Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 31 Januari 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Pengajian Citra Universiti (PPCU) menjalin kerjasama dengan dua universiti dan tiga rakan industri bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Kerjasama itu dilaksanakan melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kajian Dasar IKRAM Sdn Bhd (KADRI), YES Empire Sdn Bhd dan AirAsia Academy.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Insustri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts Dr Norazah Mohd Nordin berkata bagi melahirkan graduan yang serba boleh dan meningkatkan kebolehpasaran graduan, penglibatan bersama pihak industri adalah penting dan dialu-alukan.
“Saya yakin Program Sarjana Muda Sains Citra dan Sarjana Sains Citra ini menjadi salah satu inisiatif yang bermanfaat kepada pelajar UKM yang selari dengan kehendak pasaran kini.
“Saya ingin memetik pembentangan YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi pada 12 Januari 2024 yang lalu, terdapat 20 landasan dalam meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara, antaranya ialah, institusi harus melakukan jalinan kerjasama bermakna dengan pihak industri dan yang kedua pengukuhan dan permerkasaan TVET dan work-based learning,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis Majlis Pertukaran Dokumen MoA dan MoU PPCU bersama Rakan Industri, di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, Program Sarjana Muda Sains Citra dan Sarjana Sains Citra yang dibangunkan oleh UKM telah berada pada landasan yang betul, dan kerjasama penyelidikan bersama industri turut sentiasa dipergiatkan dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.
“Dengan permeteraian dokumen kerjasama dan memorandum persefahaman ini akan menghasilkan graduan berbakat dan terbaik negara, mengukuhkan lagi ekosistem penyelidikan dan inovasi, melaksanakan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya.
“Semua yang disebutkan juga merupakan lima fokus utama Kementeria Pendidikan Tinggi bagi tahun 2024,” ujarnya.
Antara aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang tempoh kerjasama ini termasuklah pertukaran pelajar, pembelajaran berasaskan kerja dan penyelidikan.