Faculty of Science and Technology

Pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari

Aktiviti

CSR Kem Rimba Bateq PMFST

Pertubuhan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi bersama-sama Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) telah melaksanakan sebuah program “CSR Kem Rimba Bateq PMFST” dengan jayanya di Kem Rimba Bateq PMFST, Pos Changkung, Kg. Keniam, Taman Negara Pahang, yang berlangsung daripada 10 hingga 12 November 2023. Program ini adalah satu usaha bersama untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat Bateq di kawasan tersebut.

Dalam pelaksanaan program CSR ini, pelbagai aktiviti yang berbentuk holistik dan bersepadu telah dirancang dan dijalankan oleh FST dan YFBM. Antara inisiatif yang utama adalah penyediaan bantuan bekalan makanan kepada komuniti Bateq, yang membantu meringankan beban hidup mereka. Selain itu, terdapat juga sesi pengajaran yang melibatkan mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Matematik, dengan tujuan meningkatkan taraf pendidikan dalam kalangan penduduk setempat.

Program ini juga memberikan tumpuan kepada aspek kesihatan dan kebersihan melalui kelas penjagaan kebersihan dan pembuatan pelembap bibir. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat Bateq mengenai amalan kesihatan yang baik. Selain itu, kelas mikrobiologi turut diadakan untuk memberikan pemahaman mendalam mengenai aspek mikroorganisma yang mempengaruhi kehidupan sehari-hari.

Inisiatif ini sejajar dengan matlamat pembangunan kelestarian, khususnya SDG1 (Menghapuskan Kemiskinan) dan SDG4 (Pendidikan Berkualiti), serta menunjukkan tekad FST untuk mencapai pembangunan mampan dalam kalangan masyarakat yang memerlukan bantuan.

Program Seminar Muzium Sejarah Alam FST 2023

11 Oktober 2023- Muzium Sejarah Alam, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM telah berjaya menganjurkan Seminar Muzium Sejarah Alam FST 2023, dengan tema “Peranan Muzium dalam melestarikan warisan alam semulajadi negara” bertempat di Dewan Persidangan, FST. Program ini diketuai oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Farah Shafawati Mohd Taib, yang merupakan ketua Muzium Sejarah Alam FST, bersama dengan ahli-ahli MSA yang terdiri dari 6 unit repositori, merangkumi Muzium Zoologi, Muzium Geologi, Herbarium, Repositori Serangga, Unit Bank Benih dan Unit Koleksi Kultur.

Program ini bertujuan untuk mengumpul agensi-agensi berkepentingan dan institut-institut yang mempunyai koleksi repositori sejarah alam untuk menyemarak perkongsian maklumat berkaitan koleksi sejarah alam. Pengucaptama bagi seminar ini merupakan Setiausaha Bahagian Kanan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Pn. Norsham Abdul Latip, . Agensi yang terlibat terlibat sebagai plenari pula terdiri dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Seminar ini diharap dapat menjalin kerjasama dalam pengurusan dan penyelidikan berkaitan koleksi sejarah alam di peringkat kebangsaan. Program ini merupakan yang julung kali diadakan oleh MSA FST, di samping dapat mengetengahkan MSA di peringkat kebangsaan. Melalui usaha ini, program ini menyokong matlamat pembangunan kelestarian SDG17 (Partnership for the goals).

Selain itu, tunjang kepada pemeliharaan koleksi sejarah alam alam ini adalah pemuliharaan sumber alam, khususnya biodiversiti dan geodiversiti yang menyokong kepada matlamat pembangunan kelestarian SDG15 (Life on Land).

Majlis Pelancaran Kebun Nuri Nutrisi

 

Program ini merupakan inisiatif Taman Botani Bangi, Fakulti Sains dan Teknologi bersama Bank Rakyat yang bertujuan untuk membantu pelajar di kalangan keluarga B40 menjana pendapatan kendiri. Pelajar yang terlibat telah diberikan latihan dan tunjuk ajar berkenaan kaedah penjagaan sayuran bernutrisi secara fitigasi yang merupakan pengetahuan sepanjang hayat. Kelestarian program ini akan dicakna melalui pemindahan ilmu kepada pelajar secara berterusan.

