Belanjawan 2021 bakal mempercepat pemulihan ekonomi

Belanjawan 2021 digubal dalam suasana ekonomi yang tak terduga. Pandemik Covid-19 menyerang ekonomi maju dan ekonomi membangun. Tiada negara yang terkecuali dari terkena wabak ini. Sehingga kini tiada penawar untuk penyakit ini. Tindakan yang diambil negara seluruh dunia untuk mengekang jangkitan dengan melakukan kawalan pergerakan. Ada juga negara yang melaksanakan darurat. Kesannya, kegiatan ekonomi terhenti, jika tidakpun ia telah menjadi perlahan. Keluaran negara merosot teruk. Kegiatan dagangan juga jatuh dengan mendadak. Pada tahun ini, Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) menjangkakan jumlah dagangan barangan merosot sebanyak 9.2%. Manakala, mereka juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi global merosot antara 2-3 peratus.[1] Manakala, Bank Dunia pula meramal pertumbuhan dunia pada tahun ini lebih teruk iaitu pada kadar pertumbuhan negatif 5.2%.[2]

Walaupun wujud kebimbangan di peringkat global sama ada situasi ini akan berlarutan atau berubah ke arah lebih baik. Ia sangat bergantung kepada tindak balas yang telah diambil oleh kerajaan di seluruh dunia.

Pada Jumaat, kerajaan Malaysia telah membentangkan Belanjawan 2021. Belanjawan ini meletakkan tiga matlamat untuk menggerakkan semula ekonomi Malaysia di landasan yang betul. Matlamat tersebut meliputi matlamat kesejahteraan rakyat, matlamat kelangsungan perniagaan dan matlamat ketahanan ekonomi. Setiap matlamat mempunyai strategi dan langkah tersendiri sebagai satu kesinambungan pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan pada tahun ini.

Umumnya, beberapa intipati belanjawan saya boleh kongsikan.

Pertama, belanjawan kali ini melibatkan bayaran pindahan yang agak besar yang disediakan kepada pihak yang terjejas termasuk isi rumah dan entiti perniagaan. Isi rumah B40 dan isi rumah rentan menerima manfaat bayaran pindahan yang terbesar. Dua golongan ini merupakan kelompok yang amat terjejas akibat penutupan aktiviti perniagaan. Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bermula dari RM500 sehingga RM1800 bagi isi rumah yang berpendapatan sehingga RM5000 disediakan kepada golongan tersebut. Petani dan nelayan juga turut bakal menerima manfaat tambahan dalam bentuk bantuan subsidi atau elaun sara hidup.

Kedua, belanjawan kali ini dilihat mempercepat langkah pendigitalan aktiviti ekonomi. Walaupun secara agregat, keluaran negara agak menguncup, namun aktiviti ekonomi digital menunjukkan kenaikan yang memberangsangkan. Peruntukan yang besar telah dinyatakan seperti Program Jaringan PRIHATIN sebanyak RM1.5 bilion, Program eBelia sebanyak RM75 juta, Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebanyak RM542 juta (termasuk untuk kesalinghubungan di Kawasan perindustrian), pemberian komputer riba sebanyak RM150 juta, naik taraf akses Malaysian Research & Education Network (MYREN) sebanyak RM50 juta, peruntukan RM27 juta untuk keselamatan siber, RM300 juta program Latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital serta inisiatif Shop Malaysia Online, Program Ladang e-Satelit sebanyak RM10 juta, Skim Pendigitalan Industri sebanyak RM1 bilion, Skim Geran Pendigitalan SME dan Geran Automasi sebanyak RM150 juta

Ketiga, belanjawan ini mengambil kira semua lapisan masyarakat yang tejejas. Belanjawan 2021 adalah bersifat inklusif. Segenap masyarakat rentan, belia, wanita, orang kurang upaya, orang asli dan bekas banduan disediakan peruntukan dana, program dan geran untuk memastikan mereka tidak tertinggal dalam situasi yang tidak menentu sekarang. Selaras dengan agenda Social Development Goals (SDG), “leaving no one left behind”.

Keempat, belanjawan kali ini memfokus kepada peningkatan keupayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan untuk memacu pemulihan ekonomi. Pelbagai geran disediakan untuk meningkatkan kemampuan aliran tunai PKS supaya aktiviti pengeluaran tidak terjejas dan penggunaan buruh dapat dikekalkan. Seperti dijangka, inisiatif PENJANA diteruskan. PKS dijangka dapat terus menikmati faedah di bawah inisiatif tersebut. PKS dan perusahaan mikro disediakan program untuk aktiviti pendigitalan. Selain, itu akses kepada pembiayaan dipertingkatkan dengan dana pinjaman mudah sebanyak RM1.9 bilion, Pembiayaan Skim Lestari Bumi sebanyak RM300 juta, JanaNiaga sebanyak RM300 juta dan lain-lain.

Ringkasnya, Belanjawan 2021 adalah satu dasar ekonomi yang menggabungkan dasar sebelah permintaan dan dasar sebelah penawaran. Kedua-dua perspektif makroekonomi ini dijangkakan dapat menyegerakan pemulihan ekonomi. Yang tinggal sekarang adalah mekanisme pelaksanaan dan penyegeraan pelaksanaannya. Kita berharap Belanjawan 2021 mendapat sokongan semua pihak dan kerajaan dapat melaksanakan semua inisiatif yang dibentangkan dengan segera.

[1] https://www.wto.org/english/tratop_e/covid19_e/faqcovid19_e.htm

[2] https://www.worldbank.org/en/news/feature/2020/06/08/the-global-economic-outlook-during-the-covid-19-pandemic-a-changed-world

 

Dr. Mohd Adib Ismail

6 November 2020