FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Faculty of Islamic Studies

كلية الدراسات الإسلامية

Senarai Kursus Prasiswazah
Pusat Kajian Syariah

Kursus ini merupakan pengantar kepada pengajian fiqh dalam dua bahagian iaitu ibadat dan munakahat. Bahagian ibadat menyentuh ibadat umum dan khusus seperti sembahyang, puasa, zakat, dan haji serta persoalan berkaitan dengan ibadat-ibadat tersebut. Manakala bahagian munakahat pula menyentuh pertunangan, perkahwinan, mas kahwin, perceraian, fasakh, khulu’, ila’, zihar, kesan perkahwinan seperti nafkah dan hadanah, rujuk dan perkara-perkara yang berkaitan. Penekanan kursus ini akan diberikan kepada mazhab Shafie.

Kursus ini merupakan pengantar kepada fiqh muamalat dan jenayah. Bahagian pertama membincangkan konsep al-mal, al-caqd, al-ahliyyah; prinsip kontrak pertukaran iaitu jual beli, ijarah dan jicalah; kontrak perkongsian seperti musharakah, mudarabah, muzaracah, dan musaqah; dan, kontrak amanah dan kebajikan seperti wadciah, rahn dan qard. Perbincangan juga menyentuh tentang hak dalam muamalat seperti hak penggunaan manfaat, hak shufcah, luqatah, dan elemen yang ditegah dalam muamalat seperti, riba, gharar dan judi. Bahagian kedua pula membincangkan bahagian jenayah dengan penekanan kepada jenayah qisas, hudud dan takzir. Tumpuan juga diberikan kepada beberapa jenayah semasa menurut perspektif Syariah. Penekanan kursus adalah kepada pendapat mazhab Syafie.

Kursus ini membincangkan mengenai sistem undang-undang yang diamalkan di Malaysia masa kini. Di antara perkara yang diberi fokus utama ialah sumber undang-undang di Malaysia termasuk Islam serta sejarah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang di Malaysia. Turut dibincangkan ialah konsep-konsep utama undang-undang, doktrin duluan, tafsiran undang-undang bertulis, sistem kehakiman dan beberapa tajuk lain yang mempunyai kaitan dengan tajuk kursus. Kes-kes tertentu akan didedahkan kepada para pelajar bagi menguatkan fahaman mereka dan memberi keberkesanan kepada pembelajaran mengenai tajuk-tajuk yang dibincangkan.

Kursus ini bertujuan mengkaji kedudukan Islam dan pelaksanaan undang- undang Islam pada zaman sebelum penjajahan (zaman Melaka), zaman penjajahan dan zaman selepas wujud organisasi pentadbiran agama Islam di Malaysia seperti Majlis Agama dan Jabatan Agama, dengan memusatkan perbincangan kepada undang-undang berkaitan zakat, wakaf, baitulmal, masjid, pemelukan agama Islam, pendidikan agama Islam dan Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri serta kebangsaan. Kursus ini juga akan menganalisa dan menilai kuasa-kuasa Mahkamah Syariah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan undang-undang keluarga Islam, kesalahan jenayah syariah, alternatif penyelesaian kes di Mahkamah Syariah dan penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah.

Kursus ini bertujuan membincangkan takrif usul fiqh, tajuk, sejarah perkembangan dan faedahnya. Kursus ini juga membincangkan tentang takrif al-hukm al-sharci dan
pembahagiannya, muqaddimat al-wajib, al-ada’, al-cazimah, al-rukhsah, al-hakim, al-mahkum calayh, al-ahliyyah, al-mahkum bih, pembahagian lafaz, dalalah lafziyyah, penggunaan lafaz pada maknanya seperti haqiqah, majaz, sarih, kinayah dan huruf- huruf yang berkaitan. Kursus ini juga membincangkan dalil al-Quran, dalil al-Sunnah dan tajuk-tajuk yang berkaitan dengannya seperti al-amr, al-nahy, al-camm, al-khass, takhsis al-camm, al-mutlaq, al-muqayyad, al-mubayyan, al-mujmal, al-nass, al-zahir, al- muawwal, dalalat al-iqtida’, dalalat al-ima’, dalalat al-isharah, al-mantuq, al- mafhum dan al-naskh. Selain itu, kursus ini turut membincangkan tentang ijmak dan qiyas.

Kursus ini sebagai panduan kepada pelajar dalam menambah kemahiran untuk memahami dan menggunakan sumber-sumber utama ilmu fikah khususnya dalam Mazhab Shafie, di samping menguasai Bahasa Arab. Kursus ini juga bertujuan menjelaskan bentuk dan susunan kitab-kitab fikah klasik Mazhab Shafie serta memperkenalkan istilah-istilah yang diguna pakai dalam kitab-kitab tersebut. Selain itu, pelajar juga didedahkan dengan sumber-sumber penting mazhab-mazhab lain secara ringkas. Pendekatan kursus dilaksanakan dengan cara pelajar-pelajar dilatih membaca, memahami dan mengkaji teks-teks fikah klasik dalam Bahasa Arab untuk memantapkan pemahaman mereka dalam bidang-bidang utama fikah.

Kursus ini membincangkan sumber-sumber fiqh yang berlaku perselisihan seperti sharc man qablana, qawl al-sahabiyy, al-istishab, al-masalih al-mursalah, al-istihsan, al-dhara’ic dan al-curf. Kursus ini juga membincangkan al-ahliyyah dan mawanic al- ahliyyah, al-tacarud dan al-tarjih, al-ijtihad, al-taqlid, al-ifta’ dan al-istifta’, al-tacarud dan al-tarjih serta al-naskh.

Kursus ini bertujuan membincangkan konsep, prinsip dan hukum-hukum serta isu-isu semasa berkaitan kekeluargaan Islam. Perbahasan juga akan dilakukan terhadap pendapat- pendapat mazhab fiqh di dalam perundangan Islam secara perbandingan mengenainya. Tumpuan khusus akan diberikan kepada undang-undang perkahwinan Islam, nilai dan tujuannya,hukumperkahwinan,rukun,syaratdankesannya.Kursusinijugaakanmenyentuh masalah pembubaran perkahwinan, jenis dan hukumnya, serta perkara-perkara yang berkaitan dengan perkahwinan dan perceraian seperti nasab, nafkah, mutcah dan hadanah.

Kursus ini bertujuan memperkenalkan kaedah-kaedah fiqh, sejarah kelahirannya, sumber pengambilan, rujukan utama, faedah, fungsi, aplikasi serta kedudukannya dalam perundangan Islam. Kursus ini membincangkan lima kaedah fiqh utama serta aplikasinya dalam hukum-hukum fiqh klasik dan kontemporari. Ia juga membincangkan kaedah kulli yang lain seperti al-ijtihad la yanqudu bi al-ijtihad dan idha ijtamaca al-halal wa al-haram ghulliba al-haram.

Kursus ini berbentuk penyelidikan dan penulisan dalam bidang Syariah. Aspek- aspek yang dinilai adalah abstrak, pengenalan, kajian lepas, metodologi, data, dan analisis perbincangan dan kesimpulan serta gaya penulisan dan format. Latihan Ilmiah ini mestilah diselesaikan tidak kurang dari dua semester dengan mengambil kira aspek- aspek sebuah penulisan ilmiah mengikut GAYA UKM. Jumlah perkataan penulisan ini tidak kurang daripada 20,000 patah perkataan.

Kursus ini membincangkan konsep, falsafah dan prinsip perundangan Islam serta perbezaan antara fiqh dan syariah dengan undang-undang moden. Kursus ini juga membahaskan aspek sejarah perundangan pada zaman Rasulullah SAW sehingga tabi’in, sejarah kemunculan mazhab-mazhab Islam serta pengenalan kepada imam-imam
mazhab Sunni, Syiah dan mazhab-mazhab lain. Perbincangan juga menyentuh ciri- ciri, sumber-sumber perundangan, dan metod pembinaan hukum dengan ditumpukan kepada tujuan dan matlamatnya serta hikmah-hikmah tasyrik Islami yang menjurus kepada bidang fiqh secara umum. Seterusnya mengenai sejarah perbezaan pendapat dalam perundangan Islam dan implikasinya pada hari ini sama ada dari sudut ibadat, muamalat, munakahat jinayat dan lain-lain.

Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kedudukan dan kepentingan maqasid syariah dalam ijtihad bagi menentukan hukum permasalahan baharu pada masa kini. Kursus ini akan membincangkan mengenai jenis-jenis ijtihad dan kaitannya dengan maqasid syariah. Kursus ini seterusnya akan membincangkan mengenai sejarah ilmu maqasid syariah, metode penentuan dan pembahagiannya. Perbahasan mengenai kepentingan maqasid syariah dan syarat-syarat penggunaannya dalam ijtihad juga turut diberi penekanan. Selain itu, perbincangan juga difokuskan kepada hubungan maqasid syariah dengan ilmu usul fiqh dan kaedah fiqh serta pemakaiannya dalam fatwa-fatwa kontemporari.

Kursus ini bertujuan memperkenalkan dasar umum Islam yang berasaskan siyasah syariah dengan merujuk pada pelaksanaan dan contoh-contoh pada zaman Rasulullah
s.a.w. dan Khulafa’ al-Rashidin. Perbincangan merangkumi sumber-sumber dan bidang pelaksanaannya, kuasa pentadbiran, hak awam, hak persendirian, prinsip syura dan budibicara, tujuan dan cara pelaksanaan hukum Allah s.w.t. berdasarkan kepada nas dan ijtihad. Hasil daripada kosnep pentadbiran yang dijelaskan oleh Islam menerusi al-Quran dan al-Sunnah, maka perbandingan antara dua zaman akan dapat dibandingkan dengan lebih terperinci. Kursus ini juga membincangkan beberapa prinsip siyasah syariah seperti al-maslahah (kepentingan awam), dar’ al-darar, dafc al-mashaqqah (mengelak bahaya dan kesukaran), al-cadah/al-curf (adat kebiasaan) dan sadd al- dhara’ic (mencegah keburukan). Semua ini bertujuan untuk memudahkan para pemikir Islam mengaplikasikan segala kaedah penentuan hukum terhadap isu-isu politik semasa.

