Tahniah YBhg. Profesor Emeritus Dr. Mohd Azman Abu Bakar

Profesor Emeritus Dr. Mohd Azman Abu Bakar

Fakulti Sains Kesihatan mengucapkan SYABAS & TAHNIAH di atas Penganugerahan Penerima Gelaran Profesor Emeritus Dr. Mohd Azman Abu Bakar.

Beliau dilahirkan di Kuala Lumpur pada 22 Februari 1952. Setelah tamat pengajian di Sekolah Alam Shah, beliau telah ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengikuti pengajian dalam bidang Biokimia Manusia di Universiti Gadjah Mada Indonesia dan memperolehi Ijazah pertama pada tahun 1975. Seterusnya beliau merantau ke United Kingdom untuk menimba ilmu dan memperoleh ijazah Sarjana dan PhD dalam bidang Biokimia Perubatan dari University of Dundee United Kingdom.

Profesor Emeritus Dr. Mohd Azman Abu Bakar

Sekembalinya ke Malaysia Mohd Azman telah dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Biokimia Fakulti Perubatan UKM. Beliau kemudiannya diamanahkan sebagai Ketua Jabatan Biokimia dari tahun 1989 sehingga 1992. Pada bulan September, 1992 sejarah telah tercipta di UKM dengan tertubuhnya Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu yang pertama di negara ini. Mohd Azman bersama beberapa orang rakan dari Fakulti Perubatan, UKM telah diamanahkan untuk menerajui Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB) UKM dan seterusnya mempelopori bidang Sains Kesihatan di negara ini.

Mohd Azman telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Sains Bioperubatan yang pertama pada tahun 1992. Kemudian beliau telah dilantik pula menjadi Timbalan Dekan FSKB pada tahun 1993. Kecemerlangan beliau diteruskan sehingga beliau dilantik menjadi Profesor dalam bidang Biokimia pada 1995. Pada tahun 1997 pula beliau telah diberikan tanggungjawab sebagai Dekan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu yang ke 2 dan tugas ini dilaksanakan dengan cemerlang sehingga tahun 2007. Setelah menabur bakti selama hampir 32 tahun Mohd Azman akhirnya bersara dari UKM pada 22 Februari 2008.

Profesor Emeritus Dr. Mohd Azman Abu Bakar

Mohd Azman adalah tunjang kepada pembentukan, perkembangan dan pengiktirafan bidang Sains Kesihatan di UKM khususnya dan di Malaysia amnya. Beliau memainkan peranan utama dalam penubuhan pelbagai program prasiswazah dan siswazah di FSKB UKM. Sepanjang tempoh pentadbiran beliau sebagai Dekan sebanyak 12 program prasiswazah dan siswazah Sains Kesihatan telah diwujudkan. Kebanyakan daripada program tersebut merupakan program pengajian peringkat prasiswazah yang pertama seumpamanya di Malaysia. Maka tidak hairanlah, dengan pengalaman dan kepakaran yang dimilikinya, beliau telah menjadi pakar rujuk untuk penubuhan pelbagai program pengajian dalam bidang Sains Kesihatan di beberapa IPT di seluruh negara. Beliau juga menjadi pakar rujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dalam mewujudkan penjawatan bagi pelbagai profesion berkaitan Sains Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia. Dengan hasil usaha serta dedikasi yang tinggi, beliau telah berjaya mengangkat profesion Sains Kesihatan ketahap yang lebih tinggi di negara ini.

Profesor Emeritus Dr. Mohd Azman Abu Bakar

Untuk mengukuhkan dan memperkenalkan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB) di peringkat antarabangsa Mohd Azman telah berjaya membuat jaringan dengan beberapa Universiti terkemuka di United Kingdom seperti Universiti of Bradford, University of Ulster dan Stirling University, serta beberapa buah Universiti di Indonesia seperti Institut Teknologi Bandung (ITB), Universiti Sumatra Utara (USU) dan Universitas Gadjah Mada (GAMA). Beliau juga telah berjaya mendapatkan pengiktirafan antarabangsa untuk program Sains Bioperubatan melalui akreditasi dari Institute of Biomedical Sciences (IBMS) UK pada tahun 1997.

Kini telah 23 tahun berlalu sejak tertubuhnya Fakulti Sains Kesihatan di UKM. Namun, suami kepada Puan Zuraidah Zainal serta bapa kepada 3 orang putera ini terus menabur bakti sebagai pakar rujuk dalam penubuhan pelbagai program pengajian dalam bidang sains kesihatan di IPT. Dengan usaha beliau yang tidak mengenal jemu, kini profesion Sains Kesihatan mendapat pengiktirafan dalam sektor kesihatan di Malaysia. Nama Mohd Azman Abu Bakar akan terus sinonim dengan perkembangan bidang Sains Kesihatan di negara ini.

Foto kredit kepada Pusat Komunikasi Korporat UKM