Majlis telah dirasmikan oleh Ybhg. Encik Nizam Sani, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat dan di saksikan oleh Ybrs Profesor Dr Mohd Firdaus Mohd Raih, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Sains dan Teknologi, Ybrs.Prof. Madya Dr. Noraini Talip, Ketua Taman Botani Bangi, Merangkap Ketua Program Kebun Nuri Nutrisi, Ybrs. Puan Airul Asmiza Khaeruddin, Pengarah Bahagian Kejuruteraan Pertanian, Jabatan Pertanian Malaysia serta pengurusan tertinggi Bank Rakyat dan Fakulti Sains dan Teknologi UKM.

Bina telaga tiub di Politeknik Kota Bharu

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Dato’ Rudy Rodzila Che Lamin telah merasmikan Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub di Politeknik Kota Bharu, Kelantan.
 
Program ini merupakan program kolaborasi bersama antara pihak UKM, Takaful Ikhlas General Berhad dan Politeknik Kota Bharu.
 
Dalam ucapan yang disampaikan, beliau menyatakan bahawa kolaborasi antara pihak UKM melalui Yayasan Canselor, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan Takaful Ikhlas General Berhad harus diteruskan melalui kemahiran dan pengalaman bagi menyumbang kepada komuniti melalui program kemasyarakatan yang dijalankan.
 
Hasil kerjasama ini, pihak Politeknik Kota Bharu mendapat manafaat bagi kegunaan sumber air bersih untuk para pelajar dan penduduk sekitar.
 
Sesi perkongsian teknologi telaga tiub juga telah disampaikan oleh  Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hariri Arifin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat FST berkaitan hasil kajian ini supaya dapat diperluaskan lagi keseluruh negeri Kelantan khasnya dan Malaysia amnya.
 
Turut hadir , Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed, Pengarah Yayasan Canselor UKM, Gs. Sr Haji Mohd Fikri Ismail, Pengarah Politeknik Kota Bharu, Haji Kamaruddan Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan pelajar-pelajar Politeknik Kota Bharu.

 

Liputan media

Program Komuniti Kembara Merdeka 66

18-20 Ogos 2023- Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM bersama Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) telah berjaya menganjurkan “Program Komuniti Kembara Merdeka 66” bertempat di Royal Belum, Gerik, Perak. Program ini diketuai oleh YBhg. Prof. ChM. Dr. Ishak Ahmad (Fakulti Sains & Teknologi, UKM) dan oleh Encik Johan bin Halid dari (Yayasan Foodbank Malaysia).

Program ini bertujuan untuk menyantuni dan memberi bantuan makanan kering kepada masyarakat orang asli. Antara aktiviti yang telah disusun oleh FST & YFBM adalah menghulurkan bantuan bekalan makanan seberat 5.7 tan dan juga alat tulis kepada 250 keluarga orang asli dari suku kaum Jahai yang tinggal di perkampungan Sungai Tiang, Sungai Klewang, Sungai Kejar dan juga Sungai Tan Hain. Untuk menghayati bulan kemerdekaan, sesi penyerahan turut diimarahkan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik bagi membangkitkan semangat patriotik.

Di samping itu, Pusat Pemodelan dan Analisis (DELTA) telah sepakat bersama YFBM untuk menjalinkan hubungan kerjasama dalam menganalisis data komuniti yayasan food bank bagi tujuan menyokong matlamat pembangunan kelestarian SDG1 (No Poverty) & SDG2 (Zero Hunger).

CSR Kampung Orang Asli

Alhamdulillah, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi  telah berjaya melaksanakan program “CSR Kampung Orang Asli bersama Yayasan Food Bank Malaysia” di Pos Yum, Sungai Siput, Perak pada 9-11 Julai 2023.

Program ini tercetus hasil kolaborasi PMFST bersama Sekretariat Makmal dan Instrumentasi FST UKM dengan usahasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Yayasan Food Bank Malaysia dan juga Dana Kita.

