Pusat Sistematik Serangga

 Centre for Insect Systematics

Dia Tidak Bersalah: Kumbang Ladybird Pemangsa Disalah Erti

Oleh : Prof Madya Dr Salmah Yaakop & Nadia Nisha Musa
Pusat Sistematik Serangga, Universiti Kebangsaan Malaysia

Coccinellids, ladybirds, ladybugs dan lady beetles merupakan nama umum yang diberikan ke atas spesies kumbang bersaiz kecil yang cantik dan menarik seperti yang ditunjukkan pada Rajah 1. Kebiasaannya, spesies ini dipanggil dengan nama kumbang kura-kura, walau bagaimanapun penamaan tersebut tidak begitu tepat. Ini kerana spesies kumbang kura-kura hanya merujuk kepada kumbang spesies lain yang tergolong dari subfamili berbeza iaitu Cassidinae di bawah famili Chysomelidae (Rajah 2).  Struktur badan ladybird ini membulat dengan bahagian kepala yang menjunam ke bawah, ciri ini membezakannya dengan jelas dengan spesies kumbang-kumbang yang lainIa tergolong di bawah famili Coccinelidae dan mempunyai pertalian rapat dengan kumbang Chrysomelidae, iaitu yang dikenali sebagai kumbang daun atau pemakan daun. Dari sudut kelakuan, kedua-dua kumpulan kumbang ini merupakan perosak tanaman khususnya sayur-sayuran.

Rajah 1 Gambarajah kumbang ladybird
Rajah 2 Spesies Cassidinae, Kumbang Kura-kura

Ribuan spesies ladybird ini direkodkan di seluruh dunia, manakala lebih kurang 2000 spesies didapati di Malaysia. Menariknya, spesies ini dikelaskan kepada dua kumpulan besar iaitu mengikut peranan masing-masing iaitu sebagai perosak tanaman dan juga pemangsa kepada serangga perosak tanaman. Rata-rata tuduhan diberikan ke atas spesies kumbang ladybird ini sebagai perosak tanaman, ini kerana ia seringkali dilihat bergerak aktif pada pokok sayuran sedangkan banyak spesies lain dari kumpulan pemangsa terdapat di kawasan tersebut dengan memakan perosak tanaman lain seperti afid (Rajah 3) dan serangga sisik.

Rajah 3 Afid merupakan sumber makanan bagi kumbang ladybird pemangsa

Tetapi, adakah tuduhan yang diberikan ke atas spesies ladybird sebagai perosak sahaja ini berasas?  Melalui pemerhatian yang dibuat di lapangan, spesies ini tidak semunya memakan daun tanaman, iaitu tidak semuanya bertindak sebagai perosak. Tetapi ada di antara mereka bertindak sebagai pemangsa kepada perosak tanaman lain. Jika dilihat dari corak badannya, tompokan dan warna badannya adalah lebih kurang sama pada kedua-dua kumpulan ini. Namum, kumpulan perosak lebih mudah dikenali dengan mempunyai saiz badan yang lebih besar dan pergerakan yang lebih perlahan berbanding kumpulan pemangsa. Kumpulan pemangsa yang hadir pada tanaman dengan memakan serangga perosak kecil mampu mendatangkan penyakit kepada pokok tanaman. Selain dari itu juga, pelbagai bukti didapati telah mengesahkan bahawa sumber makanan kumbang ini mengandungi cebisan atau serpihan DNA afid atau serangga sisik melalui analisis dan pembuktian secara molekul.

Spesies ladybird pemangsa ini kerap dilihat di kebun-kebun atau ladang sayuran kerana amat banyak spesies perosak serangga khususnya dari kumpulan Hemiptera yang merosakkan tanaman sayuran. Mereka merosakkan tanaman dengan menghisap cairan pokok atau dikenali dalam bahasa Inggerisnya sebagai sap feeder. Jika kita beralih ke kawasan penanaman padi, spesies ladybird pemangsa ini kerap ditemui di sepanjang peringkat pertumbuhan pokok padi iaitu dari peringkat vegetatif hingga ke peringkat tuaian atau matang. Spesies Micraspis discolor yang berwarna oren penuh (jingga) adalah antara spesies pemangsa yang bertindak memakan telur dan dewasa spesies perosak, Benah Perang dan juga telur Ulat Pengorek Batang Padi (Rajah 4).

Rajah 4 Kehadiran Micraspis discolor di sawah padi

Hubungan atau interaksi mangsa-pemangsa ini sangat penting bagi mengawal populasi serangga perosak tanpa penggunaan racun kimia yang berlebihan. Justeru itu, jika dilihat spesies kumbang ini berhampiran atau pada tanaman, haruslah diteliti dengan baik. Ini kerana kemungkinan besar spesies kumbang ladybird ini bukan bertindak sebagai perosak tetapi bekerja dan membantu dalam mengawal populasi perosak tersebut.  Buat makluman semua, penggunaan racun kimia juga secara tidak langsung akan membunuh pemangsa ini. Oleh itu, pengusaha ladang dan kita semua seharusnya lebih memahami kesan penggunaan racun kimia ini bagi mengelakkan situasi ini dari berlaku.

