Oleh Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 23 November 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melaksanakan hala tuju strategik yang berdaya tahan sebagai asas kecemerlangan, berikutan pelbagai inisiatif yang dijalankan untuk melahirkan graduan berkualiti.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah bahawa usaha ini dapat dilihat sejak baginda dilantik sebagai Canselor UKM.
Titah baginda, langkah-langkah ini bertujuan mempertingkatkan kualiti polisi, sistem tadbir urus, serta nilai dan kualiti dalam semua aspek pentadbiran dan pengoperasian.
“Kecemerlangan universiti ini diterajui oleh sumbangan kesarjanaan ahli akademik UKM dalam menzahirkan keilmuan untuk membentuk pemikiran dan merungkai pelbagai isu yang melingkari masyarakat, negara, dan dunia.
“Ini mampu meningkatkan akauntabiliti dan produktiviti para pentadbir UKM serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran institusi awam negara,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-52.
Baginda turut mengingatkan para ilmuwan agar memberikan sumbangan kepakaran dalam bidang masing-masing dengan berpaksikan kesarjanaan tinggi serta berhujah secara berhemah berdasarkan disiplin keilmuan masing-masing.
“Setiap warga UKM mempunyai amanah untuk memastikan universiti watan ini terus dirujuk berlandaskan semangat memperkasakan Rukun Negara dan jati diri kebangsaan.
“Beta berharap, walau setinggi mana kejayaan dicapai, asas penubuhan universiti ini yang unik terus dihayati dan tersemat kukuh dalam jiwa warga UKM.
“Perjuangan pemerkasaan bahasa kebangsaan, penghayatan nilai patriotik, dan pembangunan ilmu tinggi yang beracuan kebangsaan perlu terus disuburkan,” titah baginda.
Baginda juga menyarankan agar nisbah pensyarah dan pelajar yang optimum dikenal pasti segera demi memastikan tahap pembelajaran kekal berkualiti, sekaligus membantu UKM menetapkan jumlah pengambilan pelajar pada setiap semester.
“Selain itu, UKM perlu sentiasa memantau keperluan infrastruktur, peralatan, dan kemudahan pelajar serta pensyarah dari semasa ke semasa.
“Pemantauan berterusan serta tindakan penambahbaikan yang dilakukan mengikut keperluan akan menjamin suasana pembelajaran kondusif serta meningkatkan kualiti akademik dan imej UKM,” titah baginda.