BANGI, 7 Februari 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan program perdana AIOT-Preneur dalam usaha memperkasakan aspek kecerdasan buatan (AI) dan internet pelbagai benda (IoT) dalam sektor pendidikan tinggi.
Program ini merupakan kerjasama bersama Institut Informatik Visual (IVI) UKM dan rakan strategik dari industri iaitu ARBIOT Sdn Bhd, PowerNow Sdn Bhd dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Pengarah IVI, Prof Madya Dr Rabiah Abdul Kadir, berkata Kementerian Pendidikan Tinggi sangat menggalakkan jaringan kolaborasi berbentuk quadruple helix, iaitu merujuk kepada kolaborasi di antara akademia, industri, kerajaan dan masyarakat setempat bagi menggalakkan aktiviti inovasi dan pengkomersialan melalui hasil penyelidikan yang dijalankan di universiti.
Kolaborasi berbentuk quadruple helix ini sangat berpotensi untuk membantu semua lapisan masyarakat menjadi lebih maju.
Ianya juga memberi peluang kepada kita untuk bekerjasama membantu menaikkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah agar meningkat ke arah lebih baik.
“Program ini adalah salah satu usahasama untuk meningkatkan golongan tersebut agar menjadi lebih baik, sekaligus meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Tambahnya, program AIOTPreneur ini disusun untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dari segi teknologi dan keusahawanan kepada para peserta program diamana mereka akan didedahkan dengan pengurusan bisnes melalui mesin layan diri.
IVI juga akan memastikan technology transfer akan dilaksanakan agar semua pihak dapat menikmatinya.
“Para penyelidik di universiti perlu mengambil peluang ini untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kepakaran di samping mengeluarkan hasil penyelidikan yang bertepatan dengan kehendak dan keperluan industri,” katanya.
Pada majlis yang sama, Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani melancarkan mesin layan diri berteraskan AI, Mesin Smart-Vending AIOT.
Menurut Prof Madya Dr Rabiah, data yang diperoleh daripada Mesin “Smart-Vending” ini akan digunakan oleh pihak IVI dalam menjalankan kajian dan inovasi untuk lebih memahami tingkahlaku pengguna dan sebagainya untuk memperkayakan pengalaman pengguna dalam ekosistem mesin layan diri.