Persoalannya, bagaimanakah untuk mengenal pasti spesies kumbang ladybird pemangsa ini? Spesies ini merupakan spesies yang.menjalankan kitar hidup lengkap iaitu yang melalui peringkat telur, larva, pupa dan dewasa (Rajah 5). Peringkat larva spesies ini tidak menyerupai spesies dewasanya. Ia mempunyai tiga pasang kaki depan atau proleg dan mempunyai struktur abdomen yang bersegmenPupanya pula berbentuk bujur tidak sekata, berwarna kuning dan coklat kehitaman, tidak bergerak dan melekat di daun dan batang pokok. Telurnya pula berwarna kekuningan atau krim, berbentuk bujur dan berkelompok dan sering dijumpai di bawah helaian daun. Kebiasaannya pemangsa ini akan hadir dan muncul di waktu siang ketika matahari naik dan memancar. Mereka akan mencari mangsa, memakan mangsanya dan seterusnya akan mengawan dan bertelur di pokok yang sama. Proses untuk satu kitaran penuh hidupnya adalah lebih kurang tiga bulan

Rajah 5 Pupa dan larva kumbang ladybird pemangsa di ladang sayuran

Antara spesies yang direkodkan sebagai pemangsa antaranya Cheilomenes sexmaculata iaitu dari subfamili Coccinellinae memakan pemangsa seperti Aphis craccivora yang menginfestasi tanaman cili. Kelakuan makannya adalah luas dan bertindak sebagai omnivor semasa peringkat larva dan dewasanya. Ia berbeza dengan spesies ladybird perosak yang bertindak sebagai herbivor iaitu memakan daun. Apa yang menariknya, kumbang ladybird yang merujuk kepada kedua-dua spesies perosak atau pemangsa mempunyai warna badan yang menarik dan terang dengan jalur, bintik atau corak di sayap kerasnya (Rajah 6). Ada di antara spesies ladybird ini mempunyai warna badan sewarna, namum demikian, warna tersebut amat terang, menyala dan cantik!

Rajah 6 Beberapa spesies kumbang ladybugs jenis pemangsa di Malaysia

Kumbang ini juga sering diancam oleh spesies burung yang menjadikannya sebagai sumber makanan. Kehadiran kumbang ini amat mudah dilihat dan dikesan oleh pemangsa kerana warna badannya yang terang, meskipun bersaiz kecil, 7-8 mm. Mekanisma pertahanan dari musuh spesies ladybug pemangsa ini menarik. Ia menggunakan warna badannya yang terang untuk menakutkan pihak musuh dengan memberikan gambaran dirinya sebagai spesies yang beracun. Jika masih disentuh atau diancam, spesies ini akan menebalikkan badannya dan memasukkan serta menyorokkan ketiga-tiga pasang kakinya ke bahagian bawah badan dan berpura-pura mati. Situasi ini bagi akan membantunya untuk melarikan diri dari pihak musuh. Selain itu juga, kumbang ini akan mengeluarkan cairan yang berwarna merah cair jika di ancam dan proses tersebut dikenali sebagai reflex bleeding.

Antara perkara menarik spesies ini, ia boleh bertindak sebagai agen pendebungaan bagi membantu mendebungakan pokok selain bertindak sebagai pemangsa. Ini kerana pergerakkannya yang aktif sebagai pemangsa khususnya semasa peringkat dewasa membantu meningkatkan kebolehannya sebagai pendebunga. Ia akan bergerak ke bunga-bunga pokok yang dihinggapi afid dan juga serangga perosak yang lain, sekaligus membantu membawa debunga dari bunga jantan ke bunga betina tanaman. Debunga- debunga kecil ini akan melekat di bahagian sayap, badan dan kakinya.

Kecantikan spesies ini diakui, namum kehadirannya masih dianggap sepi. Ini kerana kurang kajian dijalankan ke atasnya khususnya di Malaysia dari sudut ekologi, genetik, kelakuan dan juga biologinya. Pendekatan ke atas kajian kelimpahannya di kawasan pertanian menjadi topik utama penyelidikan PhD yang sedang dijalankan oleh penulis kedua. Maklumat asas spesies khususnya  hubungan perosak dan pemangsa, tumbuhan perumahnya serta kepelbagaiannya juga dijalankan oleh beberapa penyelidik sebelum ini. Hasil dari kajian tersebut, maklumat barkod spesies telah berjaya dideposit di Genbank dan maklumat berkaitan spesies perumahnya. Diharapkan spesies pemangsa ini tidak lagi salah erti, kerana terlalu banyak jasa telah dicurahkan bagi membantu para petani, pekebun dan pengusaha ladang.

Meskipun berperanan penting di ekosistem, namun, kehadirannya bukan sahaja tidak diendah tetapi masih dianggap bertindak merosakkan pokok tanaman sebagai perosak. Kehadiran spesies ini lebih tinggi populasinya di kawasan pertanian yang kurang atau tidak menggunakan racun perosak kimia. Ini disebabkan bilangannya akan tinggi pada kawasan yang mempunyai kelimpahan spesies perosak yang tinggi. Ia nyata tidak bersalah tetapi sering di salah erti. Memandangkan industri sayuran juga menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita Malaysia, namum pengurangan pengeluaran juga sering dikaitkan dengan infestasi atau kerosakan oleh kumbang ladybird ini (Rajah 7). Lantas, pengecaman spesies yang tepat harus dibuat dengan jitu sebelum apa-apa tindakan diambil. Betul, tidak semua spesies ladybird ini adalah perosak. Mereka amat penting dan berperanan sebagai agen kawalan biologi bagi mengawal spesies perosak, justeru itu dia nyata tidak bersalah!

Rujukan

Halim, M., Aman-Zuki, A., Mohammed, M.A., & Yaakop, S. 2017. DNA barcoding and relationships of eight ladybugs species (Coleoptera: Coccinellidae) that infesting several crops from Peninsular Malaysia. Journal of Asia-Pacific Entomology. 20(3): 814–820.

Majerus, M., Kearns, P. & Allington, S. 1989. Ladybirds. Slough: Richmond Publishing Co. Ltd.

Muhaimin, A. M. D., Norela, S., Halim, M. & Yaakop, S. 2017. Altitudinal accumulation and diversity of leaf beetle (Coleoptera: Chrysomelidae) at Fraser’s Hill, Pahang. Serangga. 22(2): 171-184.