Kursus ini membincangkan Sistem Pusaka Islam dengan memberi penekanan kepada keadilan sistem pusaka Islam berbanding dengan Sistem/Undang-undang Pusaka bukan Islam dengan merujuk kepada kes-kes pusaka. Tumpuan kursus ini diberikan kepada konsep faraid atau mirath, sumber undang-undang pusaka Islam, rukun dan syarat pusaka, sebab pusaka mempusakai dan halangan-halangannya, syarat-syarat dalam penerimaan harta pusaka, hak-hak dalam harta pusaka, jenis-jenis waris dan kadar bahagian mereka, dindingan (al-hajb) dan hak baitul mal dalam pusaka. Pendedahan kepada kaedah pengiraan harta pusaka juga diberi tumpuan di samping membincangkan kes-kes pengecualian dalam pusaka, pusaka golongan tertentu seperti orang yang hilang, khuntha, janin dan seumpamanya. Perbincangan juga dilakukan mengenai masalah al-'awl, al-radd, al-munasakhah, al-takharruj dan sebagainya.

Kursus ini bertujuan memperkenalkan konsep dan asas astrofiqh & kosmofiqh dalam konteks semasa. Ia akan membincangkan tentang kejadian alam semesta, peredaran cakerawala dan objek langit seperti matahari, bulan dan bumi, kedudukan buruj. Penekanan akan diberikan kepada isu-isu ibadah seperti penentuan arah qiblat, penentuan waktu solat, kejadian gerhana dan peredaran musim berdasarkan astrofiqh. Kursus ini juga melibatkan aspek amali yang ketara dengan memberi latihan kepada pelajar menggunakan istrumen falak moden seperti teodolite, kompas, teleskop,
scientific culculator dan instrumen tradisi seperti alat rubu’ mujayyab dan astrolabe
dalam hitungan falak. Mereka juga akan mengikuti program lapangan untuk praktikal cerapan dan penentuan arah qiblat menggunakan bayang matahari. Pelajar akan didedahkan dengan perisian astronomi terkini antaranya dari kumpulan Starry night Pro dan perisian percuma seperti Stellarium dalam memantapkan pemahaman mereka terhadap angkasa secara simulasi.

Kursus ini membincangkan persoalan fiqh semasa bagi mencari jalan penyelesaian dan jawapan mengikut hukum syarak. Penekanan diberikan kepada perbandingan antara mazhab fiqh Islam dan undang-undang ciptaan. Antara persoalan yang dibincangkan ialah hubungan pertunangan, perancangan keluarga, permanian beradas, bayi tabung uji, pemindahan organ manusia, bank susu dan darah, penggunaan botox dan isu-isu semasa yang lain.

Kursus ini bertujuan mengkaji undang-undang jenayah Islam secara perbandingan antara empat mazhab. Perbincangan merangkumi pelbagai aspek yang berkaitan dengan jenayah hudud, qisas dan takzir. Analisa bagi setiap kesalahan akan ditumpukan kepada pengertian, syarat-syarat pensbaitan dan juga hukuman berdasarkan pendapat pelbagai mahzab sunni. Perbincangan juga meliputi isu-isu jenayah semasa dan hukuman alternatif menurut perspektif Islam.

Kursus ini bertujuan membincangkan sistem kehakiman Islam sebagai satu sistem yang diamalkan oleh Rasulullah (SAW) dan para sahabat Baginda dan dibuat perbandingan dengan kehakiman Syariah dan Sivil khususnya yang diamalkan di Malaysia. Perbincangan akan meliputi perlantikan, perlucutan dan adab seorang hakim, pensyariatan guaman dan adab guaman. Selain itu, kursus ini membincangkan juga bidang kuasa, prinsip-prinsip dan matlamat kehakiman, organisasi, jentera-jentera dan mekanisme yang perlu ada pada sesuatu sistem kehakiman sebagai badan pentadbiran dan kuasa kehakiman seperti al-tahkim (dewan timbang tara), al-hisbah, al-mazalim. Secara umumnya, juga disentuh cara pembuktian dalam mahkamah termasuk dakwaan dan keterangan, penghakiman dan hukuman dan bidang kuasa kehakiman Islam terhadap orang-orang bukan Islam, berdasarkan prinsip undang-undang dan kehakiman dalam Islam. Perbandingan dengan sistem kehakiman Sivil akan dibuat dalam topik-topik tertentu sepanjang perbincangan kursus ini.

