Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 2 Oktober 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggesa universiti melahirkan graduan yang membudayakan kecemerlangan tanpa meminggirkan nilai kerohanian dan jiwa, kata Naib Canselor, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Beliau berkata pelajar-pelajar UKM akan melalui suatu proses pendidikan holistik yang meliputi pembentukan “otak dan watak”, yang akan membawa kepada pembangunan bakat masa hadapan yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berbudaya watan (excellence with soul).
Katanya, di UKM, beliau percaya bahawa kemenjadian mahasiswa akan menghasilkan graduan bitara yang mempunyai sifat dan karakter yang unggul, berketerampilan, kompeten dan progresif.
“Pembentukan otak dan watak ini maksudnya anda (pelajar) mempunyai tahap pemikiran yang baik dan pada masa sama, memiliki keperibadian cemerlang. Barulah akan lahir bakat berkualiti.
“Di UKM ini, kita semua percaya bahawa manfaat yang lebih besar akan diperoleh, sekiranya kita sentiasa memekarkan hati budi dengan nilai-nilai murni. Kejayaan akademik semata-mata tidak menjanjikan kehidupan yang bermakna,” katanya semasa menyampaikan amanat kepada pelajar baharu pada Majlis Amanat Naib Canselor, di sini, hari ini.
Beliau berkata apabila pemikiran dan sahsiah cemerlang, proses pembelajaran di UKM akan menjadi lebih bermakna.
“Anda akan lahir sebagai seorang graduan yang bukan sekadar bijak mengatur masa depan, tetapi juga menjadi khalifah dalam apa jua yang anda perjuangkan.
“Anda menjadi duta dan pakar rujuk masyarakat sekeliling serta seorang pemimpin yang disegani. Inilah keberhasilan graduan yang kita perjuangkan.
“Kecemerlangan akademik tampil seiring dengan keterpujian sahsiah. Barulah anda lahir sebagai mahasiswa luar biasa! Inilah acuan otak dan watak yang menjadi esensi sistem pendidikan di UKM,” tegas beliau.
Katanya, itulah yang dihasratkan oleh KPT seiring dengan 5 Fokus Utama yang meliputi 20 Landasan Halatuju yang telah digariskan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.
Beliau turut menyatakan bahawa UKM berkongsi nilai yang sama dengan TERAS, di mana huruf ‘S’ mewakili ‘soul’ bagi menekankan kepentingan aspek rohani atau kemanusiaan dalam mencapai kecemerlangan individu.
Tambahnya, meskipun UKM merupakan universiti yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, universiti ini sentiasa relevan dan setaraf dengan universiti-universiti lain, terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi.