Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
KUALA LUMPUR, 18 Julai 2023 – World Renewable Energy Congress (WREC) ke-22, 2023 yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengumpulkan para saintis, para penggubal dasar, pemain industri khususnya Tenaga Boleh Baharu (TBB), pelajar dan wakil komuniti dari dalam dan luar negara bagi membincangkan dan meneroka teknologi dan kerjasama, sesi sumbang-saran serta perkongsian inovasi baharu dan amalan terbaik dalam peralihan tenaga untuk mencapai sasaran penyahkarbonan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dalam ucapannya berkata persidangan WREC itu merupakan jalan penting untuk membawa inovasi dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi peralihan tenaga bagi memberi manfaat kepada masyarakat.
“Ia termasuk keperluan peralihan tenaga bagi mencapai penyahkarbonan untuk pembangunan sosio-ekonomi yang lebih mampan dan mesra alam,” katanya.
Beliau telah memberikan contoh tren peningkatan kapasiti dan jumlah projek TBB diseluruh dunia walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi global dan risiko krisis tenaga.
“Ini termasuk peningkatan hampir 10 peratus kapasiti TBB di seluruh dunia dan hampir 60 peratus di Asia pada tahun 2022 seperti yang telah dilaporkan oleh International Renewable Energy Agency (IRENA),” ujar beliau.
Katanya, semua perkembangan positif ini dipacu oleh Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di peringkat global.
Saya berharap perbincangan dan sesi perkongsian yang diadakan semasa persidangan ini akan membuka jalan ke arah kerjasama yang erat yang boleh memberi manfaat kepada semua peserta dan pihak berkepentingan.
“Kita mempunyai peluang yang luar biasa untuk menjadikan 2023 sebagai petunjuk dalam peralihan tenaga, masa yang pasti untuk titik permulaan bagi menentukan tindakan iklim.
“Selama beberapa dekad, kita diberitahu bahawa banyak isu dan halangan untuk inisiatif peralihan tenaga di peringkat nasional dan antarabangsa terlalu sukar untuk diatasi, perubahan tingkah laku yang hampir mustahil, kos yang terlalu tinggi, kedudukan politik dan perniagaan adalah serupa dengan merentas medan periuk api dan halangan teknologi akan mengambil masa beberapa dekad untuk diatasi agar penyelesaian yang boleh dilaksanakan secara ekonomi dapat diterima secara meluas,” katanya.
Namun, ujar beliau, perkembangan sebaliknya telah berlaku dan kini masyarakat dapat menyaksikan momentum global untuk peralihan tenaga di seluruh dunia.
Kongres bertemakan Transition Towards a Carbon-Free Future yang berlangsung selama lima hari bermula 16 Julai lalu mengumpulkan penggubal dasar, pemain industri khususnya TBB, pelajar dan wakil komuniti dari dalam dan luar negara.
Hadir sama adalah Ketua Setiausaha (KSU) MOSTI; Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim, Timbalan KSU (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi; Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani. Penganjuran WREC 2023 itu juga turut mendapat kerjasama daripada World Renewable Energy Network (WREN) dengan kerjasama Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) turut menyaksikan pemeteraian kerjasama antara MOSTI dengan NanoMalaysia, Petronas, UMW dan MGTC untuk pelaksanaan Mobile Hydrogen Refueling Station Project.