FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Faculty of Islamic Studies

كلية الدراسات الإسلامية

Senarai Kursus Prasiswazah
Pusat Kajian Al-Quran dan Al-Sunnah

Kursus ini bertujuan menjelaskan aspek-aspek pengajian al-Quran meliputi takrifan wahyu, ulum dan al-Quran dari segi bahasa dan istilah; Makki dan Madani, Nuzul al- Quran, Awwal dan Akhir ma Nazal, Asbab al-Nuzul, Ahruf al-Sab’ah, Qiraat Quraniyyah, Muhkam dan Mutasyabih serta Nasikh Mansukh. Selain itu ia juga menerangkan tentang sejarah pengumpulan dan penyusunan ayat dan surah serta penulisan mashaf. Juga perbincangan asas tentang i’jaz al-Quran serta aspek-aspeknya.

Kursus ini membincangkan tentang sejarah Rasm, Dabt dan Fawasil al-Quran. Pelajar juga turut didedahkan mengenai kaedah penulisan al-Quran rasm ’Uthmani, tanda- tanda dalam al-Quran dan ilmu pengiraan jumlah ayat-ayat al-Quran. Perbincangan juga difokuskan kepada i’jaz dan asrar rasm Uthmani, inovasi dalam penandaan al-Quran dan hubungan pengiraan ayat dengan waqf dan ibtida’.

Kursus ini membincangkan secara terperinci tentang mustalah al-hadith (ilmu-ilmu tentang hadis) terutamanya berkaitan dengan sanad dan matan, kaedah-kaedah yang digunakan oleh muhaddithin di dalam karya-karya mereka, perkembangan penulisan hadith dan ulum hadith dan sebagainya. Kursus ini juga mendedahkan kepada para pelajar tentang ciri-ciri hadith maqbul (diterima) dan hadith-hadith yang mardud (ditolak).

Kursus ini mendedahkan kepada pelajar metodologi hafazan al-Quran yang berkesan. Pelajar dikehendaki menghafaz juzu’ 29 dan 30 secara berhadapan dengan guru. Penekanan terhadap aspek kelancaran hafazan secara bertajwid dan kemampuan menulis mengikut kaedah rasm Uthmani amat dititikberatkan.

Kursus ini mendedahkan kepada pelajar tentang Ilmu Qira’at secara menyeluruh dari sudut sejarah kemunculannya serta perkembangannya. Perbincangan mengenai hadith- hadith ahruf sab’ah serta pandangan ulama’ mengenainya, rukun-rukun, jenis-jenis Qira’at, tokoh-tokoh, penulisan, huraian istilah-istilah Ilmu Qira’at turut dibincangkan. Pelajar juga akan didedahkan dengan pelbagai tohmahan dan serangan orientalisme terhadap Qira’at dan bagaimana menanganinya secara berhujah dan pembuktian.

Kursus ini menghuraikan sejarah perkembangan tafsir pada zaman Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Perbincangan juga meliputi definisi tafsir dan takwil serta era pembukuan tafsir, sifat dan adab mufassir, syarat-syarat kelayakan ahli tafsir serta sebab perselisihan tafsir. Kursus ini juga menjelaskan metodologi pentafsiran al-Quran iaitu tafsir bi al-Ma’thur dan al-Ra’yi melalui analisis bab kitab tafsir.

Kursus ini bertujuan meneliti sejarah dan komitmen tokoh-tokoh ulama’ hadith dalam memelihara khazanah hadith Rasulullah s.a.w. Kursus ini juga meneroka kaedah yang digunakan dan digariskan oleh para ulama’ hadith dalam penerimaan dan periwayatan hadith. Perbincangan selanjutnya meliputi sorotan karya-karya muhaddithin yang mempunyai metodologi penulisan yang tersendiri. Kursus ini fokus kepada konsep periwayatan dan penerimaan hadith, kepentingan isnad ataupun sanad dan juga usaha- usaha dilaksanakan oleh para muhaddithin dalam menerima, meriwayat dan menyusun hadith-hadith demi memelihara kemurnian sumber Islam yang kedua.

Kursus ini menjelaskan secara menyeluruh dan tuntas berkaitan Ilmu Takhrij al-Hadith dan istilah-istilah yang berkaitan dengan sumber asal, menyerupai asal dan bukan asal. Kursus ini juga memberi kemahiran kepada para pelajar dalam 5 aplikasi takhrij turath dan 1 aplikasi takhrij kontemporari iaitu penggunaan perisian komputer dan internet. Penekanan juga diberikan kepada penilaian hadith sama ada maqbul mahupun mardud secara ringkas mengikut pandangan ulama silam atau kontemporari. Pelajar juga akan dilatih menulis hasil takhrij hadith dalam penulisan ilmiah dengan membezakan antara al-Sahihayn dan selain keduanya, serta sumber asal dan selainnya.

