Faculty of Science and Technology

Sekapur Sirih

Selamat datang diucapkan kepada semua jiwa yang mengunjungi laman sesawang Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Walaupun FST baru sahaja ditubuhkan pada 19 Julai 1999, namun sejarah kewujudan pengajian sains di UKM telah bermula semenjak 51 tahun dahulu semasa UKM ditubuhkan. Ini bermakna garis masa dan juga penglibatan FST dalam pendidikan dan penyelidikan sains telah bermula 51 tahun dahulu semasa Fakulti Sains yang asal ditubuhkan pada tahun 1970.

Selaku dekan ke ketujuh saya suka memaklumkan Fakulti Sains dan Teknologi adalah antara fakulti yang terbesar di UKM yang menawarkan 21 program pengajian prasiswazah yang merangkumi lebih daripada 20 bidang pengkhususan sains tulen dan sains gunaan melalui pengurusan yang bertunjangkan kepada kepakaran ahli akademik FST. Pelajar prasiswazah bukan sahaja dapat mendalami bidang sains yang mereka ceburi tetapi berpeluang untuk mendapat ilmu dalam pelbagai bidang sains yang lain merentas pengajian sains kemasyarakatan di samping berpeluang menyemarakkan citra universiti melalui kursus-kursus yang meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam pengurusan, komunikasi dan komputer.

Pada keseluruhannya program prasiswazah FST menyajikan satu pakej yang membolehkan graduannya untuk berdaya saing dan berkemampuan untuk menempuh alam pekerjaan merentas bidang demi perubahan dan tuntutan terkini di alaf baru ini. Saya yakin pengalaman yang ditimba semasa pengajian oleh para pelajar di FST akan memberikan daya saing yang baik sama ada untuk meneruskan kelangsungan hidup di alam pekerjaan mahupun meneliti kajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pelajar pasca-siswazah diberi peluang untuk mengikuti dan menjalankan berbagai penyelidikan yang diselia oleh para akademik FST yang mempunyai pengalaman dalam dan luar negara serta kecenderungan penyelidikan dalam bidang sains terkini. FST sentiasa mementingkan kemajuan dalam penyelidikan untuk menjana ilmu baru dan penemuan sains yang boleh digunakan untuk kemajuan dan pembangunan negara.

Para akademik FST amat aktif dalam penyelidikan dan telah memperoleh pengiktirafan dari badan-badan antarabangsa termasuk badan pemiawaian serta menerima anugerah penyelidik paling berpengaruh dalam bidang pengajian masing-masing. Ahli akademik juga menerima lebih daripada 15 juta dana dalam dan luar negara untuk memaju dan pembangunan ilmu sains, teknologi dan inovasi. Kemampuan FST dalam penyelidikan sains dan teknologi telah terbukti apabila ahli akademiknya telah memperoleh berbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sains dan teknologi akan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan kemajuan negara semasa situasi yang mencabar dan tidak menentu ini. Saya yakin FST akan menyahut cabaran ini dengan penuh keyakinan dan melunaskan dengan jayanya melalui kekuatan fakulti ini iaitu program pengajian dan penyelidikannya.

PROF. ChM. DR. ISHAK AHMAD
Dekan FST

Latar Belakang & Objektif

OBJEKTIF

Melahirkan insan cemerlang yang:

  • Berpengetahuan dan berketerampilan dalam bidang Sains & Teknologi yang dipilih
  • Berdaya saing untuk mengurus dan memimpin perubahan
  • Mahir berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif
  • Berakhlak mulia, beretika tinggi, bersikap positif dan terbuka, bertanggungjawab, bermotivasi tinggi, berkeyakinan diri, berdisiplin dan berdikari.
  • Menyayangi masyarakat dan alam sekitar serta peka kepada kehendak masyarakat dan negara
  • Cekap berkomunikasi dan mahir menulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
  • Menguasai penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
  • Berkebolehan menjalankan penyelidikan dalam organisasi masing-masing
  • berminat dengan pengetahuan terkini dan cenderung belajar sepanjang hayat

Falsafah, Wawasan, Misi & Matlamat

FALSAFAH

FST mendokong matlamat penubuhan UKM untuk menghasilkan tenaga kerja mahir dan masyarakat terpelajar dalam bidang sains dan teknologi berpandukan falsafah UKM iaitu paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dan amal.

WAWASAN

FST bertekad menjadi pusat pendidikan dan penjana ilmu sains dan teknologi yang terkehadapan, membentuk masyarakat berilmu, dinamis, inovatif dan berakhlak mulia.

MISI

Beriltizam menjadi pusat keilmuan terpilih yang menekankan pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia.

MATLAMAT

Fakulti Sains dan Teknologi ditubuhkan untuk mencapai matlamat berikut :

  • Meneraju, menjana dan menyebarkan ilmu sains dan teknologi yang bermanfaat kepada masyarat sejagat
  • Menghasilkan modal insan yang berilmu, dinamis, inovatif dan berakhlak mulia
  • Mengantarabangsakan citra fakulti
  • Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Strategi Pengajaran

  • Pembelajaran yang membina keupayaan berfikir, menilai secara kritis, terarah kepada penyelesaian masalah serta yang membolehkan cara komunikasi yang berkesan.
  • Program pendidikan tersepadu yang berpandukan pembinaan insan dan kesatuan ilmu yang dapat membina bakal pemimpin ilmu, masyarakat dan industri.
  • Program akademik berdasarkan input daripada para ilmuan, industri serta majikan.
  • Kaedah dan teknologi pembelajaran-pengajaran yang berkesan, yang berasaskan kaedah pengurusan amalan paling baik.
  • Kaedah penilaian dan penilaian yang tersusun, terkawal, terpantau, dan berkesinambungan.
  • Program akademik yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam penyelidikan.
  • Tenaga pengajar dan sokongan teknikal yang terlatih.
  • Suasana pembelajaran yang selesa, ceria dan menarik.

Bunga Rasmi

SENDUDUK (Melastoma malabathricum)

Senduduk mempunyai beberapa kuntum bunga dalam satu jambak. Ini menggambarkan perpaduan dan kesepakatan warga FST Warna ungu bunganya melambangkan iltizam setiap warga FST Stamen yang berwarna kuning menggambarkan variasi penyelidikan yang menghimpunkan pelbagai bidang ilmu dan penyelidikan Stamen berwarna ungu pula mengungkapkan kesarjanaan FST Lima kelopak bunganya ditafsirkan sebagai lima Pusat Pengajian yang berpadu mewujudkan Fakulti yang mantap Kemampuan senduduk untuk hidup di pelbagai persekitaran menggambarkan kemampuan warga FST menyesuaikan diri pada situasi dan keadaan yang mencabar.

Lokasi Kami