Fit & Fun Carnival 2015 Anjuran Mahasiswa UKM

KUALA LUMPUR, 5 DISEMBER: Mahasiswa jurusan Sains Pemakanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kampus Kuala Lumpur telah menganjurkan “Fit & Fun Carnival 2015” di bawah pemantauan Prof Dr. Ruzita AbduL Talib, Pengerusi Pusat Pengajian Sains Jagaan Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan , UKM. Karnival ini bertempat di Kolej Tun Syed Nasir dan Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur dan telah mendapat kerjasama daripada Yayasan Jantung Malaysia( YJM) dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO).

ff05
Foto 1: Para peserta bersedia di garisan permulaan untuk acara larian ninja.

Program yang telah kali kedua diadakan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat sekitar Kuala Lumpur yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan bangsa.

Penganjuran karnival ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan amalan pemakanan sihat yang mudah diamalkan oleh masyarakat dalam kehidupan seharian, meningkatkan kesedaran masyarakat akan kepentingan aktiviti fizikal serta menilai status pemakanan dan status kesihatan semasa masyarakat.

ff07
Foto 2: Sebahagian daripada peserta yang mengikuti tarian zumba sebagai senaman memanaskan badan sebelum memulakan larian.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sempena karnival ini antaranya larian ninja sejauh 6 km di trek larian Taman Tasik Tititwangsa Kuala Lumpur, tarian Zumba, demonstrasi masakan sihat oleh peserta UNICHEF UKM, pameran serta pemeriksaan kesihatan oleh staf UKM, United Lifestyle dan Yayasan Jantung Malaysia.

Acara flag off untuk larian telah disempurnakan oleh Prof Norimah Abdul Karim selaku Ketua Program Sains Pemakanan UKM sekitar jam 7.45 pagi di perkarangan padang Kolej Tun Syed Nasir sejurus selepas tarian Zumba tamat.

ff06
Foto 3: Sebahagian dari peserta acara larian ninja.

Karnival ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Y. Berbahagia Professor Emeritus. Mohd Ismail Noor, Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO) yang telah merasmikan karnival ini. Menurut beliau, sebagai bekas pensyarah di UKM, beliau sangat berbangga dengan penganjuran karnival ini serta sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Beliau berharap agar karnival ini akan terus diadakan pada masa akan datang.

Pengarah Fit & Fun Carnival 2015 , Goh Chai Xiang berkata organisasi karnival yang dibentuk telah bekerja keras bagi menjayakan program ini dan hasilnya program telah berjalan lancar mengikut yang telah dirancang. Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pentadbiran Pusat Pengajian Sains Jagaan Kesihatan (PPSJK) UKM atas sokongan yang telah diberikan secara lansung dan tidak lansung.

ff03
Foto 4: Slot Demo Masakan Sihat yang dikendalikan oleh peserta UNICHEF UKM iaitu saudari Nur Rashidah dan Nurul Ammelia.

Karnival ini juga turut mendapat tajaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Nutrition Society Malaysia (NSM), Lushious, Ribena, Anugerah dan Roti Sedap. Sejumlah wang daripada karnival ini akan turut disumbangkan kepada pihak Yayasan Jantung Malaysia.