Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 12 Oktober 2024 – Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan mental di kalangan masyarakat.
Pada sambutan ini juga, seramai 375 orang peserta membuat cubaan mencipta Guinness World Records, Trust Fall Challenge terbesar dengan tujuan memecahkan rekod sebelumnya yang melibatkan 339 individu.
‘Trust fall’ adalah satu aktiviti di mana seseorang menjatuhkan diri ke belakang sambil meletakkan sepenuh kepercayaan kepada individu di belakang mereka untuk disambut dengan selamat.
Dengan Trust Fall Challenge ini, UKM berhasrat untuk menunjukkan secara simbolik bahawa dalam menghadapi masalah mental, kita memerlukan sokongan dari orang sekeliling.
Menurut Ahli Lembaga Pengarah UKM, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali, acara ini adalah platform penting untuk meningkatkan kesedaran awam dan menyokong usaha mengukuhkan kesejahteraan mental di seluruh negara.
“Kesihatan mental adalah komponen penting dalam kehidupan manusia yang mempengaruhi kesejahteraan fizikal, emosi, sosial, dan ekonomi.
“Dengan memberi perhatian yang sewajarnya kepada kesihatan mental, individu dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan produktif, manakala masyarakat pula akan lebih harmoni dan progresif,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk bersama-sama memanfaatkan peluang ini untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta memperbaiki kesejahteraan mental individu dan komuniti.
Program ini juga bertujuan untuk mengurangkan stigma terhadap penyakit mental, serta menyediakan platform pendidikan dan latihan untuk pelbagai lapisan masyarakat termasuk profesional penjagaan kesihatan, penjaga, pelajar, dan orang awam.
Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (TKPPT(A), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub. Disamping itu, pelbagai aktiviti, forum, saringan kesihatan dan pameran dianjurkan bagi memupuk pemahaman yang lebih mendalam mengenai kesihatan mental.