Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 27 Januari 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Unit Perkhidmatan dan Sokongan Orang Kurang Upaya UKM mengadakan Karnival Cakna OKU 2023 bagi memperkasakan komuniti serta kampus universiti yang mesra dan prihatin orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil berkata Dasar Inklusif OKU dan sistem sokongan perlulah dipertingkat supaya pelajar OKU mendapat akses pendidikan yang lebih baik dan berkualiti.
“Walaupun pelbagai kemudahan fizikal dapat disediakan di universiti tetapi persediaan masyarakat terutama tenaga pengajar di IPT sendiri untuk menerima pelajar OKU perlulah sentiasa tersemat dalam jiwa masing-masing.
“Hal ini supaya, persepsi masyarakat terhadap OKU bukan hanya sekadar dilihat pada kekurangan fizikal semata-mata tetapi kebolehan dan kepakaran yang mereka miliki untuk turut sama menyumbang seperti individu normal yang lain,” katanya.
Tambahnya, pendedahan dan kesedaran perlu diberi kepada seluruh warga universiti supaya mereka lebih cakna terhadap keperluan golongan OKU.
“Dengan adanya pemahaman warga universiti terhadap OKU juga akan membantu kita semua lebih menghargai kemudahan dan akses OKU yang disediakan. Ia juga akan mengubah persepsi warga universiti untuk melihat kehadiran OKU sebagai suatu kebaikan dan manfaat buat diri dan warga universiti.
“Sebagai contoh, tandas dan tempat letak kereta OKU yang disediakan universiti tidak boleh digunakan sesuka hati oleh warga kampus,” katanya.
Menurutnya, warga OKU UKM adalah seramai 71 orang iaitu 24 orang staf dan 47 orang pelajar yang terdiri dari peringkat Sarjana Muda sehinggalah ke peringkat Doktor Falsafah.
“Hal ini membuktikan bahawa UKM tidak pernah sekalipun meminggirkan golongan OKU untuk berada disini. Malahan universiti ini sentiasa meraikan kekuatan yang ada pada diri mereka,” katanya.
Pada majlis ini, Nazrul Muhamin Abdul Aziz, pelajar Pascasiswazah Linguistik menerima Anugerah Mahasiswa OKU Harapan manakala, Shafrin Omar, pembantu Belia Dan Sukan pula menerima Anugerah Staf OKU Harapan.
Program anjuran bersama dari Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (I-KOM) ini dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Encik Hirman Awang @ Semail.
Bertemakan “UKM Jiwa Prihatin: Mesra OKU”, program ini berlangsung selama dua hari dengan pelbagai pengisian yang melibatkan penglibatan mahasiswa UKM daripada pelbagai Fakulti dan warga OKU.