Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 28 Oktober 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) jalin kerjasama bagi mengukuhkan sistem pendidikan dan latihan bahasa terutamanya bahasa Inggeris.
Naib Canselor, Prof Dato’ Gs TS Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata kerjasama itu melibatkan empat fokus utama iaitu menyedia dan menerbitkan sukatan peperiksaan serta spesifikasi Higher School Certificate (HSC) yang lengkap sebagai panduan kepada para pelajar dan juga tenaga pengajar dan mentadbir peperiksaan HSC kepada pelajar luar negara untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.
Katanya dua lagi objektif kerjasama itu adalah menyediakan latihan bahasa Inggeris kepada calon yang akan menduduki ujian Malaysian University English Test (MUET) dan menyediakan pusat latihan bahasa Inggeris yang komprehensif serta mewujudkan Kolej Premium Pra-Universiti (Tingkatan 6) melalui kerjasama dengan UKM.
“Kita harap kerjasama strategik ini akan dapat memberi manfaat yang besar kepada kedua-dua belah pihak terutamanya berkenaan pengembangan peperiksaan HSC kepada pelajar luar negara dan memberi mereka pilihan tambahan selain daripada peperiksaan seperti matrikulasi dan asasi,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada pemeteraian Perjanjian Kerjasama antara UKM dengan MPM, baru-baru ini.
Selain itu, beliau juga berharap agar kerjasama itu akan membantu dalam menyediakan satu lagi peperiksaan alternatif bagi kemasukan ke institusi pengajian di Malaysia.
“Ini dapat memberi impak positif dalam merangka strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih sistematik, di mana pusat-pusat latihan bahasa akan menjadi platform utama bagi pelajar mempersiapkan diri mereka,” katanya.
Dokumen perjanjian itu ditandatangni oleh Timbalan Naib Canselor Hal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor dan Pengarah UKMShape, Prof. Datuk Dr. Muhammad Hussin mewakili UKM, manakala MPM ditandatangani oleh Ketua Eksekutifnya, Encik Adnan Husin dan Timbalan Ketua Eksekutif 1, Encik Badrul Hisham Abdullah.
Prof Dato’ Gs TS Dr Mohd Ekhwan turut mengucapkan terima kasih kepada MPM kerana menyediakan platform kepada pelajar untuk sambung belajar di UKM serta memberi kepercayaan kepada UKM untuk menjayakan perancangan tersebut.
Katanya walaupun UKM adalah universiti yang memartabatkan Bahasa Melayu, tetapi universiti watan ini tidak mengecualikan dan meminggirkan Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing yang lain.