Kursus ini mendedahkan kepada pelajar metodologi hafazan al-Quran yang berkesan. Pelajar dikehendaki menghafaz juzu’ 27 dan 28 secara berhadapan dengan guru. Penekanan terhadap aspek kelancaran hafazan secara bertajwid dan kemampuan menulis mengikut kaedah rasm Uthmani amat dititikberatkan.

Kursus ini menganalisis ayat-ayat al-Qu’ran yang berkaitan dengan hukum-hakam seperti kekeluargaan (munakahat) dan yang berkaitan dengannya, muamalat seperti adab minta izin dan ziarah, anak angkat dalam Islam, aurat lelaki dan perempuan. Kajian ini juga meliputi punca-punca perselisihan ulama dan hujah mereka dalam mengistinbat sesuatu hukum berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an.

Akhlak dan cara hidup Rasulullah SAW merupakan contoh teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Baginda memiliki peribadi yang amat halus dan mulia. Timbul persoalan di sini apakah rahsia yang menjadikan jiwa dan akhlak baginda begitu indah. Apakah yang menjadi rahsia kehalusan akhlaknya hingga sangat memikat dan menjadikan mereka yang hampir dengannya begitu tinggi kecintaan padanya? Apakah anak kunci kehebatan peribadi baginda yang bukan saja sangat bahagia kehidupannya walaupun di dalam kesusahan dan penderitaan, bahkan mampu pula membahagiakan orang lain tatkala di dalam derita? Oleh itu, kursus ini membincangkan perjalanan hidup Rasulullah SAW secara terperinci sebagai panduan kepada umat Islam. Pelajar akan didedahkan kepada hadith-hadith berhubung dengan peribadi Raulullah dengan penumpuan kepada rupa paras, adab dan pembawaan kehidupan seharian baginda seperti adab makan dan minum, adab berpakaian, adab di dalam pergaulan sama ada pergaulan dalam keluarga mahupun di luar lingkungan kaum kerabat, tatacara ibadat dan lain-lain.

Kursus ini berbentuk penyelidikan dan penulisan dalam bidang Pengajian al-Quran dan al-Sunnah. Aspek-aspek yang dinilai adalah abstrak, pengenalan, kajian lepas, metodologi, data, dan analisis perbincangan dan kesimpulan serta gaya penulisan dan format. Latihan Ilmiah ini mestilah diselesaikan tidak kurang dari dua semester dengan mengambil kira aspek-aspek sebuah penulisan ilmiah mengikut GAYA UKM. Jumlah perkataan penulisan ini tidak kurang daripada 20,000 patah perkataan.

Kursus ini memperkenalkan pelajar kepada konsep dan metodologi kajian hadith hukum melalui perbincangan hadith-hadith berhubung isu-isu berkaitan taharah, ibadat, munakahat, janayat dan muamalat. Kursus ini juga tertumpu kepada sejarah penulisan dan perkembangan pembukuan kitab hadith hukum serta penekanan kepada huraian dan hujah para ulamak dalam persoalan-persoalan yang berkaitan.

Kursus ini bertujuan memberikan kefahaman dan pengetahuan asas berhubung dengan sikap, pemikiran dan fahaman orientalis terhadap al-Quran dan al-Sunnah kepada pelajar. Ia melibatkan pendedahan kepada strategi dan faktor–faktor yang mendorong orientalis melakukan serangan terhadap Islam. Dalam usaha memberi kefahaman tersebut terdapat topik yang terpilih dalam perbincangan tersebut antaranya ialah membincangkan secara ringkas sejarah kemunculan Orentalis dan matlamat utama mereka. Juga dibincangkan perkara-perkara berikut; sikap dan pemikiran orientalis, teori-teori mereka terhadap Islam dan Nabi Muhammad, terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah beserta contoh dan isu– isu yang ditimbulkan.

