MAJLIS MENANDATANGANI MOU ANTARA UKM DENGAN SPECIAL OLYMPIC MALAYSIA

CHERAS, 22 Oktober 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Program Optometri & Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) mengadakan majlis pemeteraian Memorendum Persefahaman dengan Special Olympic Malaysia (SOM) di Sukmaria, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kampus KL UKM.

Melalui pemeteraian MoU ini, FSK memberikan perkhidmatan kepakaran mata sebanyak dua kali setahun dalam Program Opening Eyes anjuran SOM. Kerjasama ini juga memberi manfaat kepada Pelajar Program Optometri dan Sains Penglihatan kerana berpeluang mempelajari modul perkhidmatan mata mengikut kriteria SOM secara teori dan praktikal dalam program Opening Eyes, dan aspek penyelidikan bersama akan diselitkan dalam program yang dianjurkan. Kerjasama ini juga melatih pensyarah dan pelajar sebagai Clinical Director untuk Program Opening Eyes.

Special Olympic Malaysia (SOM) merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diwujudkan pada tahun 1999 dengan objektif menyediakan latihan sukan dan menganjurkan pertandingan sukan sepanjang tahun bagi kanak-kanak dan golongan dewasa dengan masalah intelektual. Kerjasama antara SOM dan FSK adalah untuk memberikan khidmat saringan mata dalam program Opening Eye. Opening Eyes merupakan program saringan mata yang diberikan kepada atlet-atlet OKU dengan kriteria dan modul yang ditetapkan oleh SOM.

Majlis menandantangi MoU ini dihadiri oleh wakil pengurusan UKM, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat UKM, dan Prof. Dr. Bariah Mohd Ali, Dekan Fakulti Sains Kesihatan. Manakala delegasi Special Olympic Malaysia pula dihadiri oleh Dato’ Daud Ahmad, Presiden Special Olympics Malaysia, Puan Nur Azida Dato’ Daud, Board Chair Special Olympics Malaysia, Raja Dato’ Seri Yong Sofia Sultan Azlan Shah, Ahli Lembaga Special Olympics Malaysia, Raja Dato’ Seri Azureen Sultan Azlan Shah, Pengerusi Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun.