Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 31 Oktober 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan 33 Ruang AktivUKM merentas fakulti yang menyokong pembelajaran aktif dan dilengkapi dengan teknologi digital dan futuristik.
Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembangunan Kurikulum UKM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Kamal Ariffin Mohd Ihsan telah menyempurnakan majlis penyerahan kunci ruang ini.
Menurutnya, ruang tersebut direka bentuk dan dibangunkan dengan mengintegrasi konsep pembelajaran aktif dan futuristik berdasarkan Kerangka Pembelajaran AktivUKM yang berpaksikan tiga aspek utama, iaitu pedagogi, ruang, dan teknologi.
“Reka bentuk ruang ini turut dijalinkan dengan tujuh lapisan spektrum keselesaan (comfort), estetik (aesthetic), aliran (flow), kesaksamaan (equity), percambahan (blending), kebolehlaksanaan (affordance), dan kebolehgunaan semula (repurposing).
“Ruang-ruang yang diwujudkan ini dilengkapi dengan pengintegrasian teknologi terkehadapan berasaskan Apple seperti Apple TV, serta teknologi pintar seperti sistem audio visual pintar, sistem pencahayaan pintar, televisyen pintar, projektor pintar dan sistem video sidang pintar,” katanya.
Majlis yang sama turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang kepada pertandingan dan akktiviti yang diadakan sempena Bulan Akademia Tahun 2023 sepanjang bulan Oktober.