Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat
KUALA LUMPUR, 12 September 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan para pengamal media dalam sebuah majlis penghargaan iaitu majlis MediaWave UKM 2024.
Naib Canselor UKM, Prof. Dato Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman berkata, MediaWave adalah untuk meraikan para pengamal media yang sentiasa meningkatkan citra UKM melalui penulisan dan liputan media secara berterusan.
“UKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengamal media yang teilah membuat liputan mengenai UKM, baik media cetak mahupun elektronik termasuk secara dalam talian.
“Artikel yang ditulis oleh warga UKM juga mendapat tempat di dadadada akhbar dan pakar di UKM turut dijemput untuk membicarakan isu penting negara serta masyarakat dalam rancangan bual bicara di media,” katanya.
Hadir merasmikan majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Megat-Sany Megat Ahmad Supian.
Pada majlis itu, UKM turut menyampaikan lima kategori anugerah kepada media iaitu Anugerah Berita Terbaik, Anugerah Rencana Terbaik, Kupasan Isu Terbaik, Anugerah Liputan Terbanyak dan Anugerah Program Wawancara Terbaik.
Wartawan Berita Harian, Tuty Haryanti Ahmad Rodzi dinobat sebagai penerima Anugerah Berita Terbaik.
Selain itu, wartawan Harian Metro, Muhammad Razis Ismail dan Rosalinda Md Said dari Utusan Malaysia masing-masing memenangi Anugerah Rencana terbaik dan Kupasan Isu Terbaik.
Malam MediaWave 2024 turut menobatkan Anugerah Program Wawancara Terbaik dan Anugerah Liputan masing-masing dimenangi Program Selamat Pagi Malaysia (RTM) dan Harian Metro.
Menurut Mohd Ekhwan, analisis data yang dibuat menunjukkan pada tahun ini, dari Januari hingga Ogos, sebanyak 7,867 petikan UKM keluar di surat khabar bercetak, 5,604 akhbar online dan 1,229 di televisyen dengan jumlah keseluruhan petikan sebanyak 14,700.
“Angka ini menyedarkan UKM bahawa sokongan media yang berterusan adalah amat penting untuk menyerlahkan UKM ke persada masyarakat di tanahair dan antarabangsa,” katanya.