Tatacara baharu pengurusan dan pengesanan kes positif COVID-19 dan kontak rapat di Universiti Kebangsaan Malaysia
Pusat Kesihatan Universiti (PKU) telah menerima pemakluman peningkatan mendadak kes POSITIF COVID-19 dan kontak rapat di dalam kampus yang melibatkan pembukaan beberapa buah Rumah Tamu Kolej untuk dijadikan Pusat Kuarantin Pesakit COVID-19 serta beberapa buah blok di setiap kolej kediaman sebagai tempat kuarantin kontak rapat.
Sehubungan itu, pihak PKU ingin memaklumkan tatacara baharu pengurusan dan pengesanan kes POSITIF COVID-19 dan kontak rapat untuk dipatuhi oleh semua warga UKM iaitu seperti berikut:
- i. Pelajar yang menginap di dalam kolej kediaman yang dikategorikan sebagai kes POSITIF COVID-19 akan dipindahkan ke Pusat Kuarantin di Rumah Tamu Kolej Kediaman yang telah ditetapkan;
- ii. Pelajar yang menginap di dalam kolej kediaman yang menjadi kontak rapat perlu kekal kuarantin di dalam bilik masing-masing. Tiada lagi keperluan pemakaian gelang kepada pelajar kontak rapat ini. Pelajar kontak rapat ini hendaklah mengemaskini status pada aplikasi MySejahtera; dan
- iii. Warga UKM (staf dan pelajar) sama ada yang dikategorikan sebagai kes POSITIF COVID-19 atau kontak rapat hendaklah mengikuti tatacara pengesanan kes seperti dinyatakan di Lampiran A.