Pejabat Naib Canselor

Ilmu Menyelamat Nyawa – Sentiasa Relevan!

Diterbitkan pada: 10/04/2025

Canselori, 20 Mac 2025

Seramai 50 orang peserta telah menyertai Kursus Latihan Asas Kecemasan CPR & AED yang diadakan di Bilik Bankuasi, Aras 2, Bangunan Canselori, UKM. Kursus ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKKP PNC) dengan kerjasama Pusat Kesihatan Universiti (PKU UKM).

Program yang bermula seawal jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi ini bertujuan memberi pendedahan awal dan latihan asas kepada warga UKM mengenai teknik menyelamat mangsa yang tidak sedarkan diri melalui CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) serta penggunaan peranti AED (Automated External Defibrillator).

Sepanjang sesi berlangsung, para peserta diberi penerangan mengenai tindakan awal dalam menghadapi situasi kecemasan seperti serangan jantung atau kes lemas. Mereka turut terlibat secara aktif dalam sesi amali, mencuba teknik tekanan dada dan penggunaan AED melalui latihan simulasi menggunakan manikin.

Latihan ini bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan, malah meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta keyakinan peserta untuk bertindak dengan tenang dan berkesan dalam keadaan sebenar. Suasana interaktif dan santai menjadikan program ini lebih menarik dan mudah difahami oleh semua lapisan peserta.

JKKKP PNC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PKU UKM atas kerjasama yang diberikan dan berharap agar kursus seumpama ini dapat diteruskan secara berkala demi kesejahteraan dan keselamatan komuniti kampus.

📸 Galeri