Warga FST yang terlibat berpeluang untuk mengenali dan menyantuni masyarakat orang asli suku Temiar di sana. Pelbagai aktiviti telah dilakukan sepanjang program termasuklah advokasi penyakit berjangkit serta advokasi kemiskinan haid yang mendapat perhatian dan sambutan menggalakkan daripada masyarakat orang asli di kampung tersebut.Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, terutama sokongan padu daripada pihak pengurusan FST.

Bina Prototype Mesra Alam

30 Januari 2023 – Dengan hasrat untuk menggalakkan pembangunan bahan pembungkusan mesra alam, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) melancarkan KPS #Ekovative Challenge pada tahun lalu. Baru-baru ini pula, KPS #Ekovative Challenge 2022 Grand Finale diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor. Ia menampilkan prototaip daripada Lima Pasukan Finalis Terbaik.

KPS #Ekovative Challenge 2022 adalah satu pertandingan di antara universiti yang memfokuskan kepada pembangunan bahan alternatif mesra alam sebagai penyelesaian untuk pembungkusan kertas dan plastik yang mampan. Sehubungan itu, fokus KPS #Ekovative Challenge 2022 adalah Mesra Alam dan Inovatif.

Merujuk kepada laman web Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Climate Promise, Malaysia meningkatkan sasaran mitigasi langsung untuk mengurangkan pelepasan karbon berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus pada 2030 seperti yang digariskan dalam Perjanjian Iklim Paris 2015.

Bagaimanapun, dengan trend pengeluaran dan penggunaan kertas serta plastik di Malaysia yang semakin meningkat, sumber yang terhad serta peningkatan pesat sisa terjadual yang direkodkan boleh menimbulkan ancaman yang serius kepada matlamat negara dan global untuk mengurangkan pelepasan karbon menjelang 2030.

Maka pendekatan sisa sifar adalah penyelesaian kepada masalah alam sekitar, ekonomi dan sosial hari ini termasuk perubahan iklim, keselamatan makanan dan kekurangan sumber.

Selaras dengan ini, objektif KPS #Ekovative Challenge 2022 adalah untuk mencari jalan alternatif bagi penyelesaian permasalahan pembungkusan plastik dan kertas yang akan menyumbang ke arah matlamat pencemaran sifar sisa.

Pertandingan ini dibuka kepada semua universiti awam dan swasta di Malaysia. Pasukan yang mengambil bahagian dikehendaki menghasilkan penyelesaian inovasi atau prototaip mesra alam menggunakan bahan alternatif untuk membuat pembungkusan berasaskan kertas dan plastik. Sebanyak 25 pasukan menyertai pertandingan ini dan 20 pasukan disenarai pendek untuk fasa pelaksanaan penyelesaian atau prototaip.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan projek ‘Innovative Biopolymer’ dinobatkan sebagai johan bagi pertandingan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi, pingat dan sijil. 

Sumber : Harian Metro

Liputan media

CEO Day @ UKM

Program CEO Day @ UKM anjuran bersama Fakulti Sains dan Teknologi UKM dan Malaysian Plam Oil Council (MPOC) dirasmikan oleh Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOC, yang juga Ketua Pengarah Malaysian Palm Oil Board (MPOB).
 
Acara selama sehari ini diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak dihadiri oleh lebih 1,000 peserta, kebanyakannya pelajar pengajian tinggi dari UKM dan lain-lain universiti, Politeknik Malaysia, serta pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Bangi.
 
Selaras dengan namanya, CEO Day menyediakan ruang kepada ketua-ketua industri untuk berkongsi pengetahuan luas serta memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar di universiti dalam usaha mengejar kerjaya pilihan mereka.Serentak dengan acara ini juga, pameran oleh 27 syarikat yang menawarkan latihan dan pekerjaan, serta pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan, turut mengadakan pameran untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.
 
Hadir sama, Prof. Dr. Norhamidi Muhamad, Pro-Naib Canselor (Penjanaan & Prasarana) dan Cik Belvinder Kaur Sron, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Promosi serta Komunikasi Korporat MPOC.

