MAHASISWA FSK MENYUMBANG BAKTI DI PADANG, INDONESIA

8-12 Julai 2019: Seramai 14 orang Mahasiswa daripada Fakulti Sains Kesihatan UKM telah berkunjung ke tetangga Padang, Indonesia bersempena dengan Program Rentas Negara (PRN). Program yang mendapat kerjasama erat dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) ini bertujuan untuk membawa program berkonsepkan khidmat masyarakat ke negara luar, di samping bertukar idea, pengetahuan dan pendapat khususnya dalam bidang kesihatan dan perubatan serta pengendalian persatuan pelajar bersama mahasiswa institusi pengajian tinggi tempatan. Selain itu, para peserta juga dibawa menyelami kehalusan adat perpatih kaum minangkabau serta menjejak peninggalan ulama tersohor nusantara iaitu buya Hamka.

Program selama 5 hari 4 malam ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti seperti berkunjung ke Sekolah Tinggi Ilmu Kesihatan (STIKes) Fort de Kock Bukit Tinggi, melakukan aktiviti dan program kesedaran penjagaan kesihatan bersama pelajar Pondok Pesantren Darul Ulum Padang Magek, aktiviti bersama anak-anak Sekolah Luar Biasa (SLB) Waraqil Jannah, lawatan ke Pusat Dokumentasi Informasi Kebudayaan (PDIK) Minangkabau, perpustakaan peribadi (Kutub Khanah) Imam Rasul iaitu bapa kepada Buya Hamka, Muzium Kelahiran Buya Hamka serta menikmati keindahan desa terindah di dunia Nagari Tuo Pariangan dan lain-lain lagi.

Diharap pengalaman dan pengetahuan berharga yang dialami sepanjang berada di sana dapat dimanfaatkan sebaiknya serta lebih banyak program sebegini dapat dijalankan pada masa akan datang.