UKM Dan MACEE Tingkat Kerjasama Pendidikan

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 10 Februari 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Suruhanjaya Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) menjalin kolaborasi bagi meningkatkan kerjasama strategik, terutamanya dalam bidang pendidikan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor berkata kerjasama UKM dengan MACEE yang terjalin sejak tahun 1977 telah memperluaskan perkongsian pendidikan di peringkat antarabangsa.

“Kami teruja dengan peluang MoU ini yang akan membawa keuntungan kepada pelajar, fakulti dan ahli penyelidik. Melalui inisiatif seperti Program Fulbright, kami berhasrat untuk meluaskan saluran pembangunan akademik dan profesional,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan MACEE, baru-baru ini.

MoU itu menandakan komitmen kedua-dua institusi untuk memperdalam kerjasama dalam pelbagai inisiatif pendidikan, termasuk pertukaran pelajar, projek penyelidikan bersama, program pembangunan fakulti, dan program akademik kolaboratif.

Beiau berkata kerjasama tersebut akan membuka peluang kepada pelajar dan ahli akademik untuk merasai pengalaman pembelajaran lintas budaya, dengan memanfaatkan kekuatan serta sumber unik setiap institusi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MACEE, Curtis Johnson berkata MoU itu melambangkan komitmen UKM untuk meningkatkan hubungan global, dan mereka berbesar hati menjadi rakan kongsi dengan UKM.

“Saya yakin kerjasama ini akan memperkasakan generasi pelajar dan cendekiawan Malaysia serta Amerika, sambil mempromosikan pemahaman dan kolaborasi yang lebih mendalam antara kedua-dua negara melalui kecemerlangan akademik,” katanya.

Dokumen MoU ditandatangani oleh Prof Dr Abdul Halim yang mewakili UKM, manakala MACEE diwakili oleh Curtis Johnson.

Leave a Reply