UKM Terima Sumbangan Wakaf Daripada Affin Islamic Bank Bagi Program Sekolah Dalam Hospital Untuk Kemudahan dan Kesejahteraan Pesakit Kanak-Kanak

Oleh Kaharuddin Sharkawi
Foto Ikhwan Hashim

Cheras, 25 Oktober 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Affin Islamic Bank memperkukuhkan kerjasama strategik dalam penyediaan fasiliti pendidikan dan kesihatan untuk rakyat Malaysia. Kerjasama strategik antara dua pihak ini telah direalisasikan melalui Majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf dan Perasmian Ruang Oasis Minda@Sekolah Dalam Hospital bertempat di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ruangan Oasis Minda@Sekolah Dalam Hospital ini merupakan hasil kolaborasi pintar Yayasan Canselor, Fakulti Pendidikan UKM dan Hospital Tunku Ampuan Besar Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM. Ruang ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor.

“Penglibatan pihak Industri dalam memberi penajaan dan membantu penyediaan fasiliti terbaik kesihatan dan pendidikan di Malaysia khususnya melalui sumbangan berbentuk endowmen dan wakaf amat digalakkan selaras dengan matlamat yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melibatkan kerjasama strategik antara pemain industi dan institusi pengajian tinggi,” katanya.

Ruang Oasis Minda@Sekolah Dalam Hospital ini telah dinaik taraf dengan lebih menarik dan futuristik yang dilengkapi dengan peralatan kreatif untuk aktiviti seni, yang direka khusus untuk menyokong aspek perkembangan mental dan emosi kanak-kanak dalam situasi kesihatan yang mencabar.

Ruang ini bukan sahaja melengkapkan keperluan pendidikan pesakit kanak-kanak di hospital tetapi juga membantu pihak guru untuk proses pembelajaran dan berinteraksi dalam suasana yang menyenangkan, sekaligus mempercepatkan proses pemulihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank, Dato’ Paduka Syed Mashafudin Syed Badarudin turut menyokong perkara ini di dalam ucapan beliau: “Kami percaya dengan kewujudan Ruang Oasis Minda ini akan dapat memberi peluang kepada kanak-kanak meneruskan pembelajaran mereka yang kondusif sepanjang menerima sesi rawatan di hospital serta mencerminkan tanggungjawab sosial kami dalam memastikan kebajikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik terus terjaga.”

Dengan terlaksananya ruang Oasis Minda@Sekolah Dalam Hospital, UKM berharap sumbangan wakaf yang digunakan untuk penyediaan ruang ini dapat memupuk semangat dan motivasi kepada kanak-kanak yang menerima rawatan untuk terus berusaha dalam pelajaran walaupun berhadapan dengan ujian kesihatan.

Leave a Reply