Soal Jawab Wakaf
Maksud sedekah Jariah – dari segi makna ulama mengatakan “sedekah yang pahalanya berterusan selepas mati”. Ini bersumberkan daripada sebuah hadis Nabi SAW iaitu;
إذا مات الإنسانُ انقطع عملُه إلا من ثلاثٍ ؛ صدقةٍ جاريةٍ ، أو علمٍ يُنتَفَعُ به ، أو ولدٍ صالحٍ يدْعو له
“Apabila seseorang manusia mati segala amalannya akan terputus kecuali daripada tiga sumber: sedekah jariah atau ilmu pengetahuan yang boleh dimanfaatkan atau anak soleh yang sering mendoakannya” (Riwayat Muslim)
Sedekah jariah di sini menurut ulama’ ditakrifkan sebagai wakaf. Manakala wakaf diertikan sebagai satu amalan menyerahkan harta yang dimiliki untuk kegunaan dan manfaat orang ramai demi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Seperti mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid, surau, sekolah dan sebagainya. Selagimana harat yang diwakafkan itu wujud dan dimanfaatkan, maka orang yang mewakafkan itu mendapat pahala walaupun telah meninggal dunia.
Bagi menjadikan wakaf ini sah dari segi syarak pewakaf tersebut disyaratkan:
- Beliau adalah seorang yang merdeka, baligh dan berakal. Wakaf seorang hamba tidak sah kerana hamba tiada hak milik bahkan dirinya sendiri adalah harta yang dimiliki oleh tuannya.
- Berkelayakan untuk bersedekah. Orang yang dihalang untuk berbelanja kerana tidak siuman atau muflis tidak sah mewakafkan harta.
- Sukarela. Tidak sah wakaf orang yang dipaksa kerana syarat sukarela adalah antara syarat taklif. (Rujukan: Kitab Al-Fiqh Al-Manhaj, Bab Wakaf)
InsyaAllah sampai pahalanya dan diterima oleh Allah SWT. Ini kerana, amal soleh atau wakaf yang dilakukan oleh orang yang masih hidup boleh dihadiahkan pahalanya kepada orang yang sudah meninggal dunia. Terdapat beberapa hadis yang meriwayatkan hal tersebut, diantaranya adalah hadis di bawah ini:
أَنَّ رجلًا قال للنبيِّ صلى الله عليه وسلم : إِنَّ أمِّي افْتُلِتَتْ نفسُها ، وأظنُّها لو تكلمَتْ تَصدَّقَتْ ، فهل لها أجرٌ إِنْ تَصدَّقَتْ عنها ؟ قال : نعم .
Diriwayatkan dari Saidatina Aishah r.a. menceritakan: “Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w.; ‘Sesungguhnya ibuku telah mati. Aku mendapatinya jika sekiranya ia berpeluang bercakap (ketika hamper matinya) nescaya ia akan bersedekah (yakni menyuruh agar dikeluarkan sedekah dari hartanya). Maka apakah baginya pahala jika aku bersedekah bagi pihaknya?’ Jawab baginda SAW: Ya” (Riwayat Bukhari)
Maka, hadis di atas menjadi dalil bahawa sedekah orang hidup memberi manfaat untuk orang yang telah meninggal dunia.
Wakaf merupakan satu amalan yang sangat dituntut oleh Islam kerana ia merupakan sedekah yang bersifat jariah (berpanjangan dan berkekalan) yang dilakukan semasa hidup namun manfaat dan pahala yang berpanjangan mengalir ke dalam tabungan amal kebaikan kita walaupun pewakaf telah meninggal dunia berates tahun sekalipun. Walaupun hukum wakaf adalah sunat namun amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh Baginda SAW sendiri (sunnah) dan diikuti oleh para sahabat rid’wuanullah alaihim ajmain.
Selain itu juga, wakaf merupakan satu instrumen yang dapat membantu ekonomi dan social umat Islam seperti kewujudan sekolah, klinik, hospital dan universiti wakaf. Bahkan lebih meluas seperti kompleks perniagaan, penternakan dan ladang pertanian dapat membantu ekonomi dan masyarakat Islam.
Hukum berwakaf bagi orang bukan Islam adalah harus dan dibenarkan. Para Ulama’ As-Shafie berpendapat wakaf seseorang bukan Islam sah walaupun untuk masjid, walaupun bukan niat bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah SWT). Mereka akan diberi ganjaran atas sedekahnya di dunia, namun tidak di Akhirat. Perkara ini telah dijelaskan oleh Baginda SAW di dalam hadis berikut:-
إنَّ اللَّهَ لا يظلِمُ مؤمنًا حسنةً يُعطى بِها في الدُّنيا ويُجزى بِها في الآخرةِ . وأمَّا الكافرُ فيُطعَمُ بحسناتِ ما عمِلَ بِها للَّهِ في الدُّنيا . حتَّى إذا أفضى إلى الآخرةِ . لم يَكُنْ لهُ حسنةٌ يُجزَى بِها
Bermaksud: “Allah tidak akan mengabaikan kebaikan seseorang mukmin, dia akan diberi ganjaran di dunia dan di akhirat. Orang bukan Islam pula menerima ganjaran kebaikan yang mereka lakukan kerana Allah semasa di dunia sahaja. Adapun di akhirat kelak, tiada apa-apa habuan dan ganjaran kebaikan untuknya”. (Riwayat Muslim)
Begitu juga Al-Subkhi menjelaskan, wakaf nazar daripada kafir zimmi kepada anak-anaknya tetap sah tetapi dia tidak mendapat sebarang ganjaran pahala. Sekiranya pewakaf murtad dan dihukum bunuh kerana murtadnya, maka wakafnya tetap sah. Sekiranya pewakaf itu murtad selepas menyerahkan wakafnya, maka terbatal wakafnya sama ada beliau mati dihukum kerana murtad atau mati dengan sebab-sebab lain atau beliau kembali semula menganut Islam. Melainkan jika dia mewakafkan semula hartanya itu setelah bertaubat dan kembali kepada Islam. (Rujukan Ibnu Abidin)
Para ulama’ As-Syafie mengharuskan wakaf kepada golongan bukan Islam ataupun zimmi, selama mana ia tidak bertujuan untuk melakukan maksiat, ini kerana dibolehkan sedekah kepada golongan ini, maka begitu juga diharuskan wakaf kepada mereka. Jika didapati ada kemungkinan penerima wakaf akan melakukan maksiat dengan harta tersebut, maka wakaf tersebut tidak sah kerana maksiat tersebut akan menghilangkan hikmah dan tujuan wakaf.