Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
KUALA LUMPUR, 15 Mei 2024 – Inovasi wakaf perlu diperluas dan diberi tumpuan khusus kerana potensinya amat besar dalam memangkin pembangunan ekonomi dan pemerkasaan ummah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata seiring dengan perkembangan instrumen wakaf semasa, negara perlu bergerak lebih pantas untuk memanfaatkannya secara optimum.
“Kalau kita lihat, telah banyak inovasi berlaku dalam wakaf, dari wakaf tradisional ia telah bergerak lebih sofistikated dan canggih. Jika wakaf diberi tumpuan, ini akan memberi sumbangan besar kepada ekonami dan pemerkasaan ummah,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Wakaf Antarabangsa 2024(IWC24): Pemerkasaan Wakaf Dalam Kemapanan Ekonomi dan Pembangunan Ilmu di Hotel EQ, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Dr Ridzwan Bakar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.
Dr Zulkifli berkata, IWC24 yang diadakan selama dua hari itu menjadi platform kepada pertukaran idea serta buah fikiran daripada kalangan peserta agar potensi instrumen wakaf dapat digembleng yang akhirnya akan menatijahkan pembangunan ekonomi yang lestari dan mampan.
Katanya, ini merupakan antara perkara yang penting untuk melihat bagaimana wakaf boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan pembangunan ilmu.
“Perkembangan wakaf begitu positif. Seluruh Malaysia sedang giat mengembangkan lagi potensi wakaf. Sebagai contoh, di peringkat universiti, UKM cuba untuk menerajui wakaf supaya Malaysia boleh menawarkan model terbaik kepada dunia dan dapat menguruskan wakaf secara sistematik dan profesional,” katanya.
Sementara itu,Prof Dato’ Ts Dr Norazah berkata melalui IWC24, semua peserta dapat mendalami potensi terutamanya dalam inovasi wakaf bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat tempatan dan global. Ini dapat memberi manfaat kepada pelbagai masyarakat khususnya pelajar dan kakitangan UKM.
Beliau berkata inisiatif ini selaras dengan aspirasi UKM, yang bertujuan untuk memastikan setiap warga universiti dapat mewujudkan identiti nasional, komitmen dan semangat yang kukuh untuk menyumbang kepada pembangunan universiti, masyarakat dan negara secara keseluruhannya.