Kursus ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pembelajaran al-Quran dan Fardu Ain kepada golongan kurang upaya. Perbincangan tertumpu kepada kaedah- kaedah pengajaran al-Quran dan Fardu Ain kepada golongan yang tipikal dan juga kepada golongan kurang upaya. Pelajar juga didedahkan dengan kategori golongan- golongan kurang upaya penglihatan, kurang upaya pendengaran, kurang upaya fizikal, masalah pembelajaran spesifik dan lain-lain. Seterusnya pelajar didedahkan pengalaman berinteraksi dan penggunaan medium pembelajaran dan berkomunikasi dengan dengan golongan kurang upaya seperti kod braille dan kod tangan.

Kursus ini mendedahkan kepada pelajar tentang cara berinteraksi dengan teks-teks hadith yang terdapat di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Perbahasan akan membiasakan pelajar kepada metodologi yang digunakan melalui beberapa topik- topik pilihan.

Ilmu Rijal al-Hadith adalah sangat luas dan merupakan salah satu cabang ilmu yang penting didalam pengajian ilmu Hadith. Mengetahuinya adalah satu bahagian yang besar dalam ilmu-ilmu Islam. Ilmu ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu ilmu sejarah perawi dan keduanya ialah ilmu jarh wa al-tacdil. Kursus ini memperkenalkan kepada para pelajar konsep dan metodologi ilmu Rijal al-Hadith. Di dalam kursus ini juga pelajar didedahkan kepada perbincangan yang meliputi definisi, kepentingan dan sejarah perkembangan sanad, tabaqat rijal dan juga buku-buku berkenaan rijal.

Kursus ini akan menganalisa sejarah bagaimana lahirnya hadith-hadith mawduc dan mereka yang terlibat mencipta hadith-hadith mawduc. Kursus ini juga mengkaji tentang hadith-hadith dacif. Ia juga turut menganalisa tentang pandangan ulama tentang hukum meriwayat dan hukum beramal dengan kedua-duanya. Contoh-contoh daripada hadith mawduc dan dacif dan kesan-kesannya terhadap umat Islam akan dihuraikan.

Kursus ini mendedahkan kepada pelajar tentang apa sebenarnya yang telah berlaku dan akan berlaku dari sudut al-Fitan dan al-Malahim. Perbahasan akan menjelaskan pendirian Muslim dalam menghadapi al-Fitan dan al-Malahim, menganalisis salah faham yang boleh berlaku dan menjelaskan aspek I‘jaz dalam nas-nas berkaitan. Juga meneliti strategi dan langkah proaktif yang diambil oleh muslim bagi berhadapan dengan situasi al-Fitan dan al-Malahim.

Kursus ini mendedahkan kepada pelajar tentang cara menggunakan serta memahami teks-teks hadith yang terdapat di dalam kitab Sunan Al-Arba’ah. Perbahasan akan membiasakan pelajar kepada metodologi yang digunakan penulis, isu-isu penting dalam teks melalui beberapa topik-topik pilihan.

Kursus ini membahaskan Asbab Wurud al-Hadith dari sudut garis panduan, sumber dan aplikasinya dalam kehidupan muslim serta kitab-kitab masyhur mengenai Asbab Wurud al-Hadith. Penekanan juga diberikan untuk menjelaskan kepentingan Asbab Wurud al- Hadith dalam penghuraian nas-nas secara betul. Kesan ilmu Asbab Wurud al-Hadith di sisi al-Usuliyyin dan al-Muhaddithin akan dianalisis. Kursus ini juga akan menjelaskan salaf faham yang boleh berlaku dalam disiplin ilmu Asbab Wurud al-Hadith. Praktikal akan dibuat dengan mengkaji contoh-contoh hadith dan Asbab Wurudnya.

Kursus ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada pelajar syarat-syarat menghukum hadith dan sanad hadith. Kursus ini akan membimbing dan memberi kemahiran bagaimana menghukum hadith dan sanad hadith di sisi Muhaddithin. Pelajar juga akan didedahkan sejauhmana keperluan menghukum hadith dan sanad hadith di zaman mutakhir atau berpada kepada pendapat ulama silam.

Kursus ini membincangkan hadith-hadith dan penggunaanya oleh golongan bida’ah seperti al-Khawarij, al-Syi’ah, al-Mu’tazilah dan al-Batiniyyah. Tumpuan kajian ialah kepada perawi, metodologi dan sumber berpandukan kajian oleh ulama’ ahli Sunnah wa al-Jama’ah di samping penelitian terhadap kitab-kitab golongan tersebut.