Kursus ini bertujuan membincangkan konsep ijtihad, taqlid dan talfiq seperti takrif, pembahagian dan sejarah perkembangan. Kursus ini juga membincangkan tentang penggunaan ijtihad sebagai instrumen untuk mengistinbat hukum syarak daripada al-Qur`an dan al-Sunnah. Selain itu, kursus ini akan mengupas isu-isu fiqh semasa berdasarkan ijtihad seperti ibadat, muamalat, munakahat dan kepenggunaan. Begitu juga, kursus ini akan membandingkan penggunaan ijtihad, taqlid dan talfiq dalam konteks semasa di Malaysia.

Kursus ini membincangkan secara perbandingan antara Fiqh Munakahat, Undang- undang Keluarga Islam negeri-negeri di Malaysia dan beberapa isu konflik undang- undang keluarga Islam dan sivil di Malaysia. Silibus merangkumi aspek pra perkahwinan, semasa perkahwinan dan pasca perkahwinan. Aspek pra perkahwinan membincangkan mengenai domisil, mastautin, pertunangan (peruntukan undang- undang berhubung dengan tuntutan gantirugi), perkahwinan (keperluan-keperluan awal seperti had umur minima, keizinan wali dan pendaftaran), poligami (keperluan kepada keizinan mahkamah dan penalti). Aspek semasa perkahwinan merangkumi kesan-kesan perjanjian perkahwinan seperti mahar, nafkah (tuntutan nafkah, nafkah anak sahtaraf dan nafkah anak tak sahtaraf), pemilikan harta dan diri anak, kesalahan-kesalahan matrimoni (pelupusan harta isteri, suami yang tidak melakukan keadilan, poligami tanpa keizinan, perkahwinan yang tidak didaftarkan atau perkahwinan luar daerah dan penganiayaan terhadap isteri), perlindungan terhadap anak-anak (nafkah, hadanah dan perwalian). Manakala aspek pasca perkahwinan pula memfokuskan kepada perceraian, menyentuh aspek tuntutan-tututan selepas perceraian seperti nafkah tertunggak, harta sepencarian, dan hak hadanah.

Kursus ini bertujuan mendedahkan kepada pelajar kemahiran menganalisis nas al-Quran dan al-Sunnah yang berkaitan dengan hukum- hakam pelbagai bidang merangkumi ibadat, munakahat, muamalat, jinayat, penghakiman dan pemerintahan. Pelajar diberi kemahiran untuk menganalisis alasan pendalilan (wajh al-dalalah) pada ayat dan hadith hukum yang dikaji. Pelajar turut didedahkan dengan metodologi penentuan hukum menerusi penghujahan para ulama berdasarkan ayat al-Quran dan al-Sunnah.Kursus ini menggunakan pendekatan tematik (mawduci) berasaskan perbandingan pelbagai pandangan ulama muktabar untuk memberi kemahiran fiqh (al-malakah al- fiqhiyyah) bagi menghadapi isu-isu semasa.

Kursus ini membincangkan konsep, prinsip, ciri-ciri, kategori dan jenis jenayah serta perlakuan jenayah menurut undang-undang jenayah Islam dan perundangan jenayah Malaysia di bawah bidang kuasa Persekutuan dan Negeri secara perbandingan. Pelbagai bentuk pengecualian am terhadap tanggungjawab jenayah dan unsur-unsurnya didedahkan kepada pelajar, terutamanya pengecualian am yang diperuntukkan dalam Bab IV Kanun Keseksaan [Akta 574] dan dibandingkan dengan undang-undang jenayah Islam. Perbincangan kursus menekankan kepada dua kategori kesalahan jenayah iaitu kesalahan terhadap tubuh badan manusia dan kesalahan terhadap harta benda. Kategori kesalahan terhadap tubuh badan manusia adalah termasuk jenayah homisid, jenayah cedera, jenayah seksual, culik, melarikan orang dan lain-lain, manakala kategori kesalahan terhadap harta benda pula adalah termasuk rompak, curi, peras ugut, tipu, khianat, salah guna harta dengan curang, pecah amanah dan lain-lain. Selain itu, beberapa isu berkait dengan perlakuan jenayah seperti pakat jahat dan subahat sebagaimana yang diperuntukkan dalam statut-statut perundangan jenayah di Malaysia juga diketengahkan, dibincang dan dibandingkan dengan undang-undang jenayah Islam.

