UKM Lancar Sistem E-Merit

Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Muhammad Izwan Azman

BANGI, 13 Julai 2023Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan sistem E-Merit, bagi memastikan proses pemilihan pelajar kolej akademia (kediaman) lebih sistematik, mudah dan efisien.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Hj. Toriman berkata sistem ini merupakan inisiatif daripada Pusat Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Perumahan Pelajar dalam menangani isu pemilihan penempatan pelajar di kolej kediaman.

“Sistem E-Merit dapat membantu memperkemaskan pengurusan logistik penginapan dan memudahkan proses pemilihan pelajar yang layak untuk menginap di Kolej Kediaman.

“Sistem ini dijana berdasarkan pengisian maklumat oleh pelajar atau organisasi pelajar dan akan mengambil kira input seperti, data B40, badan beruniform, i-STAR serta kecemerlangan akademik,” katanya.

Sistem yang dibangunkan oleh Pusat Teknologi Maklumat ini dijangka akan beroperasi pada Semester 1 Sesi Akademik 2023/2024, tambahnya.

Dalam majlis yang sama, Naib Canselor turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) Kolej Kediaman Sesi 2022/2023.

Beliau menekankan kepentingan MEP lantikan baru untuk memberikan komitmen yang tinggi dalam menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan serta melihat peluang yang diberikan sebagai satu cabaran dan bukannya keistimewaan atau privilege.

“Sebagai pimpinan pelajar, anda perlulah berupaya mengemukakan cadangan dan pandangan yang konstruktif, ideal, viable, dan presentable.

“Selaras dengan naratif baharu UKM dan sebagai generasi pewaris watan, anda haruslah menunjukkan prestasi yang luar biasa, kemahiran memimpin yang mantap, keterampilan yang kemas dan pencapaian akademik yang baik,” katanya.

Tambahnya, MEP memainkan peranan penting sebagai pemimpin kepada pelajar di kolej untuk menghidupkan suasana di kolej dengan pelbagai aktiviti yang dapat membangunkan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar.

“Kolej bukanlah sekadar tempat untuk menginap sahaja, namun kolej haruslah berperanan dalam membangunkan kemahiran pelajar di luar bilik kuliah bagi membentuk mahasiswa yang cemerlang dan holistik,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyentuh mengenai Pelan pewujudan Kolej Akademia ke-13 (Kolej Idris Al-Marbawi dan Pangsapuri Taman Tenaga) serta naik taraf Pangsapuri Laman Midah oleh pihak PPP dijangka akan menambah kapasiti keseluruhan kolej kediaman UKM kepada 15,026.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran hampir 180 orang pelajar daripada dua belas Kolej Akademia yang terdiri daripada lantikan baru dan mantan.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa; Prof. Dr. Mohammad Kassim, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni; Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil; dan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin,

Leave a Reply