Kursus ini membincangkan khusus tentang Mukhtalif al-Hadith, iaitu sejenis Hadith yang zahir maknanya didapati bercanggah dengan mana-mana nas syarak yang lain atau dengan fakta-fakta sains, pancaindera, realiti dan sebagainya. Antara tajuk-tajuk yang dibahaskan ialah tentang definisi Mukhtalif Hadith, langkah-langkah untuk menanganinya dan sumber-sumber rujukanya. Kajian praktikal juga akan diberi keutamaan berdasarkan contoh-contoh yang terpilih.

Kaedah ini akan menerangkan pelajar bagaimana sewajarnya berinteraksi terutamanya kitab-kitab yang menyajikan hadis sahih, daicf dan mawduc dalam karya al-Kutub al- Sittah. Kursus ini akan mengkaji tentang bagaimana seseorang memilih hadis terbaik yang dipilih oleh pengarang al-Kutub al-Sittah yang melibatkan hukum hadis dan yang menjadi hujjah bab tertentu. Contoh-contoh lapan asas utama kaedah berinteraksi akan dipersembahkan kepada pelajar.

Pelajar akan didedahkan tentang mukjizat al-Quran dari aspek sains yang merangkumi hubungan antara mukjizat balaghi dengan mukjizat sains, bentuk-bentuk mukjizat sains, kategori ayat berkaitan sains, hubungan i’jaz ilmi dengan i’jaz-i’jaz yang lain. Pelajar turut dibimbing dengan pembelajaran secara praktikal untuk menganalisis mukjizat sains ini di dalam ayat-ayat al-Quran.

Kursus ini membincangkan konsep tafsir muqaran, sejarah perkembangan, serta kepentingannya. Penelitian dibuat terhadap kategori dan metodologi tafsir muqaran bagi mengetahui kelemahan dan kekuatan setiap tafsir dan ahli tafsir yang dikaji. Kursus ini adalah medan latihan secara praktikal bagi pelajar untuk mengaplikasikan keseluruhan topik yang dipelajari dalam pengajian Al-Quran secara umum.

Pentafsiran al-Quran dengan metode tahlili bererti pentafsiran ayat-ayat Al-Quran dengan cara memaparkan segala aspek yang terkandung di dalam ayat-ayat yang ditafsirkan dan disertai penerangan makna-makna yang tercakup di dalamnya. Penerangan makna-makna tersebut bersesuaian dengan keahlian dan kecenderungan mufassir yang menafsirkannya. Dari segi praktikalnya mufassir menghuraikan makna ayat demi ayat sesuai dengan urutan yang terdapat di dalam mushaf Othmani. Kursus ini akan mengkaji secara Tahlili beberapa surah yang dipilih yang berkaitan dengan akidah, akhlak dan qasas seperti surah al-Kahfi, al-Nur dan al-Hujurat.

Kursus ini mengkaji konsep Qasas al-Qur’an meliputi definisi, pembahagian dan matlamatnya. Kursus ini juga mengulas kandungan, mesej dan kesan kisah al-Quran berkaitan para Nabi dan umat terdahulu kepada korpus kemanusiaan. Kursus ini juga membincangkan keunikan kisah tersebut dalam karya-karya tafsir di samping menyelidiki Qasas Qurani ini salah satu cabang ilmu berkaitan mukjizat al-Quran. Kursus ini menekankan tentang hubungan rapat konsep Qasas al-Quraniy dengan pentarbiyahan dan kehidupan sosial pada masa kini.

Kursus ini membincangkan tentang riwayat hidup Qurra’ Sab’ah dan kaedah-kaedah bacaan mereka secara keseluruhan samaada dalam bab usul atau pun farsy yang bermula daripada awal al-Quran hingga ke akhirnya. Perbincangan juga tertumpu kepada perbandingan bacaan antara semua Qurra’ tersebut.

Kursus ini membincangkan aspek-aspek keunggulan al-Quran sebagai sebuah kitab yang bermukjizat, yang diturunkan oleh Allah SWT. Di antara aspek yang diberi penekanan ialah definisi I‘jaz, dalil-dalil kemukjizatan al-Quran, sejarah pertumbuhan I‘jaz al- Qur’an sebagai satu disiplin ilmu, pendapat ulama tentang sudut-sudut kemukjizatan al-Quran iaitu balaghah, pensyariatan, perkhabaran perkara-perkara ghaib, al-sarfah dan fakta-fakta ilmiah dalam sains dan ilmu moden.

