampu membuka pintu kejayaan yang lebih besar.

“Melalui tugasan akademik kursus Sukan dan Masyarakat, mereka bukan sahaja belajar tentang penyampaian kepentingan sukan kepada masyarakat, malah telah mengharumkan nama universiti di Kejohanan Bola Sepak Elite ini.

“Saya sangat teruja melihat bagaimana mahsiswa daripada kumpulan ini mengambil inisiatif untuk menukar tugasan biasa kepada sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Menurutnya, beliau hanya memberikan tugasan kerja kursus seperti yang tertulis dalam rancangan pengajaran untuk mereka menyampaikan kepentingan sukan kepada masyarakat sahaja, tetapi idea dan komitmen mereka mendapatkan tajaan, kolaborasi industri dan sokongan tugasan telah membawa ke peringkat antarabangsa. 

“Ini membuktikan bahawa generasi muda kita mampu berfikir di luar kotak dan berani mengambil risiko,” katanya.

Beliau berkata kejohanan yang berlangsung di Eco Ardence, Setia Alam Football Pitch itu telah menarik penyertaan pasukan The Raptors dan mendapat kerjasama penaja utama termasuk Boost dan Khind.

 “Pengalaman sebegini adalah tidak ternilai. Ia bukan sekadar tentang gred akademik, tetapi membentuk graduan yang berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.

Tambah Dr Nurwina yang juga merupakan Penyelaras Kursus, semasa lawatannya dalam tugasan lapangan itu, beliau melihat setiap pelajar menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

 “Ini pengalaman bermakna mereka berhadapan dengan 64 kelab bola sepak dalam dan luar negara. Tugasan seperti ini memberi peluang kepada kami untuk berinteraksi bersama ahli dan masyarakat di Malaysia,” katanya.

“Pengalaman ini bukan sahaja membantu kami mendapat gred yang baik, tetapi yang lebih penting, ia memberi kami keyakinan untuk mengendalikan acara sukan di peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan,” tambah salah seorang pelajar yang terlibat,” katanya.

Pencapaian ini telah membuka mata banyak pihak tentang potensi yang ada dalam menggabungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman praktikal, sekaligus menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

Sementara itu, Ketua Pasukan yang juga pelajar tahun pertama, Muadz, berkata pengalaman itu telah membuka matanya tentang potensi yang ada.

“Kami bermula dengan idea yang kecil, tetapi dengan sokongan pensyarah dan komitmen ahli kumpulan, kami telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil jika kita berani mencuba,” ujarnya.

Katanya, kejayaan itu menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain, membuktikan bahawa tugasan akademik boleh menjadi lebih bermakna apabila digabungkan dengan peluang dunia sebenar.

Leave a Reply