Apa Itu Wakaf ?
Wakaf adalah berasal dari perkataan wakafa yang bermaksud berhenti atau tertahan. Wakaf diertikan sebagai satu amalan menyerahkan harta yang dimiliki untuk kegunaan atau manfaat orang ramai. Wakaf merupakan satu cabang ibadah kerana tujuan asas amalan wakaf adalah untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhaan Allah S.W.T. dengan cara membelanjakan harta ke jalan Allah.
Contoh amalan wakaf adalah seperti seseorang mewakafkan tanah seluas seekar yang dimilikinya untuk dibina masjid di atasnya bagi kegunaan orang ramai beribadah dan menjalankan aktiviti keagamaan. Wakaf boleh dilaksanakan dengan harta yang berbentuk kekal seperti tanah, bangunan, rumah dan juga wang tunai.
Mekanisme wakaf merupakan satu ibadah yang mempunyai asas agama yang mendalam. Para fuqaha’ berpandangan bahawa amalan wakaf mempunyai dua objektif asas iaitu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan pewakaf akan menerima ganjaran pahala yang berkekalan dan berterusan hingga ke hari akhirat.
Objektif Wakaf
1) Memberi kuasa kepada PTj untuk membuat perancangan dan menguruskan halatuju Wakaf mengikut garis panduan yang telah disediakan.
2) Pembudayaan Wakaf di setiap PTj agar penjanaan dapat ditingkatkan.
3) Memperkasakan aktiviti penjanaan dana Wakaf yang lebih fokus dan spesifik mengikut dasar penubuhan tabung.
4) Merancang pelan jangka masa pendek yang lebih jelas dan bersistematik bagi memastikan hala tuju dan perancangan dijalankan dengan lebih cekap dan efisen.