Liputan media

PROGRAM CSR "IT'S TIME FOR OUR RIVER"

Program CSR “It’s Time For Our River” telah diadakan pada 26 Jun 2022 jam 8.30 pagi bertempat di Tapak Rekreasi Friends of Langat River (FOLR), UKM. Program CSR ini telah ditaja oleh Kumpulan Syarikat Etika dengan kerjasama pihak FST dan FOLR.
 
Program ini telah disertai oleh Dato Seri Ir Dr Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar (KASA) merangkap Presiden Friends of River Malaysia (FORM), Prof Dato’ Ir. Ts. Dr Othman A. Karim, Timbalan Presiden FORM, Prof ChM. Dr Ishak Ahmad, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM dan dirasmikan oleh Encik Santharuban Thurai Sundaram, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Etika dan Encik Nazurudeen Meerah Ghany, Naib Presiden Kanan Sumber Manusia dan duta Kelestarian Kumpulan Syarikat Etika.
 
Seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan FST UKM, ekorelawan UKM, kakitangan Kumpulan Syarikat Etika, Persatuan FOLR, Indah Water Konsortium dan Persatuan CAVAdventures telah bersama-sama menjalankan aktiviti gotong royong di sekitar kawasan rekreasi FOLR.
 
Selain itu, pameran turut diadakan melibatkan Pusat Sistematik Serangga (CIS) FST, FOLR, Fun with Microbes dan AiRBORNE Sense yang menggunakan drone untuk mengesan pencemaran air. Usaha mempromosi produk kajian pensyarah FST menerusi saluran media massa telah dilakukan di tapak CSR ini. Webinar dan pertandingan VLOG juga telah dijalankan dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Diharap program ini dapat memupuk kesedaran dan kefahaman orang ramai betapa pentingnya menjaga dan memelihara alam sekitar demi kelansungan hidup generasi akan datang.

Liputan media

PROGRAM CSR "OCEAN CLEAN-UP"

Program komuniti “Ocean Clean-Up” anjuran Kerajaan Negeri Selangor dan Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR), Fakulti Sains Dan Teknologi (FST), UKM dengan kerjasama Jabatan Perikanan Selangor telah diadakan pada  29-31 Mei 2022 (di Pulau Redang, Terengganu), 22-24 Julai 2022 (di Pulau tenggol, Terengganu) dan 1-3 Ogos 2022 (di Pulau Tioman, Pahang). 

Penyertaan terhad kepada peserta seramai 30 orang. Peserta terdiri dari 10 orang penyelam UKM, 10 penyelam Kerajaan Negeri Selangor, 4 peserta media, 2 dari Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) dan 4 penyelam pengiring dari Jabatan Perikanan Malaysia.

Program kemasyarakat ini telah ketuai oleh YBrs En. Mohd Shahrim Senik (Pegawai Sains Kanan, FST) dan dihadiri oleh  Y.B. Tuan Haji Izham Hashim  (Exco Infrastruktur dan Pertanian, Kerajaan Negeri Selangor) sebagai wakil kerajaan Negeri Selangor dan YBhg Prof. ChM. Dr. Ishak Ahmad (Dekan FST) dan YBhg. Prof. Dr. Zaidi Che Cob (Ketua Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR).

Objektif program ini adalah untuk menjalankan aktiviti pembersihan terumbu karang dari Crown of Thorns (COTs) dan sampah sarap marin terutama ghosts net. Selain itu, program ini juga menjalankan kajian keberkesanan penggunaan bahan kimia membunuh tapak sulaiman mahkota berduri melalui aktiviti penyelidikan dari EKOMAR dan seterusnya menerbitkan penulisan saintifik.

Penganjuran program ini sedikit sebanyak telah membantu dalam memelihara dan memulihara ekosistem terumbu karang dari COT yang mampu merosakkan karang. EKOMAR dan FST amat berharap agar program seperti diteruskan bagi memelihara dan memulihara terumbu karang.

Liputan media

Untuk maklumat lanjut tentang aktiviti CSR kami, hubungi Pn. Hafizah
E-mel: madampzah83@ukm.edu.my
Tel : 019-289 6858