Oleh Murniati Abu Karim
Foto Prof Madya Dr Fazal Mohamed Mohamed Sultan
GUA MUSANG, 13 Mac 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan sebuah papan tanda pencegahan Covid-19 dalam bahasa Mendriq yang dibangunkan daripada pengetahuan peribumi Orang Asli (OA) Mendriq di Pos Kuala Lah, Gua Musang, Kelantan.
Menurut ketua penyelidik, Prof Madya Dr Fazal Mohamed Mohamed Sultan, pakar Linguistik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, projek ini adalah bagi mendidik OA dengan tindakan pencegahan Covid-19 dengan penghasilan papan tanda di dalam bahasa yang memudahkan fahaman OA terhadap penyakit tersebut.
“Pada masa ini, maklumat kesihatan awam yang dikeluarkan oleh kerajaan hanya memenuhi pemahaman penduduk arus perdana, menjadikan OA terpinggir.
“Tambahan pula, maklumat yang disampaikan tidak selaras budaya dengan pandangan dunia OA dengan wujudnya perkataan yang berhubung dengan penyakit ini yang tidak pernah didengar oleh mereka, menyebabkan kesukaran untuk menyampaikan mesej dengan jelas,” katanya.
Justeru, kajian ini juga menggabungkan pakar Sejarah, Prof Madya Dr Azlizan Mat Enh dan Perubatan, Prof Dr Hidayatulfathi Othman UKM bagi mengumpul pengetahuan peribumi (Indigenous Knowledge) OA Mendriq dalam skop kebersihan, jangkitan, pencegahan, penyakit, dan wabak.
Kajian yang melibatkan kaedah temubual seramai 60 OA ini mengkaji sampel perkataan, frasa dan ayat spontan daripada pengetahuan peribumi mereka seterusnya, bahasa tersebut dianalisis dan ditranskripsikan ke atas papan tanda.
Menurut Prof Madya Dr Fazal, papan tanda ini bakal dimanfaatkan oleh seramai 306 orang OA Mendriq yang tinggal di beberapa kawasan di Gua Musang.
Papan tanda ini dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berharap agar papan tanda yang menggunakan gabungan infografik dan perkataan bahasa OA ini dapat menjadi peringatan seharian.
“Strategi ini diharapkan dapat dimanfaatkan untuk menjadi kaedah kawalan penyakit Covid-19 serta memastikan kehidupan yang sihat dan sejahtera untuk semua peringkat umur OA Mendriq di Gua Musang,” katanya. Projek yang bermula pada Mei 2022, ditaja oleh United States Agency for International Development dan diselia oleh Southeast Asia One Health University Network.