Terkini @FSSK


Tun Razak Pemangkin Evolusi Pendidikan Holistik


Oleh: Ezzatulnadia Idris, DCU, FSSK


BANGI, 30 MAC 2022 –  Perkembangan sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami evolusi penting sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara. Sumbangan Tun Abdul Razak melalui Ordinan Pelajaran 1952 telah meletakkan asas bagi perkembangan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan kepada semua masyarakat dengan melaksanakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, penubuhan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan serta sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama bagi semua sekolah. Demikian merupakan antara intipati perbincangan di dalam program webinar ‘Sumbangan Tun Razak Dalam Perkembangan Pendidikan di Malaysia’ yang telah dianjurkan oleh Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK), UKM.

Laporan Razak 1956 menjadi tunjang sehingga memberi kesan pada sistem pendidikan dalam membentuk keseimbangan mobiliti sosial bahkan memberi kelebihan khususnya kepada masyarakat melayu bagi meningkatkan mutu pendidikan dan taraf kehidupan. Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1971 mengubah landskap sosio-ekonomi rakyat Malaysia sebagai serampang dua mata dalam menghapus kemiskinan dengan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan penyusunan semula masyarakat.

Sumbangan Tun Abdul Razak yang menekankan aspek pendidikan juga melakar lebih jauh dengan penubuhan universiti tempatan sebagai loncatan mobiliti sosial dan menambahbaik taraf kehidupan setiap lapisan masyarakat. Selaku Canselor pertama UKM, Tun Abdul Razak berjaya mengangkat UKM sebagai universiti acuan kebangsaan dengan pemeliharaan bahasa dan bangsa serta terus unggul dalam menerajui pendidikan tinggi. Sesuai dengan misi penubuhan sebagai sebuah universiti watan, UKM sentiasa komited menjana, menyebar dan menerapkan ilmu secara strategik dan inovatif bagi memperkasakan kualiti budaya bangsa dan kemakmuran masyarakat.

Ahli-ahli panel yang telah dijemput di dalam sesi webinar ini ialah Prof. Madya Dr. Hamidin Abdul Hamid, daripada Universiti Malaya (UM) dan Prof. Madya Dr. Mohd Sohaimi Esa, daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS). Dr. Mohd Firdaus Abdullah, daripada Pusat Kajian Sejarah Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan pula, telah bertindak selaku moderator.


Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK)

Universiti Kebangsaan Malaysia

43600, Bangi

Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

dfssk@ukm.edu.my

+603 8921 5354 (Pejabat Kedekanan)

+603 8921 4741 (Sekretariat Prasiswazah)

+603 8921 5144 (Sekretariat Siswazah)

WAKTU OPERASI

ISNIN-KHAMIS

8.00am - 1.00pm

2.00pm - 5.00pm

JUMAAT

8.00am - 12.15pm

2.45pm - 5.00pm

PEMAKLUMAN

Laman web ini boleh diakses dengan menggunakan peranti pintar. Paparan terbaik dengan pelayar web versi terbaharu pada resolusi minimum 1024X768