Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 20 Jun 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Program Kampus Rendah Karbon 2030 dalam usaha mendukung dan menggerakkan agenda kelestarian kampus.
Kampus Rendah Karbon 2030 yang dilancarkan hari ini dijalankan berdasarkan empat fokus utama iaitu GreenHouse@UKM, program kitar semula, taman lestari, dan penggunaan tenaga solar di dalam kampus.
Disamping itu, UKM juga melaksanakan inisiatif untuk mengurangkan pelepasan karbon melalui pemuliharaan, tenaga dan perubahan iklim, pengurusan sisa, kecekapan air serta pengangkutan, pendidikan, dan penyelidikan.
Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Hj. Toriman, UKM komited untuk mencapai penjimatan sehingga 16 peratus dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2050.
“UKM mula menggunakan peralatan cekap tenaga pada tahun 2015. Penggantian peralatan cekap tenaga ini telah dijalankan secara berperingkat dan telah melebihi 50 peratus penggunaannya pada tahun 2024.
“Sementara itu, taman Lestari UKM dibangunkan sebagai hab pendidikan pertanian bandar dalam usaha mempromosikan budaya kehidupan lestari. Taman ini ditanam dengan pelbagai jenis sayur-sayuran, seperti salad, sawi, bendi, keledek dan lain-lain tanaman kontan.
“Projek Tenaga Solar UKM pula mampu memberikan penjimatan kos elektrik universiti 10 hingga 20 peratus dalam masa 15 tahun.
Majlis ini dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Nres), Datuk Dr. Ching Thoo Kim.
Beliau berkata usaha UKM dalam menggunakan teknologi hijau di sekitar kampusnya selari dengan perancangan kerajaan dalam mencapai 200 zon rendah karbon seluruh negara.
Tambahnya, pelaksanaan Program Kampus Rendah Karbon 2030 bergerak seiring dengan agenda pembangunan mampan bagi melestarikan alam sekitar dalam mendepani cabaran perubahan iklim di peringkat kampus.