Kursus ini membincangkan pengenalan kepada konsep hak asasi manusia menurut perspektif Islam serta undang-undang sivil yang terkandung dalam konvensyen antarabangsa. Perbincangan akan menjurus kepada tajuk-tajuk seperti maksud hak asasi, perkara-perkara yang terkandung dalam hak asasi seperti hak kebebasan beragama, hak mendapat pendidikan, hak mendapat peluang pekerjaan dan hak persamaan di sisi undang-undang. Perbincangan juga membahaskan tentang peruntukan undang-undang Islam dan sivil yang berkaitan serta sekatan-sekatan perundangan terhadap hak-hak asasi tersebut. Beberapa aspek hak asasi rakyat dan tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat serta undang-undang yang menjamin hak asasi manusia akan dibincangkan. Aspek hak asasi akan mencakupi jaminan hak asasi untuk orang awam, Muslim, non- Muslim, hak wanita dan kanak-kanak. Perbandingan setiap tajuk di atas akan dibuat berdasarkan teori dan amalan Islam serta peruntukan undang-undang antarabangsa dan peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang berkaitan.

Kursus ini membincangkan tatacara jenayah secara perbandingan mengikut Kanun Acara Jenayah di Malaysia dan Undang-undang Tatacara Jenayah Islam bermula dari peringkat tangkapan ke peringkat rayuan dan semakan. Kursus ini menyentuh proses pra bicara yang bermula dari aduan, laporan maklumat pertama, tangkapan, geledahan serta siasatan dan juga prosiding perbicaraan yang melibatkan pertuduhan, pendakwaan, beban membukti, pembelaan, pengakuan tertuduh, penarikan balik pengakuan, saksi- saksi, penangguhan kes-kes, penghakiman, rayuan dan semakan berdasarkan Kanun Prosedur Jenayah dan Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah.

Kursus ini bertujuan memperkenalkan prinsip-prinsip am undang-undang kontrak di Malaysia berdasarkan Akta Kontrak 1950 (Disemak 1974) [Akta 136] dan undang- undang kontrak Inggeris dengan melakukan perbandingan terhadap undang-undang kontrak Islam. Penekanan kursus ini adalah kepada latar belakang undang-undang kontrak, falsafah undang-undang kontrak, prinsip asas pembentukan kontrak, kontrak sah dan tidah sah, pemecahan kontrak dan remedi. Perbincangan topik-topik berkenaan dibuat secara perbandingan antara undang-undang kontrak Malaysia dan undang- undang kontrak Islam.

Kursus ini bertujuan membincangkan prinsip-prinsip dan konsep undang-undang tanah di Malaysia yang terkandung dalam Kanun Negara 1965 dan statut-statut lain yang berkaitan secara perbandingan dengan Undang-undang Tanah Islam dalam pelbagai pendapat mazhab. Penekanan kursus ini akan diberikan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan statut-statut yang berkaitan dengan tanah mengenai pentadbiran tanah takrifan harta dan tanah, sistem Torrens, hak dan kuasa Pihak Berkuasa Negeri dalam pelupusan dan penyitaan tanah, hak milik dan kepentingan terhadap tanah, hakmilik yang tidak boleh disangkal dan pengecualian-pengecualiannya serta kuasa Kerajaan Negeri untuk mengambil tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Juga dibincangkan konsep pindah milik, pajakan dan sewaan, cagaran dan lien, jual janji dan ismen, sekatan terhadap urusniaga, pendaftaran urusniaga, perancangan dan penggunaan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965, seperti pecah sempadan, pecah bahagian, pecah sempadan bangunan, pembahagian harta pusaka kecil, tanah adat dan tanah simpanan Melayu. Beberapa perkara yang disentuh di atas akan dibuat perbandingan dengan undang- undang tanah Islam.

Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai undang-undang dan pentadbiran pusaka, wasiat dan wakaf yang dilaksanakan di negara ini. Kursus ini menyentuh dua aspek utama, iaitu aspek undang-undang dan aspek pentadbiran dalam pusaka, wasiat dan wakaf orang-orang Islam. Di antara undang-undang yang akan dibincangkan ialah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, Akta Probet dan Pentadbiran 1959, Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan), Enakmen Wakaf (Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri, undang-undang pusaka Islam, wasiat dan wakaf. Dalam pentadbiran harta pusaka, tiga jenis harta pusaka akan dibincangkan iaitu harta pusaka kecil, harta pusaka besar dan harta pusaka ringkas. Di samping itu, pentadbiran wasiat dan wakaf dan kes-kes berkaitan akan diberi penekanan, serta peranan agensi-agensi yang berkaitan dalam pentadbiran harta pusaka seperti Amanah Raya Berhad, Bahagian Pembahagian Pusaka dan sebagainya. Kursus ini juga memfokuskan kepada perbincangan mengenai pembahagian kuasa perundangan antara kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta peranan Mahkamah Syariah dan Sivil dalam pentadbiran pusaka, wasiat dan wakaf di Malaysia.

