Bagaimana institusi Islam boleh membantu orang Islam yang hilang sumber pendapatan?

Tidak semua orang Islam yang dibuang kerja atau terpaksa tutup perniagaan kerana apa² bentuk sebab termasuk seperti situasi sekarang, Covid-19, boleh dikategori dalam mana-mana asnaf zakat. Ada sebahagian kelompok ini mengalami kesempitan hidup apabila mereka kehabisan tabungan mereka kerana mereka cuba bertahan dengan tabungan tunai yang ada dan menjangkakan sekatan PKP atau PKPB akan cepat berakhir. Namun, jangkaan mereka meleset. Tabungan yang dikumpul selama ini tidak mencukupi kehidupan mereka semasa tidak bekerja atau berniaga. Kita tidak boleh terus mengkategorikan mereka ini sebagai fakir atau miskin kerana mereka masih memiliki aset bukan tunai yang lain. Berkemungkinan juga, nilai “net worth” mereka masih positif walaupun setelah ambil kira semua “outstanding” hutang semasa.

Tambahan lagi, golongan ini biasanya berpendidikan dan berkemahiran yang mampu menjana pendapatan pada masa hadapan jika situasi ekonomi pulih atau sekatan PKP/PKPB berakhir.

Adakah kita membiarkan golongan ini terus bergantung kepada diri mereka sendiri dan mengambil tindakan mencairkan aset mereka? Atau kita boleh membantu mereka. Sebelum menjawab persoalan ini, kita kena sedar bahawa sebahagian aset mereka adalah aset produktif, iaitu aset yang digunakan untuk menjana pendapatan seperti kenderaan untuk ke tempat bekerja atau untuk mengangkut barang. Jika aset tetap begini dicairkan, untuk mendapatkannya semula akan makan masa lebih lama. Kesannya, mereka akan sukar untuk akses semula ke dalam sistem pasaran apabila ekonomi kembali pulih.

Dalam hal ini, tindakan membantu kelompok orang Islam ini wajar dilakukan. Tetapi bukan melalui agihan zakat kerana bukan asnaf. Bukan juga melalui dana wakaf kerana saiz dana wakaf tunai yang sedia ada tidak mencukupi untuk menyediakan manfaat tunai kepada mereka. Dana yang ada adalah dana derma/sedekah yang dimiliki oleh masjid dan surau di seluruh negara.

Untuk itu, cadangan saya dengan mewujudkan tabung pembiayaan Al-Qard, satu tabung yang berasaskan kontrak hutang, untuk penyelesaian jangka pendek bagi meringankan beban dalam perbelanjaan keperluan asas termasuk makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan dan perkahwinan. Dengan aset yang golongan ini miliki termasuk keupayaan modal insan yang ada, mereka pasti dapat menjelaskan semula hutang yang diberikan.

Institusi Islam seperti masjid dan surau boleh mengorak langkah bagi membantu ahli kariah mereka. Malah, kita juga dapat menyelamatkan umat Islam dari terjebak dengan riba jika berurusan dengan syarikat peminjaman wang. Ikatan kasih sayang antara anggota masyarakat juga dapat diperbaiki atau dipertingkatkan.

 

Ismail, M.A.

2 Jun 2020