Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 26 Ogos 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diberi penghormatan mempamerkan trofi Piala Dunia Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) 2023, hari ini sehingga 3 petang ini, sebelum dipamerkan di lokasi seterusnya untuk tatapan umum iaitu di Kompleks Membeli Belah One Utama.
Pegerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak berkata selaku penyelaras Pusat Kecemerlangan Sukan Kriket di institusi pendidikan tinggi (IPT), UKM amat berbesar hati atas penghormatan dan pemilihan UKM sebagai tuan rumah pada hari ini.
“Bagi memberi peluang dan semangat kepada murid-murid untuk melihat dengan lebih dekat trofi berprestij ini, Persatuan Kriket Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan UKM telah mengambil inisiatif menganjurkan Program Karnival Kriket Adiwira.
“Program ini diharap dapat menjadi salah satu program pembangunan untuk memperkenalkan sukan kriket di peringkat sekolah rendah.
“UKM sentiasa komited melalui beberapa program yang dianjurkan dalam membangunkan dan memperkenalkan sukan kriket dengan memberi peluang kepada murid-murid sekolah rendah untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka dalam sukan kriket,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada program Jelajah Trofi Piala Dunia ICC 2023: Karnival Kriket Adiwira, di sini.
Program jelajah tersebut dirasmikan oleh Presiden Yayasan Sime Darby, Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.
Beliau berkata format Kriket Adiwira pada kali ini adalah mudah, dengan menerapkan kemahiran asas dalam memukul, membaling, menjaga wiket dan memadang diharap dapat mengenalpasti pelajar-pelajar sekolah yang berpotensi menjadi pelapis pemain kriket negara pada masa hadapan.
“Saya juga berharap bidang sukan kriket ini menjadi platform terbaik untuk melahirkan pelajar yang cergas fizikal dan mental,” kata beliau.
Menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang merangkumi minda, fizikal, otot, saraf dan emosi, katanya, sukan itu mampu membentuk seorang pelajar dan atlet yang mempunyai semangat juang yang tinggi, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kental.
“Semoga program kali ini akan menjadi pembakar semangat untuk pelajar-pelajar sekolah mendalami sukan kriket dan berlatih bersungguh-sungguh agar dapat bertanding dan mengharumkan nama negara pada masa hadapan.
Jelajah Trofi Piala Dunia yang dianjurkan oleh ICC merupakan program penjelajahan Piala Dunia untuk dipamerkan di 18 buah negara yang terpilih, termasuk Malaysia.
Penganjuran Karnival Kriket Adiwira 2023 yang diadakan di UKM mengumpulkan pelajar dari 52 buah sekolah rendah tahun 4 hingga tahun 6 dari sekolah-sekolah sekitar Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Objektif utama program ini adalah untuk menerapkan minat terhadap sukan kriket dan mengembangkan keyakinan diri, kemampuan untuk menikmati persaingan yang sihat. Trofi Piala Dunia ICC 2023 itu berada di Malaysia semala dua hari iaitu pada 25 dan 26 Ogos 2023 dibeberapa lokasi iaitu Hotel Grand Dorsett, Kuala Lumpur untuk sesi bersama tetamu istimewa dan UKM serta Pusat Beli Belah One Utama untuk sesi orang awam.