Kursus ini menjelaskan falsafah dan prinsip-prinsip ekonomi dan hubungannya dengan Islam. Ia juga membincangkan sejarah perkembangan dan pemikiran ekonomi Islam bermula dari zaman awal islam sehingga masa kini. Kursus ini membincangkan masalah asas ekonomi dan penyelesaian bagi masalah tersebut. Kursus ini juga mengenengahkan beberapa teori ekonomi secara perbandingan seperti permintaan, penawaran, agihan, pasaran, monopoli, penentuan harga dan sebagainya. Disamping itu isu-isu semasa ekonomi Islam akan dibincangkan seperti sektor kebajikan dalam ekonomi Islam, dasar-dasar kewangan dan fiskal serta peranan kerajaan dalam ekonomi menurut Islam.

Kursus ini bertujuan membimbing pelajar memahami dan mengkaji secara meluas serta membuat perbandingan antara pendapat mazhab-mazhab fiqah Islam dan sistem semasa mengenai kontrak muamalat. Perbincangan merangkumi pelbagai aspek yang berkaitan dengan teori asas dalam muamalat iaitu teori hak, harta, milik dan akad. Kursus ini juga membincangkan prinsip-prinsip muamalat asas dalam perniagaan khususnya mengenai
jualbeli, riba, khiyar, salam, istisna’, murabahah, bay’ bithaman ajil, bay’ al-dyan, bay’ al-sarf dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Tumpuan akan diberikan kepada amalan jualbeli yang berlaku dalam institusi kewangan semasa.

Kursus ini bertujuan untuk memahami dan mengkaji secara meluas serta membuat perbandingan pendapat mazhab-mazhab fiqh dan amalan semasa dalam kontrak muamalat. Perbincangan ditumpukan kepada teori, prinsip dan aplikasi semasa meliputi musyarakah, mudarabah, wakalah, ijarah/jicalah, kafalah/damanah, hiwalah, wadicah, rahn, qirad/ cariah, sulh, ibra’, muqasah, musaqah, muzaracah dan mukhabarah. Fokus akan diberikan kepada gabungan prinsip-prinsip muamalah dalam menghasilkan produk baru dan praktis semasa dalam pembiayaan ekuiti, pembiayaan hutang dan pasaran modal.

Kursus ini menjelaskan sistem kewangan Islam dari segi struktur organisasi, sejarah dan mekanisme perlaksaanan, dan perkembangan sistem kewangan Islam. Perbincangannya akan ditumpukan kepada sektor perbankan, bukan perbankan dan pasaran kewangan secara perbandingan dengan sistem konvensional. Selain itu, kursus ini juga membincangkan isu-isu semasa kewangan dan perbankan di Malaysia, dan rangka kerja tadbir urus syariah bagi institusi kewangan Islam. Di samping itu, kursus ini turut menganalisis potensi, cabaran dan prospek masa depan dalam menghadapi globalisasi kewangan dunia.

Kursus ini membahaskan kedudukan zakat, wakaf dan baitulmal dalam Islam dari aspek prinsip asas dan hukum hakam berkaitan dana dan agihannya pada zaman awal Islam dan masakini. Ia juga membincangkan bidangkuasa pentadbiran dan pengurusannya di Malaysia. Undang-undang yang terpakai dan kuasa dalam pengurusan dari sumber dana dan agihan juga akan dibincangkan. Kursus ini juga membahas isu-isu semasa berkaitan zakat, wakaf dan baitulmal serta mencadangkan penyelesaiannya.

Kursus ini membincangkan persoalan kewangan Islam semasa bagi mencari jalan penyelesaian dan jawapan mengikut hukum syarak. Penekanan diberikan kepada perbandingan antara mazhab fiqh Islam dan undang-undang ciptaan. Antara persoalan yang dibincangkan ialah isu-isu berkaitan kontrak dan aplikasinya dalam sistem kewangan Islam seperti aplikasi kontrak al-ijarah al-muntahiyyah bi al-tamlik, al- wacad, al-rahn, al-mudarabah, al-murabahah, al-wakalah, bayc al-dayn, al-musharakah dan bayc al-wafa’. Begitu juga mengenai kedudukan hukum produk-produk semasa seperti sukuk, takaful, forex, money market, trading, short selling, stock dan isu-isu kewangan semasa yang lain.

Kursus ini bertujuan membincangkan institusi-institusi kewangan Islam yang yang bertindak sebagai ejen ekonomi Negara. Perbincangan merangkumi semua institusi kewangan sama ada perbankan dan bukan perbankan seperti takaful, koperasi, syarikat kewangan dan pasaran modal. Perbahasan difokuskan kepada fungsi dan peranan yang dimainkan oleh setiap institusi dalam mengaplikasi sistem kewangan Islam. Kursus ini juga akan menyentuh aspek produk asas dan prinsip syariah yang digunakan. Turut dibahaskan tadbir urus dan institusi pengawal serta majlis penasihat syariah.

Kursus ini membincangkan tentang hubungan Islam dengan pemerintahan termasuk konsep dan ciri-ciri negara Islam serta tanggungjawab menubuhkan negara Islam. Seterusnya ia membincangkan tentang perlembagaan Islam, prinsip yang seharusnya ada dalam pemerintahan Islam berlandaskan realiti yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan zaman al-Khulafa’ al-Rashidin. Ia turut membicarakan tentang beberapa institusi penting dalam pemerintahan Islam, sebagaimana ia juga menyentuh hak dan tanggungjawab pemerintah serta rakyat.

