Aktiviti Kelestarian (SDG)
Agronomi: Memperkasa Kelestarian Makanan Komuniti
Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED) telah berjaya melaksanakan Program Agronomi: Memperkasa Kelestarian Makanan Komuniti di Dewan Komuniti Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor, Malaysia pada 23 Julai 2023. Program ini telah melibatkan seramai 70 orang peserta daripada Mukim Tanjong Dua Belas yang turut dibantu oleh 10 orang fasilitator iaitu ahli Kelab MyAgrosis.
Melalui program ini, para peserta dapat mempelajari kaedah penanaman yang lebih canggih serta berteknologi iaitu kaedah penanaman secara fertigasi dan hidroponik. Menerusi teknologi fertigasi, peserta dalam mempelajari bahawa pemberian baja dapat disukat dengan lebih tepat sesuai dengan keperluan tanaman harian dan juga dapat menjimatkan air. Malah, kaedah hidroponik dapat menjimatkan ruang lebih-lebih lagi menggunakan kos permulaan yang berpatutan. Mereka boleh menanam sayuran sendiri di rumah tanpa perlu khuatir akan keperluan makanan sihat.
Bukan itu sahaja, para peserta telah dibekalkan dengan satu set kit permulaan sistem fertigasi dan hidroponik di akhir program secara percuma. Mereka dapat mengaplikasi kemahiran yang dipelajari di rumah masing-masing. Tambahan lagi, hasil tanaman ini boleh dijual kepada penduduk setempat dan memulakan perniagaan kecil selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 1): Tiada Kemiskinan. Program ini banyak memberi kemahiran baru kepada komuniti sekitar seperti kaedah penanaman dan asas keusahawanan di samping mempromosi kelestarian makanan dalam kalangan komuniti.