Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 2 Mac 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional (UKMShape) memperkukuhkan kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi dengan institusi pendidikan di Wilayah Riau, Indonesia terutamanya dalam pemberian biasiswa untuk pelajar Indonesia yang ingin mengikuti program prasiswazah dan pascasiswazah di UKM.
Kerjasama itu dibincangkan pada Majlis Lawatan Rasmi Gubernur Riau, Indonesia dan Perbincangan antara UKM, Pemerintah Provinsi Riau serta wakil dari Riau Petroleum, Indonesia yang dihadiri oleh Timbalan Naib CanselorHal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim dan Gubernur Provinsi Riau, Republik Indonesia, Drs. H. Syamsuar, M. Si.
Menurut Prof. Dr. Mohammad, pemberian biasiswa itu adalah satu inisiatif yang akan meningkatkan kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua negara di samping memberi peluang kepada pelajar Indonesia melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka di Malaysia.
“Program biasiswa yang dibincangkan ini dijangka meliputi yuran pengajian, penginapan dan kos sara hidup bagi pelajar Indonesia yang layak diterima masuk ke program prasiswazah dan pascasiswazah di UKM.
“Ini akan memberikan mereka sokongan kewangan yang diperlukan untuk melanjutkan pelajaran tanpa perlu risau tentang kos sara hidup dan pengajian di negara asing,” katanya.
Beliau berkata kunjungan Gabenor Syamsuar ke UKM adalah langkah positif ke arah mengeratkan hubungan Indonesia dan Malaysia dalam sektor pendidikan.
“Lawatan ini juga diharapkan akan membawa kepada pembangunan kerjasama jangka panjang antara UKM dan universiti di Wilayah Riau,” katanya.
Prof. Dr. Mohammad memaklumkan bahawa terdapat 30 orang pelajar Indonesia khasnya dari Riau sedang mengikuti pengajian di UKM dalam pelbagai bidang.
Sementara itu, Drs. H. Syamsuar menyokong inisiatif tersebut dan menggalakkan pelajar Indonesia memanfaatkan peluang itu sebaiknya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara universiti di Indonesia dan Malaysia, yang boleh membantu memupuk persefahaman bersama dan menggalakkan kecemerlangan akademik di rantau ini. Pada majlis ini turut diadakan pemeteraian Surat Hasrat (LoI) sebagai sokongan kerjasama antara kedua-dua pihak.