Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
KUALA LUMPUR, 22 Februari 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Ekonomi dan Pengurusan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi menjalin kerjasama strategik merangkumi bidang latihan, pendidikan, penyelidikan, penerbitan serta program advokasi berfokuskan kepada integriti dan tata kelola.
Majlis itu juga menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dan IIM bagi pelaksanaan Modul Sijil Profesional Kepimpinan Integriti (SPKI) yang julung kali ditawarkan oleh kedua-dua pihak secara bersama.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali yang juga merupakan Pengerusi IIM dan Pro Canselor UKM berkata jalinan kerjasama itu sejajar dengan komitmen dan usaha IIM bersama UKM dalam memantapkan pembudayaan dan pengamalan integriti serta tata kelola terbaik di semua peringkat lapisan masyarakat terutamanya di sektor awam, sektor swasta dan juga komuniti.
Selain itu, katanya, pembangunan SPKI juga dianggap sebagai satu langkah proaktif kedua-dua pihak bagi memberi penekanan yang lebih berfokus kepada pendidikan integriti.
“Kerjasama strategik sebegini harus diperluaskan lagi bukan sahaja dalam bentuk pembangunan aspek pendidikan dan latihan sahaja, tetapi juga dalam bidang penyelidikan dan penerbitan.
“Negara memerlukan lebih banyak dapatan kajian terutamanya berkaitan integriti dan tata kelola untuk membantu kerajaan dalam merangka dan membangunkan dasar yang lebih tepat dan bersasar,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani MoU dan MoA SPKI serta Peluncuran Buku “Mohd Zuki Ali: Amanat Integriti dan Governans, di sini.
Sementara itu, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata program SPKI yang dirancang akan dapat memberi pemahaman secara teori dan praktikal kepada peserta kursus untuk menggerakkan budaya dan amalan etika dan integriti dalam organisasi dengan melaksanakan sistem tadbir urus dan kawalan dalaman organisasi terbaik untuk mencegah dari tatakelakuan tidak berintegriti, rasuah dan salah guna kuasa.
“Gabungan kepakaran di UKM dari segi ilmu dan teori serta kepakaran dari IIM akan dapat memberikan manfaat yang maksimum kepada peserta program ini.
“Saya berharap penawaran Program Professional Kepimpinan Integriti mencapai matlamat yang dirancang, iaitu melahirkan pemimpin organisasi yang dapat membawa organisasi kepada organisasi madani dengan nilai integriti yang unggul,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata dengan termeterainya MoU dan MoA itu, beliau yakin dan percaya ia akan menzahirkan komitmen ramai pihak tentang peri pentingnya pengamalan budaya integriti dan tata kelola terbaik dalam sesebuah organisasi.
“Ia juga selaras dengan peranan IIM untuk membantu mengukuhkan kapasiti dan kompetensi integriti serta tata kelola sektor awam dan swasta melalui advokasi, latihan, produk konsultansi serta penilaian integriti,” ujarnya.
Malah, katanya kerjasama dengan institusi pendidikan seperti bersama UKM akan memberi nilai tambah kepada kredibiliti IIM dalam memastikan usaha memartabatkan integriti dan tata kelola dalam negara akan lebih bercambah dengan subur. Pada majlis ini juga turut berlangsung pelancaran buku “Mohd Zuki Ali: Amanat Integriti Dan Governans” oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki. Buku tersebut merupakan hasil kerjasama antara IIM dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Buku ini merupakan kompilasi ucapan-ucapan rasmi beliau yang menyentuh elemen-elemen integriti dan tata kelola sejak dari awal perkhidmatan sebagai KSN pada 1 Januari 2020.