DOHA (Qatar), 19 Mei – Malaysia melakar satu lagi lembaran baru dalam usaha ke arah menjadi sebuah hab pendidikan tinggi apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi universiti awam (UA) pertama negara yang berjaya membuka cawangan di luar negara iaitu di Doha, Qatar, dengan pengambilan pelajar sulung pada Oktober 2022.
Kejayaan UKM dalam menjadi pemangkin bagi UA mengembangkan sayap ke luar negara direalisasikan melalui majlis menandatangani satu Memorandum Perjanjian atau MoA di Doha hari ini antara UKM dan The Regional Group of Qatar yang merupakan sebuah syarikat yang menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan di Qatar.
Majlis bersejarah ini disaksikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.
Dalam ucapan beliau pada majlis berkenaan, beliau berkata pemeteraian perjanjian ini telah membuka lembaran baharu kepada Institusi pengajian tinggi Malaysia untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dari segi penyelidikan dan inovasi, pengajaran dan pembelajaran, perundingan serta pembangunan komuniti, walaupun menghadapi masa mencabar akibat wabak Covid-19.. “Saya gembira UKM telah menjadi penyumbang kepada pencapaian tersebut dan telah mengambil langkah seterusnya untuk meluaskan penglibatan pengantarabangsaannya dengan melebarkan sayapnya ke Qatar,” katanya.
Perjanjian tersebut telah ditandatangani Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman dan Sheikh Abd Rahman bin Khalifa bin Abdul Aziz Al-Thani, Ketua Pegawai Eksekutif, Regional Group Company Qatar.
Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman dalam ucapan beliau berkata pembukaan cawangan UKM di negara itu akan meningkatkan kerjasama dalam perundingan dan penyelidikan selain dari penawaran kursus dan memantapkan jenama UKM di negara-negara Teluk
“UKM amat berbangga dengan pengiktirafan ini. Sebagai sebuah universiti watan, UKM akan terus memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik dalam merentasi sempadan dunia,” katanya.
Beliau berkata pembukaan cawangan UKM di Doha adalah projek kerjasama dengan The Regional Group yang merupakan sebuah syarikat yang menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan.
“Melalui perjanjian ini, UKM bersetuju untuk menawarkan program-program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara persisir (offshore) di Doha.
“The Regional Group bertanggungjawab dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan fasiliti dan infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran. Manakala UKM bertanggungjawab menyediakan input akademik yang melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, jaminan kualiti dan pengijazahan,” ujarnya.