Tahniah YBhg. Profesor Emerita Dr. Norhani Mohidin

YBhg. Profesor Emerita Dr. Norhani Mohidin.

Fakulti Sains Kesihatan mengucapkan SYABAS & TAHNIAH di atas Penganugerahan Penerima Gelaran Profesor Emerita kepada YBhg. Profesor Emerita Dr. Norhani Mohidin. Beliau merupakan mantan Dekan ke-3 Fakulti Sains Kesihatan dan Profesor di Program Optometri & Sains Penglihatan, Pusat Pengajian Sains Jagaan Kesihatan.

Dilahirkan di Negeri Sembilan pada tahun 1954, Norhani menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan SiRusa, Port Dickson. Seorang anak Melayu yang berpotensi sejak di bangku sekolah rendah, beliau dipilih untuk meneruskan pelajaran di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bharu. Beliau kemudiannya mengorak langkah menimba ilmu di luar negara dalam bidang optometri yang begitu asing di Malaysia ketika itu. Melalui biasiswa MARA, beliau mengikuti program A-level di Rumney College of Technology, Cardiff, United Kingdom dan seterusnya Bachelor of Science (Optometry) di Universiti of Wales Institute of Science & Technology, United Kingdom.

Pengalaman pembelajaran di UK telah membuka mata Norhani Mohidin mengenai perkhidmatan kesihatan mata di Malaysia. Sejak di universiti lagi beliau telah bercita-cita untuk menjadikan profesion optometri satu bidang yang dikenali di negara ini. Hasrat Norhani Mohidin tertunai apabila Prof. Dato’ Dr Mohd Noor Marahakim, Ketua Jabatan Oftalmologi UKM pada masa itu juga mempunyai aspirasi dan visi yang sama. Pada tahun 1979, sejarah tercipta apabila satu jawatan baharu dalam perkhidmatan awam diwujudkan dan Norhani Mohidin, dilantik sebagai Optometris pertama di Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan, UKM.

Profesor Emerita Dr. Norhani Mohidin

Semangat dan iltizam Norhani Mohidin untuk mengembangkan profesion optometri tidak pernah padam. Dibawah bimbingan Prof Dato’ Dr Mohd Noor Marahakim, beliau menyiapkan kertas kerja Ijazah Sarjanamuda Optometri dan hasilnya pada tahun 1982, UKM menawarkan program ijazah sarjana muda optometri yang pertama di Malaysia. Beliau kemudiannya dilantik sebagai tutor di Unit Optometri, Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan, UKM dan dihantar untuk mengikuti pengajian di peringkat sarjana di The Universiti New South Wales, Australia. Setelah tamat pengajian pada tahun 1983, beliau telah dilantik sebagai pensyarah dan penyelaras Unit Optometri, UKM. Apabila program optometri dipindahkan ke Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Optometri dari tahun 1992 hingga 1994. Pada tahun 1994, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di University of Auckland, New Zealand dan pada masa yang sama dinaikkan pangkat ke jawatan Prof Madya. Sekembalinya ke Malaysia, beliau terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan di naikkan pangkat ke jawatan Profesor pada tahun 2005. Sumbangan beliau dalam pendidikan di UKM diteruskan apabila diamanahkan sebagai Timbalan Dekan (Siswazah & Penyelidikan) dari tahun 2006 hingga 2007 dan seterusnya sebagai Dekan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu sehingga bersara pada Disember 2009.

Isteri kepada Major (bersara) Basry Adam dan ibu kepada 2 orang putera ini tidak asing di kalangan profesional penjagaan mata di Malaysia dan rantau Asia Pasifik. Penglibatan beliau merentasi pelbagai agensi awam dan pertubuhan optometri di dalam dan luar negara. Beliau telah terlibat secara lansung dalam penggubalan Akta Optik yang diwartakan pada tahun 1991. Kepakaran beliau sentiasa dirujuk oleh pelbagai agensi kerajaan dan diundang sebagai penceramah, fasilitator dan panel penilai dalam pelbagai aktiviti dan inisiatif berkaitan pendidikan dan profesion optometri. Pada tahun 2005, beliau dilantik sebagai panel pakar dalam pembentukan kod Amalan Akreditasi Program Optometri, Agensi Kelayakan Malaysia atau MQA. Pengalaman yang luas dalam pendidikan optometri dimanafaatkan apabila dipilih menjadi panel penilai bagi akreditasi institusi oleh MQA pada tahun 2010 dan Pengerusi Jawatankuasa Halatuju Pendidikan Optometri di Malaysia oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2012.

YBhg. Profesor Emerita Dr. Norhani Mohidin

Norhani Mohidin juga bergiat aktif dalam pertubuhan optometri di Malaysia dan rantau Asia Pasifik. Beliau adalah Fellow International Association of Contact Lens Educators (IACLE), Fellow Association of Malaysian Optometrists (AMO) dan Fellow dan Penasihat Akademi Malaysia Optometri (MAO). Beliau pernah dilantik sebagai setiausaha IACLE (Asia-Pasifik) untuk dua penggal dan menggangotai Jawatankuasa Pendidikan World Council of Optometry (WCO) dari tahun 2010 hingga 2013. Sumbangan cemerlang beliau diiktiraf dengan Anugerah Outstanding Achievement in Optometry (2009) oleh AMO dan KBWoo Memorial Lecture Award (2011) oleh Asia Pacific Council of Optometry. Beliau juga telah dianugerahkan dengan pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) pada tahun 2002.

Lebih tiga dekad telah berlalu, pendidikan dan profesion optometri telah berkembang maju di Malaysia setaraf dengan program yang ditawarkan di luar negara. Jasa dan bakti seorang anak Melayu dengan pemikiran kehadapan, akan terus terpahat bukan sahaja di kalangan ahli profesional penjagaan kesihatan mata, malah ahli industri optikal dan penjawat di agensi awam dan universiti. Norhani Mohidin, satu nama yang akan terus sinonim dengan bidang optometri di Malaysia dan rantau Asia.

Foto kredit kepada Pusat Komunikasi Korporat UKM