Pusat Pengajian Citra Universiti | Bijaksana untuk Memperkasa

Pusat Pengajian Citra Universiti (School of Liberal Studies)

CITRA UKM

Latar Belakang

Wisdom To Empower

Sejarah CITRA

Pusat Pengajian Citra Universiti (Citra UKM) ditubuhkan secara rasmi pada 10 Julai 2013 yang menggantikan Pusat Pengajian Umum sejajar dengan saranan pihak Kementerian Pengajian Tinggi mengenai keperluan pihak pemberi pengajian tinggi di negara ini memberi perhatian khusus kepada Pendidikan Liberal dan Multidisiplin dalam semua program pengajian.

Penstrukturan semula Pendidikan Liberal UKM kepada Pendidikan Citra UKM bermula susulan keputusan Mesyuarat Pengurusan Universiti (MPU) Bil. 7/2012 bertarikh 3 April 2012 agar ditubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menyemak semula penawaran Pengajian Umum di UKM. Jawatankuasa Induk Pengukuhan Pendidikan Liberal UKM telah ditubuhkan pada 18 Oktober 2012 yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa) pada ketika itu, YBhg. Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali. Ahli Jawatankuasa tersebut terdiri daripada Dekan-Dekan Fakulti dan Pengarah-Pengarah dari Pusat Pengajian Umum, Pusat Pengurusan Akademik, Pusat Akreditasi Pembelajaran dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS. Seterusnya pada akhir bulan Oktober 2012 satu Pasukan Petugas (Urusetia) dari Pusat Pengajian Umum telah dibentuk bagi membantu Jawatankuasa Induk Pengukuhan Pendidikan Liberal UKM.

Objektif penubuhan Pusat Pengajian Citra Universiti (Citra UKM) adalah bertepatan dengan saranan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara melalui aspirasi negara dan Falsafah Pendidikan Negara (perkara 1.02) iaitu:

Selaras dengan teras kedua Misi Nasional, negara perlu melahirkan modal insan yang memiliki minda kelas pertama untuk menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang berlandaskan ilmu pengetahuan dan inovasi. Modal insan yang dibangunkan perlu mempunyai keupayaan pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri peribadi yang unggul. Bersesuaian dengan matlamat pembangunan modal insan yang dihasratkan, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara digubal dengan visi untuk mentransformasikan pengajian tinggi dalam konteks menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa. Transformasi ini merupakan peletakan asas ke arah kegemilangan dan kelestarian pengajian tinggi melangkaui tahun 2020.

Justeru sederap dengan visi, misi dan matlamat pendidikan Citra UKM, Pusat Pengajian Citra Universiti beraspirasi melahirkan graduan yang holistik dan mempunyai identiti UKM menerusi pendekatan pembentukan minda dan pembinaan sahsiah. Pendidikan Citra UKM berupaya memenuhi tuntutan pasaran dengan membangunkan modal insan yang kreatif, inovatif serta mampu menguasai dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran insaniah bagi mendepani cabaran dan bersaing di dunia sebenar.