Kursus ini membincangkan pengenalan kepada beberapa konsep Perlembagaan seperti makna, penjenisan dan ciri-ciri perlembagaan, kedaulatan undang-undang, pengasingan kuasa dan ketertinggian parlimen, federalisma dan konvensyen, ciri- ciri penting Perlembagaan Malaysia seperti kebebasan asasi, institusi Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu, peruntukan-peruntukan khas seperti kedudukan istimewa orang-orang Melayu, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, kuasa menentang kuasa- kuasa subversif, pindaan perlembagaan dan pengenalan kepada prinsip undang- undang pentadbiran. Perbandingan setiap tajuk-tajuk diatas akan dibuat berdasarkan teori dan amalan Islam khususnya prinsip-prinsip utama perlembagaan Islam dengan menfokuskan kepada Perlembagaan Madinah.

Kursus ini membincangkan pengenalan undang-undang tort mengikut undang-undang sivil dan Islam; sejarah perkembangan dan sumber-sumbernya. Pelajar-pelajar akan didedahkan kepada beberapa konsep persamaan dan perbezaan antara tort Islam dan sivil. Seterusnya akan dibincangkan tanggungan tegas dan tanggungan beralih; jenis- jenis tort berniat, seperti serangan, serang sentuh dan penahanan salah. Pencerobohan terhadap harta benda juga akan dibincangkan, termasuk salah milik dan kerosakan. Selain itu dibincangkan juga konsep kecuaian yang merangkumi prinsip tugas berhati- hati, perlanggaran tugas berhati-hati, pembuktian kecuaian dan dalihan kepada kecuaian. Tajuk-tajuk lain yang akan dibincangkan ialah tanggungan terhadap premis, tanggungan terhadap binatang, tanggungan terhadap benda-benda, tanggungan terhadap air dan api, kacau ganggu dan kejut saraf. Di samping itu, perbincangan berkaitan dengan tort fitnah juga akan dilakukan. Remidi-remidi yang boleh diperolehi serta dalihan-dalihan yang terdapat dalam setiap topik undang-undang tort yang dibincangkan juga diberi perhatian.

Kursus ini memperkenalkan pelajar kepada undang-undang berkaitan dengan urusan perdagangan khususnya mengenai kontrak, jualbeli barang-barang, insurans dan perhubungan majikan dan pekerja yang diamalkan di Malaysia. Antara perkara-perkara yang disentuh ialah prinsip-prinsip asas, elemen-elemen pembentukan kontrak, remedi kemungkiran kontrak, pemindahan hakmilik, pemindahan risiko, serah hantaran, terma- terma kontrak di bawah Akta Jualan Barang-barang 1957, kontrak insurans, jenis-jenis insurans, prinsip-prinsip penting dalam kontrak insurans, kewajipan dan tanggungjawab majikan dan pekerja dan hak-hak pekerja serta penamatan kontrak perkhidmatan. Kursus ini juga memperkenalkan beberapa statut lain yang berkaitan dengan perdagangan.

Kursus ini membincangkan undang-undang keterangan secara perbandingan iaitu menurut undang-undang Islam dan Akta Keterangan 1950. Aspek-aspek yang dibincangkan dalam kursus ini adalah sejarah dan pengenalan undang-undang keterangan Islam dan Akta Keterangan 1950, kepentingan pembuktian, keterangan atau al-bayyinah, beban dan standard pembuktian, pengakuan, kesaksian dan sumpah. Aspek-aspek lain yang dibincangkan juga ialah qarinah, keterangan dokumen, keterangan pakar, pengetahuan hakim, lican dan qasamah.

Kursus ini membincangkan Acara Sivil secara perbandingan antara Undang-undang Acara Sivil di Malaysia dan Mal di Mahkamah Syariah. Acara sivil menyentuh pihak- pihak, writ-writ, penyampaian dan penerimaan writ, penghakiman, tuntutan interplider, pliding, penarikan balik, pembayaran, dokumen-dokumen, interogatrori, pengakuan, perbicaraan, petisyen, rayuan dan lain-lain. Manakala dalam Acara Mal dibincangkan perkara-perkara berkaitan dengan saman, penyampaian, permohonan, afidavit, ex-Parte, penzahiran, perbicaraan dan sebagainya.

Kursus ini bertujuan membincangkan sistem kehakiman perbandingan di mahkamah Syariah dan sivil di Malaysia. Perbincangan kursus ini akan meliputi sejarah sistem kehakiman, bidangkuasa mahkamah, kelayakan hakim, perlantikan hakim, perlucutan jawatan hakim, adab dan etika hakim, sidang kehakiman yang meliputi pendakwaan, tahanan, siasatan dan jaminan, prosedur perbicaraan, keterangan, penghakiman dan amalan guaman di mahkamah Syariah dan sivil di Malaysia. Perbahasan semua topik ini adalah secara umum dan turut menyentuh sistem kehakiman Islam dalam subtopik tertentu yang berkaitan dengan sistem kehakiman dalam mahkamah di Malaysia.

