Kakitangan Program Sains Pertuturan diraikan dalam Bengkel Halatuju serta Majlis Jamuan Raya dengan tajaan oleh Syarikat Blueprinsm Sdn. Bhd.

KUALA LUMPUR, 8 Mei 2023 – Seramai 17 orang kakitangan dari Program Sains Pertuturan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya yang diadakan beserta Bengkel Halatuju Program Sains Pertuturan 2023 pada 8 Mei yang lepas di Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

 

Majlis Sambutan Hari Raya ini ditaja oleh Syarikat Blueprinsm Sdn. Bhd. yang merupakan sebuah Pusat Intervensi bagi Kanak-kanak Berkeperluan Khas peringkat Antarabangsa. Syarikat Blueprinsm Sdn. Bhd. ini diterajui oleh Cik Faith Ng, syarikat beliau juga baru sahaja mematerai Memorandum Persefahaman dengan pihak program pada akhir tahun 2022. Majlis sambutan hari raya yang ditaja beliau ini diadakan bagi merancang halatuju program serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan kakitangan akademik dan kakitangan sokongan.

 

Majlis ini buat julung kalinya diadakan bagi menzahirkan rasa terima kasih kepada kesemua kakitangan akademik serta kakitangan sokongan program dan klinik sains pertuturan yang telah bertungkus-lumus menjayakan visi serta misi program dan klinik sepanjang tahun 2022.

 

Semoga majlis seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan kerjasama jalinan silaturahim di antara Syarikat Bluprinsm dan Program Sains Pertuturan, Fakulti Sains Kesihatan UKM akan memberikan kesan positif kepada kedua-dua pihak yang terlibat agar bidang sains pertuturan terus mekar dalam membentuk terapis pertuturan pada masa hadapan serta memberi perkhidmatan terapi pertuturan berkualiti kepada komuniti.