Program SLIMSHAPE UKM Rangkul Dua Anugerah LA21 Putrajaya

Kejayaan SLIMSHAPE
Tiga Anugerah yang dirangkul Fakulti Sains Kesihatan & Program SlimShape© UKM (Anugerah Rakan Kongsi Strategik Aktif (FSK), Anugerah Perdana Program Paling Popular (SlimShape© UKM) dan Anugerah Perdana Ejen Perubahan Yang Komited (Prof. Madya Dr. Zahara Abdul Manaf)

Berita: Marisazam Salleh
Foto: Marisazam Salleh, Asnida Arifin

Putrajaya, 25 Mac 2016 – Perbadanan Putrajaya menerusi Local Agenda 21 (LA21) telah mengadakan Majlis Mesra Local Agenda 21 “Malam Sekalung Budi Segunung Intan”, bertempat di Hotel Pullman Putrajaya Lakeside. Majlis ini diadakan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada semua wakil komuniti dan pemegang saham di Putrajaya serta rakan-rakan kongsi strategik Local Agenda 21 yang terlibat secara aktif di dalam program-program LA21 Putrajaya dari tahun 2012 – 2015. Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan universiti unggul yang dijemput sebagai rakan kongsi LA21 Putrajaya, telah mendapat pengiktirafan di dalam majlis ini. Majlis ini merupakan kali kedua dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya, selepas majlis seumpamanya diadakan dalam tahun 2012. Majlis yang bermula jam 8 malam ini telah diadakan di Pullman Putrajaya Lakeside dengan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Yang Berhormat Datuk Seri Utama Tengku Adnan bin Tengku Mansor dan turut dihadiri oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hashim bin Haji Ismail. Tetamu kehormat bagi pihak UKM adalah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Mazlin bin Mokhtar yang mewakili Naib Canselor UKM, dan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Dato’ Dr. Rokiah binti Omar yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat) UKM.

Kejayaan SLIMSHAPE
Prof. Madya Dr. Zahara Abdul Manaf menerima Anugerah Perdana – Ejen Perubahan Yang Komited

Prestasi program penurunan berat badan di tempat kerja SlimShape© telah menambat hati juri Local Agenda 21 Putrajaya semasa pemilihan calon Anugerah Perdana Program Paling Popular bagi sesi penilaian tahun 2014 sehingga 2015. Prof. Madya Dr. Zahara Abdul Manaf, ketua Program SlimShape© yang juga Ketua, Pusat Penyelidikan Komuniti Penuaan & Rehabilitasi (H-Care) Fakulti Sains Kesihatan, telah dinobatkan sebagai penerima anugerah perdana Ejen Perubahan Yang Komited, dalam menjayakan program berbentuk kesihatan kepada komuniti Putrajaya. Di dalam majlis ini juga Fakulti Sains Kesihatan telah mendapat sijil penghargaan sebagai Rakan Kongsi Strategik Aktif bagi pelaksanaan program LA21 Putrajaya.

Kejayaan SLIMSHAPE
Ahli kumpulan penyelidikan Program SlimShape© bersama Ahli kumpulan penyelidikan Program SlimShape© bersama Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan & Inovasi) UKM Prof. Dato’ Dr. Mazlin Mokhtar, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC UKM) Prof. Madya Datuk Dr. Rokiah Omar, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) FSK Prof. Madya Dr. Khairul Osman (bagi pihak Dekan FSK) dan Ketua HEJIM FSK Dr. Mohd Sham Othman

Modul program penurunan berat badan di tempat kerja Slimshape© telah didaftar untuk hakcipta dalam tahun 2012. Modul ini dihasilkan daripada penyelidikan dan akitiviti konsultasi ahli kumpulan ini yang berorientasikan perkhidmatan dan kesihatan komuniti di dua syarikat carigali minyak dan beberapa badan kerajaan serta badan berkanun. Rentetan kejayaan modul yang dijalankan sebelum ini, program SlimShape© telah mendapat kepercayaan dan penajaan oleh Perbadanan Putrajaya. Selepas pelancaran rasmi yang telah dilakukan oleh Presiden Putrajaya pada bulan April 2014 – Tan Sri Dato’ (Dr) Aseh bin Hj. Che Mat, program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari komuniti Putrajaya. Seramai 25% peserta yang berjaya menamatkan program SlimShape©Putrajaya 2014 dapat menurunkan sekurang-kurangnya 10% daripada berat badan asal dan mendapat faedah kesihatan yang lebih baik seperti tekanan darah dan aras glukosa darah yang normal, status kolesterol darah yang lebih baik serta mengurangkan masalah sakit lutut. Dengan hasil pelaksanaan yang memberangsangkan ini, program SilmShape© diteruskan bagi tahun kedua dengan peningkatan permohonan dari komuniti Putrajaya dan sekitarnya termasuk kawasan Bangi. Dengan berbekalkan komitmen yang tinggi, seramai 94.7% peserta telah berjaya mengurangkan berat badan secara purata 3.7kg dengan jumlah penurunan maksimum sebanyak 11.7kg dalam tempoh 3 bulan.

Kejayaan SLIMSHAPE
Ahli kumpulan SlimShape© bersama sijil dan trofi kemenangan

Formula kejayaan program SlimShape© ini ialah keunikannya dalam menggabungkan tenaga kepakaran dari pelbagai disiplin seperti dietetik, perubatan, fisioterapi, fisiologi senaman dan psikologi kesihatan selaras dengan kompleksiti masalah obesiti itu sendiri. Program ini memfokuskan kepada amalan gaya hidup sihat melalui pemberian ilmu pengetahuan, kemahiran, kesedaran, dorongan serta sokongan yang dilengkapi dengan pemantauan oleh pihak penyelidik serta peserta sendiri. Ternyata ianya bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti Putrajaya, malahan ia juga bertindak sebagai ‘living lab’ kepada pelajar pra-siswazah dan pasca-siswazah dalam bidang yang berkaitan. Program ini juga telah memangkinkan satu inovasi berbentuk papan permainan (board game) yang dikenali sebagai JejaKalori yang berada pada tahap pra-pengkomersialan. Papan permainan JejaKalori telah memenangi pingat gangsa dalam kluster ‘Health, Wellness & Wellbeing’ kategori terbuka, dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2015 (PECIPTA 2015) di Kuala Lumpur Convention Centre. Selain itu, beberapa penerbitan ilmiah turut diterbitkan di dalam jurnal-jurnal berkaitan.

Kejayaan SLIMSHAPE
Ahli kumpulan SlimShape© meraikan kejayaan

Bermula dengan projek konsultasi yang kecil, program ini telah menjadi satu projek penyelidikan yang mampu menjana kewangan, mencetus inovasi, menjadi ‘living lab’ dalam pengajaran dan pembelajaran serta menaikan nama UKM di mata pihak yang berkepentingan. Syabas diucapkan kepada semua penyelidik program SlimShape© dan ahli H-CARE, Fakulti Sains Kesihatan yang terdiri daripada Prof Madya Dr Zahara Abdul Manaf, Prof. Dr Suzana Shahar, Prof. Dr Norlaila Mustafa, Prof. Madya Dr Devinder Kaur Ajit Singh, Dr Arimi Fitri Mat Ludin, Dr Norhayati Ibrahim, En. Marisazam Salleh, Cik Asnida Ariffin dan semua pelajar daripada pelbagai program yang telah terlibat dalam program ini.

Kejayaan SLIMSHAPE
Tahniah kepada Program SlimShape© UKM