Kursus ini akan membincangkan konsep dan hak kanak-kanak menurut perspektif perundangan Islam klasik dan kontemporari. Topik pertama dimulakan dengan penghuraian definisi kanak-kanak dan istilah perundangan berkaitan. Kursus ini juga akan membincangkan kedudukan kanak-kanak sebelum kelahiran seperti hak janin dan penguguran anak. Selanjutnya, beberapa topik lain turut dikupas seperti hukum berkaitan kelahiran dan selepasnya, nasab, pengangkatan dan anak laqit, agama kanak- kanak, ibadah dan muamalat kanak-kanak, perkahwinan kanak-kanak, perlindungan kanak-kanak daripada eksploitasi dan penderaan, pendidikan kanak-kanak, kesaksian kanak-kanak, serta kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang.

Kursus ini bertujuan meneliti pertumbuhan dan perkembangan industri perbankan Islam dan takaful di Malaysia. Perbincangan selanjutnya meliputi produk-produk perbankan Islam dan takaful serta peraturan dan perundangan berkaitan perbankan dan takaful yang merangkumi pematuhan syariah, tadbir urus syariah dan audit pematuhan syariah. Selain itu, pemerhatian terhadap kes-kes perbankan Islam dan takaful turut diberi penekanan dalam kursus ini.

Kursus ini secara konsepnya menekankan kajian perbandingan di antara Undang- undang Antarabangsa yang berjalan pada hari ini dengan Undang-undang Antarabangsa Islam (fiqh siyar). Kursus ini merangkumi amalan-amalan Negara semasa. Sebagai permulaan, pelajar akan diperkenalkan kepada definisi, asas-asas, tabi’i, skop, objektif sumber-sumber utama dan sampingan serta pertelingakahan dalam menentukan siapa yang layak diiktiraf sebagai peserta (subject). Selain daripada itu aspek-aspek perbezaan antara Undang-undang Antarabangsa dan Undang-undang Municipal, hak-hak, kedaulatan dan tanggungjawab negara, perolehan wilayah (acquisation), kehilangan (loss), pewarisan (succession), penyerahan (cession), pendudukan (occupation) dan sebagainya yang berkaitan dengan negara sebagai entity terpenting dalam Undang- undang Antarabangsa. Diplomatik serta kekebalan yang dinikmati oleh ajen diplomatik. Dalam bahagian yang lain, pelajar juga didedahkan kepada pertelingkahan antarabangsa serta penyelesaiannya, konsep peperangan dan jihad, layanan terhadap tawanan perang, dan konsep berkecuali (neutrality).

Kursus ini membincangkan teori serta pelaksanaan perbankan Islam dan takaful dalam konteks kewangan Islam di Malaysia. Ia melibatkan perbahasan teori, prinsip dan kerangka kerja pengawalseliaan serta penyeliaan (regulatory and supervisory framework) seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Kursus ini juga mendedahkan bentuk-bentuk produk, polisi serta operasi perbankan Islam dan takaful di samping menganalisis beberapa kajian kes dalam perbankan Islam dan takaful. Seterusnya, beberapa isu semasa serta cabaran yang dihadapi oleh perbankan Islam dan takaful turut dibincangkan secara kritis.

Kursus ini membincangkan teori dan sistem al-rahn. Ia melibatkan perbahasan konsep, prinsip dan skim al-rahn. Perbincangan juga mengenai institusi dan tadbir urus penyedia perkhidmatan skim al-rahn. Sistem al-rahn dan pajak gadai konvensional yang terdapat di Malaysia akan dibincang dan dianalisis. Kursus ini juga memberi pendedahan berkaitan operasi dan produk skim al-rahn oleh pelbagai penyedia perkhidmatan al- rahn di Malaysia.

Kursus ini memberi pendedahan kepada pelajar dari segi teori dan praktikal. Dari segi teori, kursus ini membincangkan mengenai isu-isu perwarisan harta pusaka, undang- undang dan pentadbiran harta pusaka di Malaysia. Dari segi praktikal pula, kursus ini menghendaki pelajar menjalani latihan di industri atau agensi yang terlibat secara langsung dengan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka selama 20 minggu. Semasa di industri atau agensi, pelajar akan didedahkan mengenai praktikal pengurusan harta pusaka orang Islam di Malaysia yang melibatkan hukum pusaka Islam dan amalan dari sudut undang-undang dan pentadbiran. Selain itu, pelajar juga diberi latihan dan pendedahan mengenai tatacara pengurusan dan pengendalian kes-kes pusaka yang diamalkan di industri atau agensi berkenaan.