Pelajar akan didedahkan secara lebih mendalam kepada aspek kemukjizatan bahasa al- Qur’an atau i’jaz lughawi, bentuk-bentuk gaya penyampaian (uslub al-Qur’an) dan keindahannya, serta bagaimana uslub ini berperanan dalam menyampaikan makna kepada orang yang ditujukan (mukhatabin). Pelajar akan dibimbing dengan pembelajaran secara praktikal untuk menganalisis uslub ini di dalam ayat-ayat al-Quran. Elemen Lataif Quraniyah turut dibincangkan.

Kursus ini membincangkan pengenalan Qira’at Shadhdhah secara meluas yang merangkumi sejarah, definisi, hubungan dan perbezaannya dengan Qira’at Mutawatirah. Perbincangan juga tertumpu kepada syarat-syarat penerimaan Qira’at Shadhdhah, hukum beramal dan berhujah, para tokohnya yang masyur serta karya-karya mereka dan peranan serta hubungan Qira’at Shadhdhah dalam pelbagai disiplin ilmu-ilmu lain.

Kursus ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pengajaran dan pembelajaran al-Quran secara teori dan praktikal. Selain itu pelajar akan didedahkan tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran mengikut cara tradisional dan kontemporari di Malaysia khususnya. Kursus ini juga mendedahkan kepada pelajar tentang kepelbagaian teknik terkini dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang boleh dijadikan sebagai alat atau bahan bantu mengajar dan belajar al-Quran. Dari segi praktikal pula, kursus ini menghendaki pelajar menjalani latihan di industri atau agensi yang terlibat secara langsung dengan pengajaran al-Quran selama 20 minggu. Selain itu, pelajar juga akan diberi latihan dan pendedahan mengenai perkara yang melibatkan pengajaran al-Quran semasa di industri atau agensi berkenaan.

Kursus ini membincangkan sejarah kemunculan dan perkembangan penyelewengan tafsir serta faktor-faktor yang mempengaruhinya. Perbincangan difokuskan kepada unsur-unsur penyelewengan yang terdapat dalam pentafsiran al-Quran merangkumi penggunaan hadith-hadith mawdu‘ dan sebahagian riwayat Isra’iliyyat, tafsiran sebahagian ahli tasawuf dan ahli bahasa serta takwilan yang dibuat oleh firaq Islamiyah seperti Batiniyyah, Syiah, Khawarij dan Muktazilah. Kajian juga menganalisis pengaruh gerakan pemikiran dan ideologi moden terhadap pentafsiran al-Quran. Sehubungan itu, beberapa sampel tafsiran ayat al-Quran dipilih sebagai kajian kes.

Kursus ini mendedahkan kepada pelajar tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran cara tradisional dan kontemporari di Malaysia khususnya. Kursus ini akan mendedahkan kepada pelajar kepelbagaian teknik terkini dalam pengajaran al-Quran sesuai dengan perkembangan teknologi dan media yang boleh dijadikan sebagai Alat Bantu Mengajar al-Quran.

Kursus ini adalah pengenalan mengenai pengajian dan penulisan ilmu Tafsir dan Hadith ulama di Nusantara. Pelajar didedahkan tentang proses perkembangan pengajian dan penulisan Tafsir dan Hadith selepas kedatangan Islam ke Nusantara. Ia juga membincangkan penglibatan ulama dan metode penulisan karya mereka dalam menyebarkan ilmu Tafsir dan Hadith kepada masyarakat di Nusantara.

Kursus ini membincangkan mengenai pengenalan, skop perbincangan dan perkembangan Ulum al-Quran dan tafsir, beberapa aliran dalam tafsir dan beberapa isu semasa berkenaan al-Quran. Kursus ini juga membincangkan pengenalan, skop perbincangan dan perkembangan Ulum al-Hadith terutamanya yang bersangkutan dengan sanad dan matan, jenis-jenis hadith yang diterima dan ditolak dan beberapa isu semasa berkenaan hadith.

Kursus ini membincangkan asas ilmu Qira’at dan semua bab yang terdapat dalam Ilmu Tajwid al-Quran mengikut tariq al-Shatibiyyah. Perbincangan dan perbandingan tatacara bacaan antara qurra’ dalam skop ilmu Tajwid mengikut tariq tersebut juga turut diberi perhatian. Penekanan terhadap sejarah kemunculan ilmu ini, karya-karya, tokoh- tokoh dan pengajiannya di era teknologi maklumat akan dibincangkan dengan meluas. Manakala proses praktikal pula akan diberi pendedahan yang sepatutnya melalui pertemuan-pertemuan dan hafalan beberapa surah pilihan di kelas tutorial yang akan diadakan.