Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 16 Oktober 2023 – Pusat Kajian Penuaan Sihat & Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan tiga produk inovasi yang dikomersialkan bersama rakan industri iaitu aplikasi FallSA bersama Pantai Integrated Rehab Sdn. Bhd., produk ulam raja MindLumina bersama Aurora Health Sdn. Bhd dan Jus TP 3-in-1 bersama ODO Solution Sdn. Bhd.
Aplikasi FallSA yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik FSK adalah bagi membolehkan warga emas mengenal pasti dan memantau risiko jatuh kendiri bersama penjaga dan profesional penjagaan kesihatan. Jadi, pencegahan dan rehabilitasi awal dan pengurangan risiko jatuh dalam kalangan warga emas dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan baik.
Selain itu, dua produk makanan tambahan kesihatan yang turut dilancarkan memfokuskan kepada peningkatan fungsi kognitif dan daya ingatan. Produk tersebut adalah MindLumina, iaitu pati botani yang memanfaatkan ulam tempatan iaitu ulam raja, Cosmos caudatus (CC). Produk ini mempunyai sifat antioksidan yang kuat dan mampu mencegah penyakit neurodegeneratif termasuk demensia.
Manakala jus TIPPI 3-in-1 pula adalah inovasi melibatkan minuman yang dirumus khas terdiri daripada campuran buah-buahan tropika kaya dengan polifenol untuk mencegah risiko penurunan kognitif dan serta penyakit Alzheimer.
Jus TIPPI 3-in-1 kaya dengan polifenol yang boleh mengurangkan tekanan oksidatif dan mencegah risiko penyakit yang berkaitan dengan tekanan oksidatif dan penuaan, termasuklah penurunan fungsi kognitif.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. ChM. Dr. Mohammad Kassim berkata semua produk yang dilancarkan itu dijangka akan memberi impak yang lebih besar kerana keberkesanannya telah dikaji dibuktikan menerusi penyelidikan.
Selain itu, katanya, penglibatan dan kerjasama bersama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) UKM dan PAWE lain di Selangor juga amat penting kerana sokongan rakan sebaya dalam program kesihatan ke arah penuaan sihat dalam kalangan warga emas menawarkan pelbagai manfaat, termasuk motivasi, hubungan sosial, pengalaman yang dikongsi, pembinaan kemahiran, sokongan emosi dan kesejahteraan keseluruhan.
“Peningkatan populasi warga emas di Malaysia juga menyumbang kepada peningkatan penyakit atau komorbiditi penyakit berkaitan obesiti dan tekanan darah tinggi serta seumpamanya.
“Ini secara tidak langsung akan meningkatkan risiko penyakit demensia dan strok.Bukan setakat itu sahaja, rawatan bagi kedua-dua penyakit ini juga menelan kos yang agak tinggi,” katanya semasa menyampaikan ucapan ujar beliau.
Jadi, katanya, program dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh H-CARE adalah salah satu cara bagi pihak universiti untuk menyumbang semula kepada masyarakat.
“Kita harap dengan adanya program seperti hari ini, secara tidak langsung masyarakat akan menjadi lebih cakna terhadap penuaan sihat,” tambahnya. Sambuhan Hari Warga Emas 2023 dengan tema “Memartabatkan Hak Warga Emas: dihadiri oleh lebih 500 komuniti di sekitar Bangi. Pelbagai aktiviti seperti brisk walk, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mata turut diadakan sepanjang program itu berlangsung.