Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 24 April 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) menjalinkan kerjasama penyelidikan tenaga boleh baharu dengan Malaysia Green Building Council (MGBC).
Kerjasama yang dijalin melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu menyaksikan kedua-dua pihak bakal membangunkan bersama modul latihan dalam bidang tenaga boleh baharu dan bangunan hijau, dan membangunkan kaedah ujian untuk bahan binaan mampan serta penyelidikan hujan yang dipacu angin (wind driven rain).
Selain itu, melalui MoU itu juga kedua-dua pihak akan menyediakan pengetahuan teknikal dan teknologi untuk projek penyelidikan, di samping menjalankan pelbagai aktiviti penyelidikan bersama.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Wan Kamal Mujani berkata pelbagai pengetahuan baharu dan idea boleh dikongsi di antara SERI dengan MGBC melalui program pembangunan struktur, kursus pengendalian sistem, pengumpulan data dan analisis, serta mengenal pasti kebolehan teknologi yang bersesuaian untuk kegunaan UKM dan masyarakat.
“Impak lain yang boleh terhasil adalah kerjasama dalam projek penyelidikan peringkat tinggi, menerbitkan penulisan berimpak serta memberi inspirasi khususnya kepada warga UKM,” katanya semasa menyampaikan ucapan semasa majlis menandatangani MoU tersebut baru-baru ini.
Menurut beliau, MoU itu juga merupakan peluang terbaik kepada UKM dan MGBC untuk menyumbang kepada usaha Dasar Alam Sekitar Negara dalam skop pemantauan alam sekitar serta penambahbaikan berterusan kualiti alam sekitar bagi pembangunan yang lebih bersih dan mampan menggunakan teknologi lestari.
“Melalui usaha ini, kita dapat menggunakan kedua-dua kepakaran dalam industri dan akademik demi manfaat bersama dalam penyelidikan yang dijalankan.
“MoU ini juga menjadi sumber pencambahan idea bagi ilmu kegunaan bersama. Dengan itu, perkongsian ini bukan sahaja memenuhi misi UKM sebagai sebuah universiti yang menyumbang kepada masyarakat dengan menyampaikan pengetahuan saintifik, tetapi juga sebagai anggota komuniti yang peka dan komited untuk melindungi alam sekitar,” katanya.
Pada majlis itu, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal yang mewakili UKM telah menandatangani dokumen MoU tersebut manakala MGBC diwakili oleh Presidennya, Ar. Dr. Serina Hijjas.